‘Sejuk Tangan Dia’, Ini 9 Rahsia Taman Herba Belakang Rumah Teres Lot Tengah Subur Menghijau

Share

Geram tengok pokok-pokok herba yang subur menghijau di mini kebun dekat laman belakang rumah teres lot tengah milik Siti Mariah Alias, 49 dan suami, Abdullah Muji, 57 ini. Ada lebih 30 jenis tanaman herba untuk kegunaan dapur dan juga kesihatan.

Ada antaranya jenis sepsies yang jarang ditemui seperti buah ajaib, mahkota dewa, belalai gajah. Kebanyakannya saya tanam dalam pasu besar dan kecil. Halaman belakang rumahnya juga ada tanaman misau kucing, mas cotek jantan, mas cotek betina, sireh, bangun-bangun, sabung nyawa, senduduk putih, senduduk purple, kunyit hitam.

 

 

Jerangau, dukung anak, halia bentong, mengkudu, kemangi, limau purut, gandarusa, kucing galak, hempedu bumi, temulawak, daun inai, kunyit putih, pokok kapal terbang dan lempoyang.

Buah ajaib ini pokok herba yang unik yang ada di taman Siti Mariah. “Jika sebelum makan buah ajaib kita makan pedas ke masam ke pahit ke, lepas itu kita makan buah ajaib. Nanti rasa yang sebelum itu semua jadi manis.”

‘Rumah yang tiada pokok ibarat rumah yang tiada makanan’. Ini prinsip yang dipegang pemilik tangan hijau ini. Selain itu, berkebun juga menjadi riadah untuknya dan keluarga. Dapat wujudkan kasih sayang, cinta dan rindu antara mereka.

Ruang terbiar yang ada di belakang rumah, dijadikan taman herba. Taman ini umpama platform meditasi bagi keluarga wanita ini untuk merehatkan mida dan fizikal serta mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Tumbuhan lain yang ada untuk kegunaan harian dan masakan pula antaranya, selom, limau purut, lemon, daun pandan, kunyit, limau nipis, cili padi, ulam raja, tomato, daun bawang, lengkuas, halia.
Daun kari, keladi sayur, ubi jaga, daun sup, mulberi, kaduk, mata itik, kunyit, daun saderi, pucuk ubi, pegaga, daun kesom, cermai belanda, cekur, tenggek burung, serai, gajus, dan sedikit herba Inggeris seperti basil, rosemary, selasih, pudina dan bay.

Pokok herba ini ditanam dalam bekas seperti pasu, bekas plastik yang besar dan tangki air.

 

9 Rahsia Tangan ‘Sejuk Tanam Pokok’

Pertama : Tengok Pokok Ingat Mati

Selain platform meditasi, Siti Mariah jadikan menanam pokok sebagai mengingatkannya dengan kematian. Akuinya bercucuk tanam, dia dapat melihat pokok dari kecil, membesar, berbunga, berbuah dan seterusnya menjadi tua dan mati.

Itulah hakikat sebenar seperti manusia juga akan lahir dari kecil, remaha, dewasa dan berumah tangga punya anak dan seterusnya menjadi tua dan akan meninggalkan alam ini.

Kedua : Kena Ada Minat Dan Jujur Dengan Diri

Bukan menunjuka-nunjuk atau pun bersaing dengan kawan-kawan. Misalnya ramai yang berkebun sebab terikut-ikut kawan-kawan. Jika begini memang tak akan lama.

Sebab saya sudah lihat ada kawan-kawan yang tak punya minat cuma terikut-ikut, akhirnya pokok tak terjaga dan mati.

Ketiga : Berbalik Pada Niat Dalam Hati

Dalam berkebun kena jujur, ikhlas dengan diri sendiri dan disertai minat mendalam. Ins sha Allah pasti akan berjaya. Ikuu kemampuan diri dan gaya hidup harian, biar sederhana tapi terjaga.

 

Keempat : Bersedekah Dan Berkongsi Rasa Dengan Sahabat

Saya tak menjual hasil tanaman saya. Tapi bila ada orang nak beli dan permintaan pun tinggi, saya buatlah. Konsep saya lebih kepada bersedekah dan berkongsi rasa dengan semua sahabat.

Bila kita tanam sendiri, tak ada bahan sampingan. Misalnya mahkota dewa itu, suami saya akan potong nipis-nipis dan keriangkan tanpa campuran bahan lain. Alhamdulillah, berkebun dapat saya panjangkan pahala dengan beri sayuran dan ulam-ulaman pada rakan dan jiran tetangga.

