Sedih hanya Tuhan saja yang tahu bila suami sindir penampilan diri dah macam orang gaji. Ikuti luahan rasa seorang isteri kepada MW.
Saya berusia 32 tahun dan mempunyai empat orang anak yang berusia tujuh, lima, empat dan tiga tahun. Saya seorang suri rumah sepenuh masa. Suami pula bekerja sebagai seorang akauntan.
Sebelum berkahwin, saya berkhidmat di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang agak lumayan. Namun selepas berkahwin, saya mengambil keputusan untuk melupakan dunia pekerjaan demi memberi fokus kepada keluarga. Alhamdulillah, suami seorang yang bertanggungjawab dan menyediakan segala keperluan keluarga. Malah, saya juga diberikan wang untuk perbelanjaan untuk diri sendiri.
Sibuk Dengan Anak-Anak
Saya dan suami memang sukakan budak-budak. Jadi kami sepakat untuk memiliki anak yang ramai walau pun tidak pernah menetapkan jumlah berapa orang. Syukur, kami dikurniakan empat cahaya mata lelaki yang comel.
Namun, kehidupan dengan empat orang anak kecil bukan mudah. Saya tidak mempunyai pembantu rumah dan segala urusan rumah tangga diuruskan saya sendiri. Saya terima semua itu sebagai satu tanggungjawab. Sehinggalah memiliki tiga cahaya mata lelaki.
Kesemua mereka sangat lasak dan memerlukan pemantauan yang rapi. Ini membuatkan saya semakin rasa terbeban. Suami pula seorang yang tidak suka makan di luar. Jadi, saya perlu masak setiap hari. Tapi dengan keadaan anak-anak, saya tidak cukup tangan. Ini membuatkan saya rasa tertekan.
Urus Anak Hingga Tak Ada Masa Urus Diri
Sehinggalah saya melahirkan anak saya yang keempat yang kini berusia tiga tahun, juga lelaki. Bayangkan, saya perlu menjaga dan mengawal empat budak lelaki yang lasak-lasak. Saya semakin tidak cukup rehat dan keadaan diri semakin tidak terurus. Sedangkan dahulu saya cukup menjaga penampilan saya.
Pernah saya sarankan pada suami untuk mengambil pembantu rumah, tetapi suami menolak. Katanya tak ‘privacy’. Saya cadangkan pula mengambil pembantu harian, datang pagi dan balik petang. Sekurang-kurangnya jika suami balik ke rumah, pembantu itu juga sudah tiada. Tetapi, suami juga tidak bersetuju. Saya sendiri tidak faham mengapa dia tidak bersetuju.
Ads
Sikap suami juga menambah tekanan saya. Ya, dia baik dan bertanggungjawab tapi dia tidak pernah membantu saya melakukan apa saja kerja rumah. Pinggan makannya sendiri pun tidak dicuci. Hendak tolong tengok dan jagakan anak-anak pun, pasti ada saja alasannya. Bila anak-anak bergaduh dan menangis, dia lari ke bilik dan kunci pintu. Saya juga yang kena menghadap kerenah anak-anak. Bagaimana saya tidak semakin tertekan?
Mula Komen Penampilan Isteri
Akhirnya kesabaran saya runtuh bila baru-baru ini suami mula menyindir saya yang kini sudah macam ‘bibik’ katanya! Saya rasa sedih, marah dan kecewa. Bagaimana saya nak uruskan diri jika urusan di rumah tak putus-putus? Dah bertahun tidak ke spa atau ke salon.
Kadangkala nak mandi pun tak boleh lama jika anak-anak sudah mula menjerit dan menangis. Dia juga komen, rumah semakin bersepah. Jalan sana sini terpijak mainan anak. Bukan saya tak kemas, tapi anak-anak akan sepahkan semula. Bila suami mula kritik itu dan ini, saya tambah tertekan.
Saya hanya memerlukan pemahaman suami untuk sama-sama memikul tanggungjawab di rumah. Jika dia penat bekerja di pejabat, saya juga penat di rumah. Dari pagi, berulang alik menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan ke tadika. Bila saya nak minta anak naik van sekolah, suami tak setuju. Katanya lebih Selamat jika saya yang hantar. Kadangkala saya terfikir, apakah suami memandang rendah pada saya kerana saya tidak bekerja?
