Hati mana yang tak sedih, kecewa dan marah bila dapat tahu diri dimadukan dalam diam oleh suami yang selama ini dipercayai sepenuh hati? Tahu pun daripada mulut orang lain. Perkongsian seorang isteri yang dimadukan oleh suaminya tanpa disedari.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya ibu kepada sepasang cahaya mata berusia 16 dan 14 tahun dan seorang anak syurga, si bongsu yang berusia 10 tahun jika masih hidup. Saya memiliki ijazah di dalam jurusan ekonomi namun memilih untuk menjadi suri rumah kerana ingin menumpu perhatian pada dua orang cahaya mata.
Untuk pengetahuan puan, anak syurga saya itu merupakan anak istimewa dan dilahirkan tidak sempurna. Sebenarnya selepas melahirkan dialah saya memutuskan untuk berhenti kerja walau pun ketika itu karier saya sedang meningkat.
Jarang Masa Bersama
Suami saya pula seorang jurutera di sebuah syarikat cari gali. Asyik ulang alik darat dan pelantar minyak. Jadi, masa kami tak banyak dihabiskan berdua. Lebih-lebih lagi ketika anak syurga kami masih ada, sepenuh masa ditumpukan pada arwah.
Tapi saya anggap itu normal saja kerana suami juga tak mengeluh. Bila dia pulang ke rumah, jarang benar kami dapat berbual bersama kerana saya sibuk dengan anak syurga saya itu. Dulu pernah juga suami ajak keluar tapi saya beri alasan tiada orang nak jaga anak. Saya tak sanggup nak minta orang lain jaga walau pun ketika itu saya ada pembantu rumah.
Trauma Kehilangan
Saat kehilangan anak syurga tiga tahun lalu dan ia memberi kesan besar pada diri saya. Jiwa saya rasa ‘kosong’ kerana tiada lagi orang yang saya perlu belai dan manjakan setiap hari. Nasib baik ada dua anak lain yang dapat meringankan kesedihan yang saya alami.
Dek kerana trauma kehilangan itu juga, saya tak benarkan anak-anak tinggal di asrama walau pun keputusan mereka layak untuk menempatkan mereka di sekolah berasrama penuh. Saya ingin mereka ada di depan mata saya sepanjang masa. Saya tak pernah berbual dengan suami tentang rasa trauma yang sama alami.
Makin Okay
Selepas kehilangan anak syurga, hubungan saya dan suami agak membaik. Ada masanya kami keluar berdua saja. Cuma tak dinafikan, antara kami seolah-olah ada jurang yang saya sendiri tak pasti apa.
Ads
Bila ada di rumah pun, dia tetap sibuk dengan pelbagai kerjanya dan saya pula mula berjinak-jinak dalam perniagaan online. Saya nak sibukkan diri agar tak terus tertekan dengan trauma kehilangan anak bongsu.
Kedatangan Sahabat
Sehinggalah Aidilfitri lalu. Giliran beraya di rumah keluarga saya di Kelantan. Raya kedua suami sudah balik bertugas di lautan. Saya dan anak-anak tak syak apa-apa kerana sudah terbiasa dengan kesibukan suami.
Tapi kedatangan seorang rakan kami ke rumah telah membongkar satu rahsia besar. Rakan itu (si lelaki) merupakan rakan sekerja suami. Dia sengaja singgah ke rumah ibu bapa saya kerana kebetulan rumahnya berdekatan saja.
Pertanyaan rakan lelaki itu mengejutkan saya yang bertanya di mana suami saya dan kelihatan terkejut dan serba salah mendengarkan jawapan saya. Tak sedap hati, saya minta dia berterus terang. Rupanya suami saya masih bercuti tapi dengan saya dikatakan sudah kembali bekerja.
Terbongkar Rahsia Dimadu
Dipendekkan cerita, terbongkarlah rahsia yang selama ini tersimpan rapi oleh suami. Dalam diam, rupanya suami sudah menikah seorang wanita lain! Bermakna saya hidup bermadu selama ini!
Tuhan saja yang tahu hati saya saat itu. Saya mula merisik pergerakan suami dan menerusi pertolongan rakannya yang kasihan dengan saya yang dimadu dalam diam, saya dapat tahu suami telah berkahwin lima tahun lalu tapi belum punya cahaya mata bersama madu saya itu. Mereka berkahwin ketika anak bongsu saya masih hidup.
Ads
Dia pernah nyatakan pada rakan baiknya yang dia rasa terpinggir kerana saya kurang melayaninya. Puan, saya rasa sedih kerana saya tak berniat begitu. Saya masih belum mampu berterus terang dengannya tentang perkara ini. Saya makin terbeban kerana memendam rasa tapi saya tak berani nak mendengarkan pengakuan daripadanya itu. Apa saranan puan?
