Isteri Kecewa, Sibuk Jaga Anak Syurga, Dimadukan Suami Dalam Diam

Share

Hati mana yang tak sedih, kecewa dan marah bila dapat tahu diri dimadukan dalam diam oleh suami yang selama ini dipercayai sepenuh hati?  Tahu pun daripada mulut orang lain. Perkongsian seorang isteri yang dimadukan oleh suaminya tanpa disedari.

Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya ibu kepada sepasang cahaya mata berusia 16 dan 14 tahun dan seorang anak syurga, si bongsu yang berusia 10 tahun jika masih hidup. Saya memiliki ijazah di dalam jurusan ekonomi namun memilih untuk menjadi suri rumah kerana ingin menumpu perhatian pada dua orang cahaya mata.

Untuk pengetahuan puan, anak syurga saya itu merupakan anak istimewa dan dilahirkan tidak sempurna. Sebenarnya selepas melahirkan dialah saya memutuskan untuk berhenti kerja walau pun ketika itu karier saya sedang meningkat.

Jarang Masa Bersama

Suami saya pula seorang jurutera di sebuah syarikat cari gali. Asyik ulang alik darat dan pelantar minyak. Jadi, masa kami tak banyak dihabiskan berdua. Lebih-lebih lagi ketika anak syurga kami masih ada, sepenuh masa ditumpukan pada arwah.

Tapi saya anggap itu normal saja kerana suami juga tak mengeluh. Bila dia pulang ke rumah, jarang benar kami dapat berbual bersama kerana saya sibuk dengan anak syurga saya itu. Dulu pernah juga suami ajak keluar tapi saya beri alasan tiada orang nak jaga anak. Saya tak sanggup nak minta orang lain jaga walau pun ketika itu saya ada pembantu rumah.

Trauma Kehilangan

Saat kehilangan anak syurga tiga tahun lalu dan ia memberi kesan besar pada diri saya. Jiwa saya rasa ‘kosong’ kerana tiada lagi orang yang saya perlu belai dan manjakan setiap hari. Nasib baik ada dua anak lain yang dapat meringankan kesedihan yang saya alami.

Dek kerana trauma kehilangan itu juga, saya tak benarkan anak-anak tinggal di asrama walau pun keputusan mereka layak untuk menempatkan mereka di sekolah berasrama penuh. Saya ingin mereka ada di depan mata saya sepanjang masa. Saya tak pernah berbual dengan suami tentang rasa trauma yang sama alami.

Makin Okay

Selepas kehilangan anak syurga, hubungan saya dan suami agak membaik. Ada masanya kami keluar berdua saja. Cuma tak dinafikan, antara kami seolah-olah ada jurang yang saya sendiri tak pasti apa.

Bila ada di rumah pun, dia tetap sibuk dengan pelbagai kerjanya dan saya pula mula berjinak-jinak dalam perniagaan online. Saya nak sibukkan diri agar tak terus tertekan dengan trauma kehilangan anak bongsu.

Kedatangan Sahabat

Sehinggalah Aidilfitri lalu. Giliran beraya di rumah keluarga saya di Kelantan. Raya kedua suami sudah balik bertugas di lautan. Saya dan anak-anak tak syak apa-apa kerana sudah terbiasa dengan kesibukan suami.

Tapi kedatangan seorang rakan kami ke rumah telah membongkar satu rahsia besar. Rakan itu (si lelaki) merupakan rakan sekerja suami. Dia sengaja singgah ke rumah ibu bapa saya kerana kebetulan rumahnya berdekatan saja.

Pertanyaan rakan lelaki itu mengejutkan saya yang bertanya di mana suami saya dan kelihatan terkejut dan serba salah mendengarkan jawapan saya. Tak sedap hati, saya minta dia berterus terang. Rupanya suami saya masih bercuti tapi dengan saya dikatakan sudah kembali bekerja.

Terbongkar Rahsia Dimadu

Dipendekkan cerita, terbongkarlah rahsia yang selama ini tersimpan rapi oleh suami. Dalam diam, rupanya suami sudah menikah seorang wanita lain! Bermakna saya hidup bermadu selama ini!

Tuhan saja yang tahu hati saya saat itu. Saya mula merisik pergerakan suami dan menerusi pertolongan rakannya yang kasihan dengan saya yang dimadu dalam diam, saya dapat tahu suami telah berkahwin lima tahun lalu tapi belum punya cahaya mata bersama madu saya itu. Mereka berkahwin ketika  anak bongsu saya masih hidup.

Dia pernah nyatakan pada rakan baiknya yang dia rasa terpinggir kerana saya kurang melayaninya. Puan, saya rasa sedih kerana saya tak berniat begitu. Saya masih belum mampu berterus terang dengannya tentang perkara ini. Saya makin terbeban kerana memendam rasa tapi saya tak berani nak mendengarkan pengakuan daripadanya itu. Apa saranan puan?

