Dah berbulan tak balik kampung, rindunya tak terungkap. Tapi apakan daya masa PKP ni duduklah diam-diam kat rumah ye. Rutin hidup sekarang tak sibuk macam dulu, lagilah rasa rindu pada mak ayah. Kenangan membesar di kampung pun bermain di fikiran. Bila dah jadi macam ni baru tahu nikmatnya balik kampung.
Kebanyakan kita tidak tinggal di kampung halaman. Ramai yang berhijrah ke bandar baik mencari rezeki mahupun melanjutkan pelajaran. Penghijrahan ini menjadi detik baru dalam kehidupan kita.
Segalanya serba baru, teman-teman, kediaman dan suasana. Ketika kita sibuk menyesuaikan diri, hati ibu bapa di kampung sangat gundah gulana. Mak ayah bimbangkan keselamatan kita, mereka juga risau andai kita tidak cukup makan. Tapi percayalah sebenarnya bukan itu yang paling sukar buat mak ayah tetapi perkara yang lebih perit apabila mereka terpaksa berpisah dengan anak-anak.
Hati mak ayah begitu berat melepaskan anak pergi namun mereka relakan demi masa depan. Keizinan dan kerelaan mak ayah ini begitu tinggi nilainya, mereka berkorban jiwa dan raga semata-mata mahu melihat anak berjaya.
Baca sini
https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
Si anak yang dulunya melanjutkan pelajaran di bandar besar kini sudah selesa hidup sebagai warga kota. Tamat pengajian, langsung bekerja di bandar. Sekali lagi mak ayah redha dengan keputusan kita untuk mencari nafkah jauh di perantauan.
Dalam keghairahan kita membina kehidupan baru di kota, ada kala kita terlupa bertanya khabar mak ayah. Alasan kita sering dihambat masa, sebab itu tidak sempat menelefon mak ayah.
Aduhai! Sudah-sudahlah memberi alasan. Kita yang mesti mengatur masa bukannya mengikut masa. Luangkan masa untuk menghubungi mak ayah di kampung, berbuallah dengan mereka. Usaha yang sedikit ini besar maknanya kepada mak ayah kita. Mereka rasa gembira dan dihargai apabila anak yang jauh, yang sibuk dan berpangkat menelefon bertanya khabar. Mak ayah terharu apabila kita masih ingat kepada mereka.
Bila keadaan dah pulih nanti, pulanglah ke kampung. Ziarah mak ayah, peluk cium mereka. Selagi kita ada kemampuan dan sihat, pulanglah ke kampung. Kerana kita tidak tahu bila ajal akan menjemput kita dan bila masanya mak ayah kita akan pergi mengadap Ilahi.
Betapa girangnya hati mak ayah menyambut anak pulang, makanan kegemaran disediakan agar anak tersenyum. Tempat tidur ibu siapkan agar anak selesa. Begitulah seronoknya mak ayah apabila kita pulang.
Kita tidak mampu melayan mak ayah kita sebagaimana mereka lakukan. Lihat sahaja ketika mereka berkunjung ke rumah kita. Makanan kebanyakan kita beli di kedai kerana sibuk, tidak sempat memasak.
Paling sedih, apabila kita meninggalkan mak ayah di rumah kerana terpaksa bekerja. Kita biarkan tv yang menemani mereka. Mak ayah faham situasi kita yang bekerja dan sibuk, mereka tidak merungut. Tapi ketahuilah jauh di sudut hati, mereka pasti berasa sedih dengan layanan kita.
Saya tidak terkecuali berdepan dengan situasi ini kerana komitmen kerja. Saya putuskan mengambil cuti dan pulang ke kampung menziarah mak ayah selalu. Kerja memang tak pernah habis, tapi masa bersama mak ayah akan berlalu. Ingat ye, masa tak boleh patah balik.
Lagipun saya lebih seronok menghirup udara segar di kampung dan lebih indah dapat meluangkan masa bersama mak ayah tanpa dibebani urusan kerja. Pulang ke kampung juga mengimbau kenangan dan asal usul kita.
Percutian yang paling indah apabila kita berada di sisi insan-insan tersayang di kampung halaman. Baliklah kampung selalu, jangan bagi macam-macam alasan. Air mata gembira mak ayah, keindahan yang tidak dapat diungkapkan.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.