Isteri Kecewa, Kedah.
Jawapan:
Allah selalu beri kita apa yang kita perlukan, cuma kadang-kadang Allah tidak beri kita apa yang kita mahukan. Maka akan timbul ujian dan masalah dalam hidup.
Nikmat diberi kesihatan yang baik, nikmat masa rehat yang panjang, penghargaan daripada kerjaya yang kita pegang, nikmat harta, kekayaan, kedudukan, pasangan hidup dan anak-anak yang berjaya. Namun dalam kenikmatan itu mungkin juga tidak berpanjangan. Timbul ujian dan masalah yang menuntut kita menyelesaikannya dan membuat keputusan.
Pastinya ia mengganggu emosi dan fikiran kita sehingga boleh menjejaskan prestasi kerja seharian. Perasaan sedih, kecewa, buntu, kesal, semuanya bercampur baur. Untuk menghadapinya amatlah sukar, apatah lagi jika tiada ketahanan diri yang kuat dari segi emosi dan minda khususnya.
Pentingnya Komunikasi
Seperti yang selalu diperkatakan oleh para ahli psikologi perkahwinan, komunikasi adalah satu alat yang penting dalam membaja hubungan antara suami dan isteri agar ianya senantiasa mekar. Pun ada juga yang diuji walau sehebat mana hubungan intim yang dijalinkan kerana manusia punya nafsu dan poligami pula dibenarkan dalam Islam.
Ads
Namun, poligami sesuatu yang amat pahit untuk diterima oleh isteri yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa suaminya ada wanita lain dalam hidupnya. Justeru, ramai suami yang berkahwin secara senyap-senyap atas pelbagai alasan. Sama ada isteri baik dan beri layanan atau sebaliknya, maka suami tetap akan berkahwin tanpa pengetahuan isteri? Bagaimana pula apabila isteri mendapat tahu daripada orang lain? Pastinya rasa kecewa dan sedih menyelubungi diri.
Reda
Puan yang dirahmati Allah. Sebagai seorang Islam yang mukmin, puan reda akan ketentuan takdir Allah bukan? Di sinilah ujian buat puan untuk meningkatkan keimanan puan. Maka belajar untuk menerima ketentuan Allah. Untuk bertanya kepada suami tentang perkahwinannya dengan wanita itu adalah hak puan.
Untuk mendapat penjelasan maka bertanyalah dan cuba zahirkan perasaan yang puan simpan. Mungkin dia juga akan menzahirkan apa yang tersimpan di hatinya (mungkin ya mungkin tidak), namun puan nyatakan rasa sedih dan kecewa puan terhadapnya agar ianya tidak tersimpan lama dalam diri puan.
Seperti yang saya sebutkan di atas tadi, komunikasi adalah salah satu alat penting dalam membaja hubungan dengan suami. Jika benar kesilapan puan yang kurang memberi layanan kepada suami, maka puan boleh mulakan bagi memenangi hatinya semula. Berhias untuknya dan beri layanan agar dia “terpaut” pada puan. Itu jika puan mahu lakukan untuk “menambat” semula hatinya.
Sibukkan Diri
Jika sebaliknya, puan malas untuk membaja semula hubungan dengan suami, maka puan perlu belajar untuk hidup tanpa pergantungan emosi terhadap suami. Suami ada sebagai ayah kepada anak-anak yang puan kasihi.
Saya nampak puan boleh berdikari sendiri dengan melakukan beberapa aktiviti seperti perniagaan online. Puan boleh wujudkan pelbagai hobi dan aktiviti sebagai satu cara melupakan kesedihan yang berlaku akibat tindakan suami. Beritahu kekecewaan puan kepada suami, walaupun dia tidak mengerti, sekurang-kurangnya puan telah menzahirkan.
Tak Mudah
Saya memahami mungkin bukan mudah untuk puan, namun itu sudah takdir Allah. Ini tandanya Allah sayangkan puan dengan diberinya ujian kepada puan. Ujian dan masalah dalam hidup sering menjadikan manusia mencari Allah untuk mendapat kebahagiaan dan ketenteraman. Maka banyakkan beribadat dengan solat malam, solat sunat, solat di awal waktu, membaca Quran, zikir dan mengikuti kuliah agama sebagai “ubat” dan “penawar” mengubat jiwa yang sedih.
