Sudah tentu, setiap pasangan ingin menyambut hari istimewa bersama. Namun apakan daya keadaan sekarang membuatkan ramai pasangan terpisah dan terpaksa berjauhan berbulan-bulan lamanya.
Sedih sambut ulangtahun perkahwinan pertama secara berjauhan, hanya mampu raikan menerusi panggilan video saja suami, isteri ini terpisah sejak Mac lalu.
Suami di Singapura dan isteri pula di Sarawak, masing-masing terpisah dek pendemik Covid-19. Namun kerana tugas dan kerjaya mereka akur dengan kehendak semasa.
“Semalam adalah hari ulang tahun pertama perkahwinan saya dan isteri namun agak menyedihkan kerana kami tidak dapat bertemu sebaliknya hanya meraikannya menerusi panggilan video,” kata tukang masak Muhamad Hamidi Fikri Amran.
Muhamad Hamidi, 28, bekerja di Jurong, Singapura manakala isterinya, Norliza Borhan, 31, bertugas sebagai pensyarah sebuah kolej dan menetap di Sarikei, Sarawak.
Pasangan suami isteri itu terpisah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Sepanjang lapan bulan lalu, mereka hanya dapat berhubung menerusi kiriman WhatsApp dan panggilan video sahaja.
Berkongsi pengalaman itu, Muhamad Hamidi berkata, bukan mudah untuk dia mahupun isterinya menjalinkan hubungan jarak jauh lebih-lebih lagi apabila terpisah empat bulan selepas berumah tangga.
Namun, dia mengakui terpaksa akur dengan peraturan dan prosedur ditetapkan kedua-dua negara dalam menangani pandemik Covid-19 yang belum reda.
“Sejak berkahwin, kami tidak pernah tinggal sebumbung kerana saya menetap di Johor Bahru untuk berulang-alik ke tempat kerja di Singapura manakala isteri menyewa bersama rakannya di Sarawak.
“Pada awal perkahwinan, kami akan cuba mencari masa untuk bertemu satu sama lain biarpun tinggal berjauhan.
” Namun, Covid-19 mengubah segalanya hingga kami terpisah sejak lapan bulan lalu kerana penguatkuasaan larangan merentas negara yang mana 8 Mac adalah kali terakhir saya dan isteri bertemu,” katanya.
Baca Juga Di sini:
Pernah Dihina Kerana Positif Covid-19, Akhirnya Dua Kali Jadi Penderma Plasma
Bersalam Dengan Pesakit Covid-19 Tak Dikira KONTAK RAPAT, Hadamkan Maksud Betulnya
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Mengikut perancangan, Muhamad Hamidi mahu menyewa rumah sendiri di Johor Bahru untuk kemudahan isterinya jika datang dari Sarawak tetapi hasratnya terbantut kerana penularan Covid-19.
“Saya berada di Singapura sejak 17 Mac lalu iaitu sehari sebelum PKP dan saya sangka larangan merentas negara hanya berkuatkuasa selama dua minggu.
“Namun, ia berlarutan pula dan kini saya tinggal menyewa di asrama dalam sebuah hotel di Chinatown dengan bayaran bulanan $540 dollar Singapura (RM1,646).
“Keadaan ini membuatkan saya tertekan hingga adakalanya timbul keinginan untuk berhenti kerja tetapi keputusan itu tidak mudah kerana sudah tiga tahun bekerja di sini,” katanya.
Muhamad Hamidi berdoa semoga pandemik Covid-19 reda supaya dia dapat bertemu isteri dan keluarganya selepas sekian lama terpisah.
“Pandemik ini benar-benar menguji saya kerana turut berjauhan dengan keluarga di Temerloh, Pahang, begitu juga dengan isteri yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.
“Saya faham bukan hanya saya malah ramai lagi rakyat Malaysia di sini mengalami nasib sama apabila terpaksa berjauhan dengan insan tercinta demi mencari rezeki.
“Ini hakikat yang terpaksa diterima selagi Covid-19 belum reda dan diharap kerajaan kedua-dua negara dapat melakukan yang terbaik dalam membantu kami di sini,” katanya.
MW: Semoga mak,ayah yang terpisah dari pasangan masing-masing terus kuat berdepan dengan ujian berat. Harapnya Covid-19 cepat reda dan keadaan pulih seperti sediakala. Insyallah, amin.
Sumber: myMetro