Sejak Kecil Ibu Lelaki Ini Ajar ‘Bercakap’, Akhirnya Dia Lakukan Apa Yang Orang Pekak Lain Tak Mampu Buat

Share

Lelaki ini tak boleh mendengar. Tetapi itu bukan alasan kepada Amril Nurman bin Lokman untuk menggapai kejayaan seperti insan normal lain. Dia ada satu kelebihan yang tak semua OKU pekak mampu lakukan, iaitu boleh bercakap.

Sejak kecil, ibu saya Rabeah binti Hussain melatih saya untuk bercakap. Dia memilih kaedah paling susah iaitu kaedah oral-aura untuk saya belajar dalam berkomunikasi sebab dia mahu saya bermula dari atas. Dia juga mahu saya sama seperti insan lain.

Saya belajar kaedah oral-verbal, bahasa isyarat, bacaan bibir dan bahasa gerak badan. Dan saya belajar melatih pendengaran dan pertuturan kiu. Sebab itu juga saya boleh bercakap.”

Cuma bila bercakap, dia perlu bertutur dengan perlahan-lahan. Agar orang yang mendengarnya dapat memahami percakapannya.

Saya hanya mampu bercakap tetapi tak boleh mendengar. Sebab itu, saya memerlukan alat bantuan pendengaran untuk membantu saya bercakap.

Amril menggunakan bahasa isyarat apabila berbicara dengan OKU pekak lain dan insan normal yang mahir berbahasa isyarat.

Tahu bahasa gerak badan dan membaca gerakan bibir dalah caranya berkomunikasi dengan adik-beradik yang lain.

Anak ketiga dari 4 orang adik beradik yang kesemuanya lelaki ini mengakui menggunakan cara ini membantunya belajar lebih banyak cara bercakap dengan betul.

Tahap kepekakan yang dialami juga sangat teruk dan dia memerlukan alat bantuan pendengaran sejak berumur 4 tahun. Penggunaan alat bantuan pendengaran ini yang membantunya untuk bercakap dalam nada yang terlalu kuat.

Bagaimana pun, ketika temu ramah ini dijalankan dengan wartawan Mingguan Wanita, Amril mendapat bantuan Penolong Kanan 1, Puan Suhaila yang akan menterjemahkannya dalam bahasa isyarat.

Siapa Amril Yang Sebenarnya?

Amril, 26 tahun, bukan calang-calang OKU. Pencapaiannya dalam bidang pendidikan boleh dibanggakan bagi mereka yang bergelar OKU. Dia mendapat 3A dalam UPSR. Manakala 3A, 4B dan 1C adalah keputusan yang dicapainya dalam peperiksaan SPM.

Kini sudah hampir 2 tahun lebih Amril bergelar seorang guru di Sekolah Pendidikan Khas Kampung Baru Kuala Lumpur. Dia berjaya melunaskan cita-citanya sebaik menamatkan pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas di Kuala Lumpur.

Beliau juga merupakan Bendahari Persatuan Guru-guru Pekak Malaysia.

Dorongan ibu buatkan Amril akhirnya menjadi guru.

Waktu dapat tawaran masuk ke IPG Ilmu Khas, minat jadi guru itu memang tak ada.Akhirnya minat itu terpupuk dengan sendiri setelah saya belajar dengan lebih mendalam terhadap kursus yang ditawarkan.

Bertuah saya kerana dapat jadi guru terutamanya guru kepada pelajar OKU. Boleh dikatakan keseronokan saya menjadi guru itu semuanya semata-mata kerana saya dapat mengajar pelajar-pelajar OKU yang senasib saya.

Saya lebih bersemangat apabila dapat mengajar mengikut kemampuan pelajar-pelajar. Saya selalu juga berkomunikasi dengan ibu bapa pelajar.”

Bagi ibu bapa yang tidak boleh berbahasa isyarat, setiap hari Sabtu selama dua kali sebulan Amril akan memberi kelas bahasa isyarat kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU pekak.

Saya harap cara ini dapat membantu ibu bapa dapat memahami anak mereka dengan lebih baik.”

Amril juga mampu mengajar dan menggunakan bahasa isyarat Melayu dan bahasa isyarat Inggeris.

 

Ini Alasan Amril Ajar Subjek Bahasa

Tidak mudah bergelar OKU terutamanya dalam menimba ilmu. Ujar guru yang mengajar bahasa Inggeris, bahasa isyarat komunikasi, pendidikan jasmani dan pendidikan kesihatan ini, sejak kecil lagi dia mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dan memahami apa yang diajar oleh guru ketika mengajar.

Semasa belajar di IPG Ilmu Khas disebabkan ada masalah komunikasi, saya susah faham apa yang pensyarah ajar.

Nasib baik saya mendapat bantuan kawan-kawan sekelas. Mereka akan cuba menterjemahkan apa yang diajar pada saya dalam bahasa Isyarat.

Sebab itulah saya mengajar bahasa sewaktu mengikuti kursus pendidikan kerana saya sedar penting bagi OKU pekak untuk belajar bahasa. Orang pekak suka menghafal tetapi mereka tidak suka ejaan.

Harapan saya, dengan cara menjadi guru ini dapat membantu pelajar-pelajar menjadi lebih pandai daripada apa yang saya dapat selama ini. Saya mahu pelajar-pelajar dapat lebih banyak A daripada saya.”

Foto: Nurul Akmar Azimi

Published by
Julie Roshana