Allah sendiri memberi jaminan dengan berkata; “Dengan banyak mengingati Allah, hati akan menjadi tenang”. Maka teruskan solat dan berdoa mohon pertolongan Allah agar diberinya kebahagiaan dan ketenangan kepada puan. Wallahualam.
*Seperti yang dikongsikan bersama Puan Hajah Maimunah bt Haji Mohamad, Kaunselor dan Penulis Tetap ruangan Ya Tuhan dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hubungan percintaan antara wanita bujang dengan suami orang. Tidak dapat dinafikan, ramai wanita bujang yang terjebak dalam cinta begini. Kalau sudah terjebak, memang susah hendak ‘berpatah balik.’
Alasan yang diberikan biasanya dikatakan jodoh dan rasa kasih dan sayang pada lelaki yang berstatus suami orang. Bercinta dengan suami orang melibatkan banyak perkara terutama soal hati dan juga perasaan.
Wanita Bujang Bila Terjebak Berkawan Dengan Suami Orang
Melalui satu hantaran dilaman Facaebook, Firdaus Shakirin melontarkan pandangannya tentang mengapa wanita bujang perlu mengelakkan diri daripada menjalinkan hubungan dengan suami orang.
“Berkawan” dengan suami orang: Kalau boleh elak tu, elaklah…
Bila dah tersuka, bila dah dilamun cinta, terus dikatakan jodoh…nak buat macam mana kan…ketentuan ALLAH SWT…tapi pokok pangkal asal hubungan tu adalah sebab tidak pandai jaga pergaulan dan tidak tahu batas bila bergaul…
Bukan tidak tahu dia itu suami orang, tapi melayan juga…dari sekadar “cuma kawan”, sehinggalah terbinanya “satu hubungan.”
Susah Nak ‘Patah Balik’
TIGA SEBAB KENAPA PERLU ELAK BERKAWAN DENGAN SUAMI ORANG:
1. Bukan semuanya mampu
Kita bukan hendak menidakkan perkara yang halal dan boleh untuk orang lelaki buat tapi syarat utama yang membolehkan dia untuk buat pilihan itu ialah mampu. Boleh dikatakan ramai lelaki yang bergelar suami pada hari ini, tidak mampu. Kalau dia betul-betul mampu, maka isteri dia tidak membantu langsung bab kewangan. Dari A to Z dia sediakan, semua hutang dia bayarkan siap ada pakej duit belanja yang fixed lagi setiap bulan untuk isteri.
Kalau bulanan pun, isteri bayar hutang, isteri top up perbelanjaan, keluar makan isteri bayar, minyak kereta isteri penuhkan, maka di mana “kemampuan” dia untuk beristeri lebih dari satu? Kalau dia teruskan juga niat dan perbuatan itu, maka penganiayaan akan berlaku disebabkan dia tidak mampu.
2. Niat nak test market, main-main, tak serius
Bukan semua yang menyentuh hati anda itu, membuatkan anda jatuh cinta dengannya ada nawaitu ingin menghalalkan anda, ada yang saja-saja test market, sekadar suka-suka, main-main. Dia tidak mahu ke peringkat seterusnya sebab dia tiada keinginan pun untuk ke peringkat itu.
Hubungan itu sekadar mengisi masa lapang, memenuhkan masa terbuang. Dia akan mengelak daripada membicarakan soal serius ke tidak, nak berkahwin ke tidak dan sebagainya. Dia akan berjanji sahaja sepanjang masa tapi dia langsung tidak mengotakan apa yang dijanjinya.
Lebih teruk lagi, dia dapat “habuan”, dia blah dan memutuskan hubungan begitu sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Dia yang untung dan dia tak rugi apa-apa dalam hubungan yang macam ini.
3. Jangan menambahkan bilangan ibu tunggal
Biasalah, adat mula-mula hendak menumpang kasih. Bila kasih sudah ditumpang, maka mula tamak dan mahu ianya jadi hak milik seorang.
Yang pertama sudah mula rasa kurang senang, yang pertama sudah mula rasa diabaikan, yang pertama tak boleh terima diduakan, maka yang pertama pun “lebih rela” untuk bergelar ibu tunggal.
Ada suami yang sebelum bercinta dengan orang lain, sebelum berkenalan dengan orang lain, dia baik-baik sahaja dengan isterinya. Apabila berjumpa orang baru, dia jadi haru biru. Kewajipan sudah ke laut, nafkah sudah mula tak tunai. Anak isteri tak dihiraukan lagi dek kerana keasyikan dilamun cinta baru.
Ditegur tak guna, dinasihat sia-sia. Maka putus asa dan redalah si isteri dalam mempertahankan rumah tangga asbab kemunculan orang ketiga. Si suami yang asalnya hendak membantu janda, telah menjandakan pula isteri sendiri.