Kadang-kadang burung atau pun orang yang lalu lalang akan mengambil hasil tanaman di luar rumah terlebih dahulu. Tapi saya dan suami ikhlaskan kerana dengan cara tersebut dapatlah kita bersedekah secara tidak langsung.

Sebab kadang-kadang saya ada beritahu jiran-jiran jika berkenan ambil sahajalah untuk kegunaan harian.

 

Kelima : Konsisten Jaga Pokok

Penjagaan tanaman di taman herba kita mestilah konsisten. Saya dan suami selalunya akan membuang rumput, membaja, menanam yang baru dan mencantas pada hari minggu.
Supaya tidak terlupa untuk membaja saya akan setkan dalam telefon bimbit tarikh yang sesuai untuk membaja. Ada sesekali anak-anak juga membantu.

Saya berbangga kerana mempunyai seorang suami yang memang rajin berkebun. Dia banyak membantu. Baik dalam kawasan halaman mahupun luar kediaman.

Di luar ada tanah lapang di hujung pejalan kaki berdepan rumah saya, suami tanam pucuk ubi, serai, nenas, keladi, pisang, pandan untuk kegunaan seharian.

 

Keenam : Kerap-kerap Gali Ilmu Berkaitan Penjagaan Pokok Herba

Saya baca blog, beli majalah, media sosial seperti Instagram dan Facebook tentang penjagaan pokok. Saya juga kongsi maklumat penjagaan pokok-pokok di Instagram dan Facebook sendiri. Ini pun salah satu cara beri ilmu dan sedekah.

Ketujuh : Ini Paling Penting ‘Belaian Mesra Dan Kata-kata Pujian

Menjaga pokok ini sebenarnya tidak susah. Bukan membaja semata-mata yang buatkan pokok kita hidup gemuk dan subur. Tetapi pada saya “makanan yang paling baik untuk tumbuhan di taman herba saya ini terus membesar dan subur secara optimum adalah belaian mesra dan kata-kata pujian”.

Tumbuhan juga perlu kata-kata perangsang untuk membesar baru mereka rasa gembira dan seterusnya hidup subur.

 

Kelapan : Sediakan Buku Kajian Sendiri Dan Labelkan Tanaman

Minat yang mendalam mendorong Siti Mariah menyediakan buku kajian herbanya sendiri, Buku ini merupakan hasil kajian saya terhadap tumbuh-tumbuhan herba. Ia bertujuan untuk memudahkan saya mengenali serta memahami kegunaan setiap tumbuhan tersebut.

Jika ada masa saya akan menerbitkan buku berkaitan herba-herba di Malaysia. Setiap tumbuhan herba di rumah saya akan saya labelkan untuk tujuan mendidik anak-anak mengenali jenis-jenis tumbuhan yang mempunyai pelbagai manfaat.Tambah pemilik lagi.

 

Kesembilan : Dah Tanam Kenalah Makan

Saya sekeluarga gemar memakan ulam-ulaman ketika menikmati hidangan makan tengahari atau makan malam. Dengan adanya taman herba ini, kami boleh memetik ulam segar untuk disaji. Pokok yang kerap dipetik pucuknya akan keluar tunas baru yang lebih baik.

Jika hendak masak atau makan ulam-ulaman saya hanya tinggal petik sahaja di belakang rumah, jadi saya boleh jimat belanja selain menyahut seruan kerajaan untuk menanam sayur sendiri.
Tanaman kontan ini mudah sahaja penjagaannya.

Pokok terbaru yang saya tanam ialah pokok letup-letup. Pokok ini digunakan dalam perubatan sebagai ubat pening, sakit pinggang dan kanser. Buahnya yang muda boleh dijadikan ulam. Buahnya yang masak boleh dijadikan jus boleh untuk merawat sakit kerongkong.

 

Juara Landskap ‘Rumah Teres Lot Tengah 2015’

Nyata segala usaha dan keringat yang dicurahkan selama hampir 20 tahun berjaya terutamanya apabila ianya diiktiraf sebagai tempat pertama (Juara) di dalam pertandingan Landskap anjuran Majlis Perbandaran sepang, Kategori Rumah Teres Lot tengah 2015.

 

Info Pemilik Taman Herba Belakang Rumah

Nama Pemilik : Abdullah Bin Muji (57) dan Siti Mariah Bt Alias (49)
Lokasi : Seksyen 12, Bandar Baru Bangi Selangor
Jenis Rumah : Rumah Teres kos sederhana (20×70)
Tempoh Huni : 22 tahun
Mula Membuat Taman : 22 tahun
Herba

Sumber/Foto : Dang Sari

 

 

Published by
Netty Ah Hiyer