Setiap saudara baru yang memeluk Islam mempunyai cara yang tersendiri dalam mengenali Islam. Ada yang mendapat hidayah melalui perkahwinan, kerelaan hati dan sebagainya. Tanpa disedari, inilah yang membuka hati mereka untuk terus mendalami Islam dan tahu agama ini mampu memberi ketenangan buat mereka.
Begitu juga bagi Shelyn Pei Chia Chia atau nama Islamnya, Nur Salina Pei Abdullah, 31 tahun. Dia mengenali Islam sewaktu belajar di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Hidupnya yang sebelum ini tidak tentu arah, hilang tujuan hidup membuatkan dia tertanya-tanya tentang tujuan hidupnya selama ini.
“Dengan ketentuan yang telah Allah aturkan, saya mula mengenali Islam. Masih saya ingat, makcik dan sepupu saya gigih mengajar saya doa makan, doa berbuka puasa dan surah Al Fatihah kepada saya,” kata Salina yang berbangsa Cina dan beragama kristian.
Menurut Salina, enam bulan sebelum dia memeluk Islam, dia telah menyuarakan hasrat hati kepada keluarga. Namun, mendapat bantahan dengan mengatakan tidak perlunya masuk Islam sebelum berkahwin dengan muslim.
Salina langsung tidak mengendahkan kata-kata ibu, sebaliknya dia nekad dan tanggal 4 Julai 2013, dia mengucapkan dua kalimah syahadah di Pejabat Kadi Batu Pahat, Johor.
“Selepas seminggu atau lebih kurang dua minggu dari hari saya melafazkan dua kalimah
syahadah,ibu tidak menghubungi saya langsung sedangkan hampir setiap hari ibu akan telefon saya dan bersembang. Sehinggalah, saya mendapat pertanyaan khabar daripada ibu selepas itu amat menenangkan hati kerana bagi saya itulah tanda penerimaan awal.
“Pernah juga, ketika saya balik ke kampung, keluarga tidak dapat menerima pemakaian saya yang telah berhijab dan menutup aurat. Tetapi saya pertahankan juga. Akhirnya mereka menerima seadanya,” katanya penuh kesyukuran.
Nur Salina yang kini bertugas secara sambilan sebagai Pegawai Pendakwah Saudara Kita Daerah Batu Pahat turut mendapat sokongan daripada suami tercinta, Mohd Hafiz Burhan, 33 tahun.
“Saya berkahwin dengan suami pada 31 Oktober 2014. Alhamdulillah, dia banyak membantu dan memberi keizinan untuk saya mengikuti kelas fardhu ain dan program-program yang dianjurkan oleh saudara baru.
“Begitu juga dengan mak mentua, dialah kawan baik saya sebelum dan sekarang ini. Dia juga banyak membimbing saya, memberi tunjuk ajar, peringatan dan menemani saya di kebanyakan majlis ilmu.
“Dialah juga yang mengajar saya solat, memberi dorongan dan sokongan sepenuhnya untuk saya terus maju untuk mendalami agama Islam,” akhirinya yang turut mempunyai seorang anak, Hana Mohd Hafiz, 3 tahun.