Ada mak ayah mula tertanya-tanya sama ada sekolah sudah mula dibuka atau belum pada 20 Januari ini. Kebimbangan mak ayah jadi berganda, tidak pasti berbaloi ke tidak melengkapi keperluan sekolah anak sekarang. Takut, bila keperluan sudah dibeli anak-anak masih belum juga memulakan sesi persekolahan.
Menjawab kebimbangan mak ayah, guru ini berkongsi pandangan. Apa yang perlu mak ayah buat sebagai persediaan berhadapan pembukaan sesi persekolahan anak-anak untuk tahun 2021 ini.
Seminggu dua ini, guru-guru dah mula masukkan senarai bayaran persekolahan dalam grup WhatsApp anak-anak.
Saya minta isteri kirakan jumlahnya. Sekitar RM1500 untuk 4 orang termasuk seorang sekolah menengah.
Alhamdulillah, hasil berjimat duit moratorium dulu, dapatlah saya kumpul untuk yuran dan persiapan sekolah.
Isu yang timbul sekarang ni, sekolah jadi ke tidak?
Bagi saya, mudah saja. Tak perlu kita buat kerja menteri, timbalan menteri, KPPM, Pengarah JPN atau Pegawai PPD.
Mereka dah diberi jawatan, biarlah mereka yang fikirkan. Ingat kita ada masa untuk sakit kepala
Kemudian, timbul lagi isu, mengenai bayaran koperasi dan sumbangan PIBG.
Ibu ayah sekalian. Segala bayaran itu tidak wajib dibayar pada hari pertama. Biasanya sekolah akan bagi masa kepada ibu bapa untuk membayarnya. Kalau tak banyak duit sangat pun, paling tidak, selesaikan bayaran koperasi dahulu. Beli buku tulis untuk anak-anak kita.
Kalau belajar dalam talian pun, buku-buku itu masih tetap digunakan.
Selepas itu, keluar pula isu pakaian sekolah.
Rakan-rakan sekalian.
Tidak pernah wujud syarat untuk masuk sekolah perlu pakai baju baru.
Jika seluar sudah senteng, beli saja seluar baru. Baju, pakai saja baju lama.
Kasut sudah koyak. Jika tidak mampu, belilah kasut sekolah berwarna putih. Biasanya kasut putih lebih murah. Ya, anak-anak masih dibenarkan memakai kasut putih.
“Nanti, kalau sekolah belum buka, sayanglah baju sekolah tu.”
Kawan-kawan.
Kalau tak nak beli banyak, cukuplah beli sepersalinan.
Kami beli pakaian anak di Tesco.
Baju RM7, seluar RM15, kasut RM17, stoking RM10 untuk 3 pasang.
Jumlahnya RM49 untuk seorang. Beg sekolah semua masih elok.
Jadilah. Tak perlu beli mahal-mahal. Kata kawan saya, dia beli seluar bundle saja untuk anaknya. RM5 sehelai. Pun okay.
Apa yang penting, kita letak dalam kepala ni, 20 Januari nanti sekolah akan dibuka.
Bersemuka atau dalam talian, bukan urusan kita untuk fikir.
Tak perlu mengeluh, kita cari solusi. Walaupun dalam surah Maarij dah diberitahu manusia ini diciptakan dengan sifat suka mengeluh.
Dalam ayat 20, disebut lagi. “Apabila dia ditimpa kesusahan dia akan mengeluh.”
Buatlah persediaan semampu kita kerana anak-anak itu adalah amanah dan tanggungjawab kita.
Moratorium dah 3 bulan, duit pinjaman tak potong tapi ke mana duitnya.
MW : Dapatkan gambarannya..
Sumber/Foto : Abdul Muiez Ruslee