Sedih hanya Tuhan saja yang tahu bila suami sindir penampilan diri dah macam orang gaji. Ikuti luahan rasa seorang isteri kepada MW.
Saya berusia 32 tahun dan mempunyai empat orang anak yang berusia tujuh, lima, empat dan tiga tahun. Saya seorang suri rumah sepenuh masa. Suami pula bekerja sebagai seorang akauntan.
Sebelum berkahwin, saya berkhidmat di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang agak lumayan. Namun selepas berkahwin, saya mengambil keputusan untuk melupakan dunia pekerjaan demi memberi fokus kepada keluarga. Alhamdulillah, suami seorang yang bertanggungjawab dan menyediakan segala keperluan keluarga. Malah, saya juga diberikan wang untuk perbelanjaan untuk diri sendiri.
Saya dan suami memang sukakan budak-budak. Jadi kami sepakat untuk memiliki anak yang ramai walau pun tidak pernah menetapkan jumlah berapa orang. Syukur, kami dikurniakan empat cahaya mata lelaki yang comel.
Namun, kehidupan dengan empat orang anak kecil bukan mudah. Saya tidak mempunyai pembantu rumah dan segala urusan rumah tangga diuruskan saya sendiri. Saya terima semua itu sebagai satu tanggungjawab. Sehinggalah memiliki tiga cahaya mata lelaki.
Kesemua mereka sangat lasak dan memerlukan pemantauan yang rapi. Ini membuatkan saya semakin rasa terbeban. Suami pula seorang yang tidak suka makan di luar. Jadi, saya perlu masak setiap hari. Tapi dengan keadaan anak-anak, saya tidak cukup tangan. Ini membuatkan saya rasa tertekan.
Sehinggalah saya melahirkan anak saya yang keempat yang kini berusia tiga tahun, juga lelaki. Bayangkan, saya perlu menjaga dan mengawal empat budak lelaki yang lasak-lasak. Saya semakin tidak cukup rehat dan keadaan diri semakin tidak terurus. Sedangkan dahulu saya cukup menjaga penampilan saya.
Pernah saya sarankan pada suami untuk mengambil pembantu rumah, tetapi suami menolak. Katanya tak ‘privacy’. Saya cadangkan pula mengambil pembantu harian, datang pagi dan balik petang. Sekurang-kurangnya jika suami balik ke rumah, pembantu itu juga sudah tiada. Tetapi, suami juga tidak bersetuju. Saya sendiri tidak faham mengapa dia tidak bersetuju.
Sikap suami juga menambah tekanan saya. Ya, dia baik dan bertanggungjawab tapi dia tidak pernah membantu saya melakukan apa saja kerja rumah. Pinggan makannya sendiri pun tidak dicuci. Hendak tolong tengok dan jagakan anak-anak pun, pasti ada saja alasannya. Bila anak-anak bergaduh dan menangis, dia lari ke bilik dan kunci pintu. Saya juga yang kena menghadap kerenah anak-anak. Bagaimana saya tidak semakin tertekan?
Akhirnya kesabaran saya runtuh bila baru-baru ini suami mula menyindir saya yang kini sudah macam ‘bibik’ katanya! Saya rasa sedih, marah dan kecewa. Bagaimana saya nak uruskan diri jika urusan di rumah tak putus-putus? Dah bertahun tidak ke spa atau ke salon.
Kadangkala nak mandi pun tak boleh lama jika anak-anak sudah mula menjerit dan menangis. Dia juga komen, rumah semakin bersepah. Jalan sana sini terpijak mainan anak. Bukan saya tak kemas, tapi anak-anak akan sepahkan semula. Bila suami mula kritik itu dan ini, saya tambah tertekan.
Saya hanya memerlukan pemahaman suami untuk sama-sama memikul tanggungjawab di rumah. Jika dia penat bekerja di pejabat, saya juga penat di rumah. Dari pagi, berulang alik menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan ke tadika. Bila saya nak minta anak naik van sekolah, suami tak setuju. Katanya lebih Selamat jika saya yang hantar. Kadangkala saya terfikir, apakah suami memandang rendah pada saya kerana saya tidak bekerja?
Apakah saya ini dianggap seperti orang gaji? Apakah suami ingat saya hanya makan tidur saja di rumah dan tidak membuat kerja rumah? Saya dan suami sendiri sudah semakin jarang berbual mesra. Bagaimana saya nak luahkan perasaan saya ini padanya? Kalau saya tahu begini perubahan sikapnya, baik saya beranak ramai!
Baca di sini lagi:
Isteri Bekerja Kena Perbetulkan Niat Bantu Keluarga BUKANNYA Takut Ditinggal Suami
Nak ‘Gam’ Suami Pada Isteri Ada Caranya, Bukan Dengan Kontrol Ye!