Sebagai suami, jagalah pergaulan dan fahamilah batas-batas pergaulan. Kita keluar mencari nafkah untuk keluarga, bukan jodoh kedua. Tengok cermin, tengok atas bawah, sedarilah kemampuan kita dan ingatlah pengorbanan yang telah isteri kita lakukan.
Kepada ‘orang ketiga’ andai rosak sesebuah rumah tangga kerana perbuatan anda, maka bertanggungjawablah untuk menjawab soalan di akhirat sana. Allah Maha Adil dan Saksama.
Siapa sangka penyakit Kanser Payudara yang biasanya dihidapi oleh golongan wanita turut menyerang lelaki.Mungkin agak jarang didengari dan dihidapi tapi itulah ketentuan takdir dan ujian buat lelaki ini.
“Saya tidak menjangkakan jadi sebegini tetapi terima ujian ini sebagai takdir tuhan,” kata pesakit barah payudara, Md Fairul Ab Rahman, 42, bapa kepada enam anak yang disahkan menghidap penyakit itu Januari lalu.
Penyakit itu kini berada di tahap empat dan kini, Md Fairul tidak dapat bekerja sebaliknya hanya menjaga empat daripada enam anaknya berumur lima bulan hingga lima tahun manakala dua lagi tinggal bersama bekas isteri.
Dikesan 2 Tahun Lalu
Berkongsi pengalamannya sebagai pesakit barah payudara, Md Fairul berkata, tanda penyakit itu mula ada sejak dua tahun lalu tetapi tidak dapat dipastikan sehingga doktor mengesahkannya.
“Payudara kanan saya mula membengkak selepas salah seorang anak melompat di dada dan saya ingatkan ia bisul.
“Lama kelamaan, bengkak itu semakin serius hingga nanah pecah dan berdarah selepas anak saya membaling mainan di bahagian dada.
“Akhirnya, bahagian bernanah itu jadi busuk dan pemeriksaan awal mendapati saya menghidap barah sebelum doktor mengesahkan penyakit berkenaan sudah di tahap tiga pada 20 Januari lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Lagoon Perdana,Bandar Sunway, di Petaling Jaya.
Merebak Pantas, Tahap 4
Menurut Md Fairul, penyakit itu merebak dengan pantas kerana dua hari lalu, doktor memaklumkannya barah yang ada sudah berada di tahap empat.
Katanya, sukar untuk menerima kenyataan itu tetapi terpaksa kuat kerana memikirkan anak yang masih kecil.
“Rasa seperti hendak terjun bangunan sewaktu diberitahu doktor, kelmarin mengenai perkembangan penyakit saya namun cuba tenangkan diri dengan beristighfar.
” Sejak disahkan menghidap barah, emosi saya sukar dikawal malah penyakit ini juga menimbulkan rasa tidak selesa dan ada kalanya tertekan hingga tanpa sengaja melepaskan kemarahan pada anak.
” Namun, saya pujuk semula mereka kerana apa yang berlaku bukan salah sesiapa sebaliknya takdir dan ujian Allah buat saya,” katanya.
Di sebalik ujian itu, Md Fairul bersyukur kerana keluarganya mahupun isteri banyak memberi sokongan termasuk bantuan kewangan sewaktu
memerlukan.
” Dulu, saya ke klinik untuk mencuci luka tetapi kos untuk satu kali cucian saja mencecah RM60.
” Bagi menjimatkan kos, saya beli sendiri barangan diperlukan di farmasi manakala isteri membantu mencuci luka pada bahagian payudara saya di rumah,” katanya.
Isteri Ambil Alih Tanggungjawab Keluarga
Sementara itu, isterinya, Siti Sapiah Hasan Basri, 28, berkata, sejak suaminya disahkan menghidap barah payudara, dia yang mengambil alih tanggungjawab untuk menyara keluarga.
Katanya, selain mencari rezeki, rutin hariannya kini kini adalah membantu mencuci luka suaminya ketika di rumah dengan mempelajarinya berdasarkan pemerhatian sendiri memandangkan tiada latar belakang dalam bidang perubatan.
” Ibarat patah kaki juga kerana sebelum ini, suami yang memandu untuk ke mana-mana tetapi sejak dia sakit, saya perlu berdikari.
” Namun, apa yang terjadi buat saya lebih kuat dan belajar untuk bersyukur kerana tahu, ramai lagi yang lebih susah dah kurang bernasib baik di luar sana.
“Alhamdulillah, majikan memahami keadaan saya dan ketika ini, biarlah saya berkorban demi suami serta anak,” katanya.
