Memang ada benarnya, segala nikmat rezeki yang kita miliki itu sebenarnya datang dari berkat doa dan keredhaan dari seorang ibu. Ia bukanlah hasil usaha kegigihan kita semata-mata. Sementara mak dan ayah masih hidup, rebutlah peluang berbakti dan membahagiakan mereka.
Lebih-lebih lagi jika sedang menjaga mak ayah yang sedang sakit. Ia memang tak mudah, namun belajarlah untuk tidak mengeluh. Percayalah keberkatan dalam kehidupan akan hadir daripada doa tulus dan keredhaan mak ayah.
Arwah mak saya meninggal dunia pada 2004 akibat kanser. Sejak disahkan menghidap kanser paru-paru pada 2001, kesihatannya mula turun naik. Sepanjang tempoh itu, arwah menjalani rawatan kemoterapi selain kami berusaha secara alternatif. Dan alhamdulillah, walaupun doktor jangka hayat arwah cuma setahun tapi arwah mak saya survived hingga 3 tahun.
Sepanjang arwah mak sakit, selain abah dan adik-adik yang menjaganya, saya dan suami juga akan mengambil alih tugas itu sekiranya arwah buat kemoterapi di HKL atau HUKM. Penat menjaga orang sakit ni tapi suami saya akan marah kalau saya merungut. “Itu emak awak tau.Bukan kawan-kawan awak. Jangan sesekali mengeluh depan mak” katanya.
Suatu hari semasa di kampung, arwah mak saya terbuang air besar di atas katil manakala najisnya juga jatuh bersepah. Tahu apa suami saya lakukan? Dia mengelap najis itu tanpa rasa jijik dan menyuruh saya membersihkan arwah mak di bilik air. Sewaktu memandikannya, arwah mak berulang kali minta maaf tapi saya katakan,
“Buat apa nak minta maaf. Mak bukan buat salah pun. Sekadar terbuang najis, benda kecil je”
Ketika itulah juga saya lihat arwah mak saya menangis dan dia berdoa dengan kata-kata yang tak mungkin kami lupakan sampai bila-bila.
” Ya Allah..ini adalah anak-anak aku yang berbakti kepada aku sepanjang aku sakit. Ini adalah anak-anak aku yang tidak pernah berkeluh kesah.Anak-anak aku yang sanggup mengotorkan tangan untuk najisku. Aku berikan keredhaanku sebagai seorang ibu dan Kau limpahkanlah seluas-luas rezeki dan kekayaan pada mereka hasil bakti mereka padaku”.
Saya dan suami terus terkedu bila mendengarnya!
Tiga minggu selepas itu arwah mak saya meninggal dunia dengan kata-kata akhirnya yang disampaikan pada abah bahawa dia sudah mengampunkan semua dosa anak-anak, menghalalkan segala pengorbanan serta air susunya. Anak-anak tidak berhutang satu dosa pun padanya.
Untuk sahabat yang bertanya itu…inilah kisah bagaimana kehidupan saya bertukar. Bukan kerana saya kahwin dengan anak orang kaya kerana suami saya bukan anak yang suka menumpang pada kesenangan ibu ayah. Tapi kami merasai segala nikmat rezeki itu sebenarnya datang dari berkat doa dan keredhaan seorang ibu!
Saya selalu nasihatkan pada sesiapa, jangan berkira langsung dengan ibu bapa. Bukan mahu membangga diri tapi sejak saya kahwin, saya langsung tidak ambil kesah berapa yang suami saya peruntukkan untuk ibunya. Berilah berapa saja dan saya tak pernah buka mulut.
Pernah satu ketika, suami beritahu dia mahu memberi semua duit hasil penjualan ayam pada ibunya sebagai hadiah. Memang ada rasa sedikit terkilan tapi suami saya beritahu, redhalah.. Nanti akan ada rezeki yang lebih luas untuk kami.
Sebenarnya, untuk memperoleh pahala, tidak perlu kita mengangkat senjata di medan perang sebaliknya jika masih ada ibu bapa kandung atau mentua, berbaktilah pada mereka. Walaupun mereka cerewet atau seperti kebudak-budakkan yang mungkin boleh membuatkan kita rasa kecil atau panas hati, berlapang dada lah. Pengorbanan ibu bapa membesarkan kita lebih besar berbanding rasa hasutan hati itu.
Saya dan suami percaya rezeki itu datang dari Allah tapi kami juga percaya doa dan keredhaan ibu bapa jugalah yang akan membuka lorong-lorong rezeki itu. Kerana doa ibu bapa tiada hijab dengan Allah. Gembirakan mereka dan inshaAllah mereka akan mendoakan yang terbaik untuk kita. Percayalah!
MW: Allahu, sebaknya perkongsian ini. Semoga kita dapat menjadi anak yang membahagiakan orang tua, tidak jemu dalam menabur bakti buat mereka. Sesungguhnya doa daripada seorang ibu itu, tiada hijab dengan Allah. Rebutlah peluang selalu meminta doa daripada mereka.
Sumber: Ruhaiza Rusmin