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Anak-anak adalah anugerah Allah untuk kedua ibu bapa. Mereka adalah penyambung generasi ummah. Ia adalah amanah yang Allah berikan untuk dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin. Amanah ini akan dipersoalkan di akhirat nanti apakah ibu dan bapa menjaga dan mendidik anak-anak itu untuk menjadi insan bertakwa.
Memelihara dan mendidik anak-anak untuk menjadi insan bertakwa bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kesabaran, ketahanan yang tinggi dan kemahiran dalam mendidik mereka, apatah lagi dalam dunia serba mencabar ini. Bertambah mencabar jika hanya seorang sahaja berperanan dalam memelihara dan mendidik anak-anak. Pasangan yang kurang membantu menjadikan tugas mendidik semakin terbeban. Sebaliknya, ibu bapa yang tahu bahawa ini adalah amanah Allah, menganggap bahawa ini sebagai satu anugerah Allah yang tiada nilai.
Maka antara kemegahan ibu bapa apabila menceritakan anaknya yang ramai dan keletah anak-anak. Begitulah indahnya memiliki anak-anak. Anak-anak adalah satu rahmat, hingga antara perkara yang dapat menolong ibu bapa apabila meninggal adalah doa daripada anak-anak yang soleh. Allahuakbar….
Bagi membantu meringankan bebanan puan, mungkin perkongsian ilmu boleh membantu masalah yang puan hadapi. Mendidik anak juga memerlukan kemahiran. Ibu ibarat sekolah kepada anak-anak. Anak-anak boleh dilatih sejak daripada kecil. Mendisiplinkan mereka memerlukan ketegasan, namun dalam kasih sayang.
Ibu perlu bijak menangani karenah mereka. Anak-anak perlu dididik kenapa perlu ada peraturan sehinggalah mereka mencapai tahap kematangan. Ketika itu maka kita sebagai ibu akan rasa puas hati didikan kita menjadikan mereka manusia yang berdisiplin. Pastikan anak solat pada waktunya kerana solat boleh membentuk peribadinya. Seminggu sekali atau dua kali bacakan buku cerita teladan agar anak terdidik dengan akhlak yang baik.
Berbalik kepada masalah suami yang tidak membantu puan dalam kerja rumah dan mendidik anak-anak, anggap ini adalah ujian buat puan. Ujian untuk mendapat pahala yang akan Allah berikan kepada puan yang bersabar dan gigih dalam mendidik anak-anak. Ianya akan berlalu dalam satu tempoh hingga anak-anak membesar. Apabila suami menegur, bermaksud dia sayangkan puan dan mahu puan punya penampilan agar dia senang memandang puan. Puan sendiri mengatakan bahawa suami seorang yang baik dan bertanggung jawab terhadap keluarga. Alhamdulillah.
Dalam hal ini, puan perlu mencari ruang bagaimana untuk menjaga penampilan. Belajar melakukan kerja dengan cepat dan kemas. Tidak dinafikan menjadi suri rumah memang penat dengan tugas rumah yang tidak henti. Namun, kekemasan itu boleh dipelajari hingga puan boleh jadi mahir dengan kerja rumah. Sesekali jangan longgok baju kotor atau rumah bersepah dan jangan menangguhkan kerja kerana itu akan menjadikan puan akan lebih penat untuk menyimpannya. Ajak anak untuk melakukan bersama, walaupun sukar untuk meminta mereka lakukannya, namun terus disiplinkan mereka.
Puan yang dirahmati Allah. Masih ada ruang dan peluang untuk berbual dengan suami. Jika tidak dapat berbual secara bersemuka, gunakan telefon bimbit untuk menyatakan. Walaupun suami tidak membalas, jangan kecewa. Terus berusaha. Baca buku wanita berjaya dan yang diuji dengan pelbagai cabaran. Lazimnya mereka akan jadi kuat dengan ujian yang menimpa. Puan perlu berusaha mencari ruang untuk diri sendiri dengan melakukan apa yang puan minati tanpa mengharapkan suami membantu puan untuk mengurangkan tekanan itu.
Minta izin pada suami jika puan benar-benar tertekan untuk pulang sendirian ke rumah ibu bagi mencari ketenangan. Atau ke tempat yang puan rasa boleh mengurangkan stres. Dengan anak-anak pula, gunakan dendaan seperti puan akan bawa diri jika mereka degil atau tidak mahu melakukan tugas rumah. Percayalah mereka akan tercari-cari jika puan tiada. Teringat saya akan cerita “Batu Belah Batu Bertangkup”….. boleh gunakan ini jika anak tidak mendengar kata…..
Akhir sekali banyakkan solat, khususnya solat malam, membaca al-Quran, berdoa dan bermunajat agar puan dapat mengharungi kehidupan ini dengan tabah. Di samping itu, mendoakan agar suami mahu membantu puan melakukan kerja-kerja rumah. Jiwa akan jadi tenang jika banyak ingat Allah SWT.
Artikel: Puan Maimunah Muhamad, Kaunselor, juga penulis di dalam Majalah Mingguan Wanita.