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan dan membantu keluarga ini boleh menyumbang menerusi akaun Maybank, Md Fairul Ab Rahman (164258444764).
MW: Sesungguhnya penyakit kanser menyerang tanpa mengira usia dan jantina. Semoga keluarga ini terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Sama-sama kita mendoakan dan membantu mereka.
Adab menziarahi orang sakit dan jenazah menjadi topik menjadi pengisian Mingguan Wanita Talk Show Jumaat ini. Dikelolakan oleh Siti Elizad dan IM Naufal dan turut diundang dua tetamu istimewa; Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki dan selebriti Linda Rafar berkongsi pandangan masing-masing mengenai isu ini.
Ustazah Isfadiah baru sahaja kehilangan almarhum bapa tercinta, 23 hari lalu. Mengakui dia sendiri terlibat dalam urusan memandikan jenazah arwah bapanya. Seperti insan lain, beliau pun terkesima apabila diberi ruang melihat sendiri keajaiban Allah SWT sewaktu menguruskan bapanya buat kali terakhir.
“Saya sendiri selaku ustazah, belum pernah melalui pengalaman melihat sendiri tanda-tanda akhir kematian. Secara jujur saya juga sempat google apa lagi simptom menjelang kematian yang saya terlepas pandang apabila menguruskan bapa yang tidak sihat.
“Sebenarnya tanda-tanda kematian itu tidak sama pada semua orang. Apa yang ingin saya tekankan sekiranya kita menziarahi mereka yang sedang sakit tenat atau telah meninggal dunia. Jangan lupa baca Surah Yassin dan Surah Ar Ra’d. Cari posisi paling hampir dengan si pesakit agar kita boleh membisikkan kalimah Allah dan zikrullah di pendengarannya.
Beliau juga menasihatkan adab mengunjungi mereka yang tidak sihat dan menyantuni jenazah adalah sifat empati kita ke atas si pesakit, si mati dan juga keluarganya.
“Jangan kita datang dengan niat menyusahkan mereka yang menguruskan si pesakit. Sebaiknya kitalah yang datang sambil membawa sedikit buah tangan berupa makanan. Caknalah keperluan mereka yang menjaga pesakit, mungkin kekangan masa menguruskan pesakit membuatkan si penjaga terlepas waktu makan, kepenatan dan kelaparan. Jangan dibebankan tuan rumah dengan memintanya menyediakan juadah semata-mata meraikan kedatangan kita, sedangkan dia perlu memberi perhatian ke atas pesakit,”pesan beliau.
Senyum tanda baik, wajah keruh tanda sebaliknya?
Masyarakat kita terbiasa dimomokkan dengan petanda sebegini membawa maksud yang baik atau sebaliknya. Tambah Ustazah Isfadiah lagi berhentilah membuat penilaian rawak ke atas apa yang kita lihat pada riak wajah si mati.
“Sebaiknya kita yang menziarahi mendoakan sebaiknya untuk si mati. Jangan jadi tukang menilai. Urusan kita nanti pun kita tak tahu bagaimana pengakhirannya. Berhentilah meneka-neka dan menyalah tafsir yang bukan-bukan. Selayaknya Allah SWT yang menilainya,”tegasnya.
Dua kali urus jenazah Linda Rafar terkesan dengan pengalaman ini
Sempat menguruskan dua jenazah, empat tahun lalu anak lelaki keduanya dan awal Januari lalu menguruskan arwah ibunya. Linda Rafar mengakui seolah-olah diberi petanda yang insan terdekatnya bakal pergi meninggalkannya selamanya.
“Dua kali diberi kesempatan menguruskan jenazah insan penting dalam hidup saya. Melihat sendiri tanda-tanda kematian dan berpeluang menguruskan mereka memberi kepuasan buat saya. Selaku anak dan ibu perkara ini memberi keinsafan buat saya lebih-lebih lagi mendengar dan melihat peristiwa istimewa sepanjang menguruskan dua jenazah ini,”terangnya sambil sesekali air matanya mengalir berkongsi pengalaman yang pernah dilaluinya.
Nak tahu dua peristiwa istimewa yang memberi senyuman buat Ustazah Isfadiah dan Linda Rafar? Jangan lupa saksikan ulangan Mingguan Wanita Talk Show jam 8 malam ini menerusi topik Adab Ketika Keluarga Nazak di Astro Prima 105 dan Prima HD 121.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bekas suami Kim Seri sah ke penjara, "terima kasih Kim Seri, kau kejam, Allahuakbar... Kes penipuan jenayah melibatkan Kim Seri yang menipu pelancongan ke...