Malang tidak berbau walaupun di rumah sendiri.Mohon mak ayah memantau pergerakan anak-anak kecil dimana sahaja mereka berada.Jangan sesekali biarkan mereka bersendirian, pasti ada ‘kerja’ yang dibuatnya.
Seorang kanak-kanak di Sandakan terperangkap di dalam sebuah mesin basuh selepas dia memanjat mesin tersebut pagi tadi.
Kanak-kanak berusia tiga tahun yang dikenali sebagai Mohd Azam Razlan terpaksa menahan kesakitan hampir sejam selepas terperangkap dalam bahagian pengering mesin basuh di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila, Batu 12 di Sandakan.
Mohd Azam dikatakan bermain seorang diri dalam insiden pukul 10.30 pagi di rumahnya dan difahamkan mula menangis apabila salah satu kakinya terperangkap di dalam bahagian pengering.
Ibu mangsa yang terdengar tangisan anaknya itu bergegas membantu mengeluarkan kakinya tetapi gagal.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Khatizah Rahaban berkata, mereka menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.43 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Anggota bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa dengan memotong bahagian pengering menggunakan peralatan khas” katanya.
Khatizah berkata kanak-kanak itu dihantar ke hospital untuk menerima rawatan dan hanya mengalami lebam di kakinya.Operasi mengeluarkan kanak-kanak itu selesai kira-kira pukul 11 pagi.
Alhamdulillah semuanya selamat. Buat mak ayah semoga lebih berhati-hati, mohon pantau keadaan anak-anak selalu dan jangan dibiarkan mereka bermain sendirian.
Sumber: hmetro