Isteri Kecewa, Kedah.

Jawapan:
Allah selalu beri kita apa yang kita perlukan, cuma kadang-kadang Allah tidak beri kita apa yang kita mahukan. Maka akan timbul ujian dan masalah dalam hidup.

Nikmat diberi kesihatan yang baik, nikmat masa rehat yang panjang, penghargaan daripada kerjaya yang kita pegang, nikmat harta, kekayaan, kedudukan, pasangan hidup dan anak-anak yang berjaya. Namun dalam kenikmatan itu mungkin juga tidak berpanjangan. Timbul ujian dan masalah yang menuntut kita menyelesaikannya dan membuat keputusan.

Pastinya ia mengganggu emosi dan fikiran kita sehingga boleh menjejaskan prestasi kerja seharian. Perasaan sedih, kecewa, buntu, kesal, semuanya bercampur baur. Untuk menghadapinya amatlah sukar, apatah lagi jika tiada ketahanan diri yang kuat dari segi emosi dan minda khususnya.

Pentingnya Komunikasi

Seperti yang selalu diperkatakan oleh para ahli psikologi perkahwinan, komunikasi adalah satu alat yang penting dalam membaja hubungan antara suami dan isteri agar ianya senantiasa mekar. Pun ada juga yang diuji walau sehebat mana hubungan intim yang dijalinkan kerana manusia punya nafsu dan poligami pula dibenarkan dalam Islam.

Namun, poligami sesuatu yang amat pahit untuk diterima oleh isteri yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa suaminya ada wanita lain dalam hidupnya. Justeru, ramai suami yang berkahwin secara senyap-senyap atas pelbagai alasan. Sama ada isteri baik dan beri layanan atau sebaliknya, maka suami tetap akan berkahwin tanpa pengetahuan isteri? Bagaimana pula apabila isteri mendapat tahu daripada orang lain? Pastinya rasa kecewa dan sedih menyelubungi diri.

Reda

Puan yang dirahmati Allah. Sebagai seorang Islam yang mukmin, puan reda akan ketentuan takdir Allah bukan? Di sinilah ujian buat puan untuk meningkatkan keimanan puan. Maka belajar untuk menerima ketentuan Allah. Untuk bertanya kepada suami tentang perkahwinannya dengan wanita itu adalah hak puan.

Untuk mendapat penjelasan maka bertanyalah dan cuba zahirkan perasaan yang puan simpan. Mungkin dia juga akan menzahirkan apa yang tersimpan di hatinya (mungkin ya mungkin tidak), namun puan nyatakan rasa sedih dan kecewa puan terhadapnya agar ianya tidak tersimpan lama dalam diri puan.

Seperti yang saya sebutkan di atas tadi, komunikasi adalah salah satu alat penting dalam membaja hubungan dengan suami. Jika benar kesilapan puan yang kurang memberi layanan kepada suami, maka puan boleh mulakan bagi memenangi hatinya semula. Berhias untuknya dan beri layanan agar dia “terpaut” pada puan. Itu jika puan mahu lakukan untuk “menambat” semula hatinya.

Sibukkan Diri

Jika sebaliknya, puan malas untuk membaja semula hubungan dengan suami, maka puan perlu belajar untuk hidup tanpa pergantungan emosi terhadap suami. Suami ada sebagai ayah kepada anak-anak yang puan kasihi.

Saya nampak puan boleh berdikari sendiri dengan melakukan beberapa aktiviti seperti perniagaan online. Puan boleh wujudkan pelbagai hobi dan aktiviti sebagai satu cara melupakan kesedihan yang berlaku akibat tindakan suami. Beritahu kekecewaan puan kepada suami, walaupun dia tidak mengerti, sekurang-kurangnya puan telah menzahirkan.

Tak Mudah

Saya memahami mungkin bukan mudah untuk puan, namun itu sudah takdir Allah. Ini tandanya Allah sayangkan puan dengan diberinya ujian kepada puan. Ujian dan masalah dalam hidup sering menjadikan manusia mencari Allah untuk mendapat kebahagiaan dan ketenteraman. Maka banyakkan beribadat dengan solat malam, solat sunat, solat di awal waktu, membaca Quran, zikir dan mengikuti kuliah agama sebagai “ubat” dan “penawar” mengubat jiwa yang sedih.

Allah sendiri memberi jaminan dengan berkata; “Dengan banyak mengingati Allah, hati akan menjadi tenang”. Maka teruskan solat dan berdoa mohon pertolongan Allah agar diberinya kebahagiaan dan ketenangan kepada puan. Wallahualam.

*Seperti yang dikongsikan bersama Puan Hajah Maimunah bt Haji Mohamad, Kaunselor dan Penulis Tetap ruangan Ya Tuhan dalam Majalah Mingguan Wanita.

Published by
Nurul Azwa