Apakah saya ini dianggap seperti orang gaji? Apakah suami ingat saya hanya makan tidur saja di rumah dan tidak membuat kerja rumah? Saya dan suami sendiri sudah semakin jarang berbual mesra. Bagaimana saya nak luahkan perasaan saya ini padanya? Kalau saya tahu begini perubahan sikapnya, baik saya beranak ramai!
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Anak-anak adalah anugerah Allah untuk kedua ibu bapa. Mereka adalah penyambung generasi ummah. Ia adalah amanah yang Allah berikan untuk dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin. Amanah ini akan dipersoalkan di akhirat nanti apakah ibu dan bapa menjaga dan mendidik anak-anak itu untuk menjadi insan bertakwa.
Memelihara dan mendidik anak-anak untuk menjadi insan bertakwa bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kesabaran, ketahanan yang tinggi dan kemahiran dalam mendidik mereka, apatah lagi dalam dunia serba mencabar ini. Bertambah mencabar jika hanya seorang sahaja berperanan dalam memelihara dan mendidik anak-anak. Pasangan yang kurang membantu menjadikan tugas mendidik semakin terbeban. Sebaliknya, ibu bapa yang tahu bahawa ini adalah amanah Allah, menganggap bahawa ini sebagai satu anugerah Allah yang tiada nilai.
Maka antara kemegahan ibu bapa apabila menceritakan anaknya yang ramai dan keletah anak-anak. Begitulah indahnya memiliki anak-anak. Anak-anak adalah satu rahmat, hingga antara perkara yang dapat menolong ibu bapa apabila meninggal adalah doa daripada anak-anak yang soleh. Allahuakbar….
Ads
Perlu Kemahiran Didik Anak
Bagi membantu meringankan bebanan puan, mungkin perkongsian ilmu boleh membantu masalah yang puan hadapi. Mendidik anak juga memerlukan kemahiran. Ibu ibarat sekolah kepada anak-anak. Anak-anak boleh dilatih sejak daripada kecil. Mendisiplinkan mereka memerlukan ketegasan, namun dalam kasih sayang.
Ibu perlu bijak menangani karenah mereka. Anak-anak perlu dididik kenapa perlu ada peraturan sehinggalah mereka mencapai tahap kematangan. Ketika itu maka kita sebagai ibu akan rasa puas hati didikan kita menjadikan mereka manusia yang berdisiplin. Pastikan anak solat pada waktunya kerana solat boleh membentuk peribadinya. Seminggu sekali atau dua kali bacakan buku cerita teladan agar anak terdidik dengan akhlak yang baik.
Ujian Untuk Dapat Pahala
Berbalik kepada masalah suami yang tidak membantu puan dalam kerja rumah dan mendidik anak-anak, anggap ini adalah ujian buat puan. Ujian untuk mendapat pahala yang akan Allah berikan kepada puan yang bersabar dan gigih dalam mendidik anak-anak. Ianya akan berlalu dalam satu tempoh hingga anak-anak membesar. Apabila suami menegur, bermaksud dia sayangkan puan dan mahu puan punya penampilan agar dia senang memandang puan. Puan sendiri mengatakan bahawa suami seorang yang baik dan bertanggung jawab terhadap keluarga. Alhamdulillah.
Dalam hal ini, puan perlu mencari ruang bagaimana untuk menjaga penampilan. Belajar melakukan kerja dengan cepat dan kemas. Tidak dinafikan menjadi suri rumah memang penat dengan tugas rumah yang tidak henti. Namun, kekemasan itu boleh dipelajari hingga puan boleh jadi mahir dengan kerja rumah. Sesekali jangan longgok baju kotor atau rumah bersepah dan jangan menangguhkan kerja kerana itu akan menjadikan puan akan lebih penat untuk menyimpannya. Ajak anak untuk melakukan bersama, walaupun sukar untuk meminta mereka lakukannya, namun terus disiplinkan mereka.
Berbual Dan Luahkan Pada suami
Puan yang dirahmati Allah. Masih ada ruang dan peluang untuk berbual dengan suami. Jika tidak dapat berbual secara bersemuka, gunakan telefon bimbit untuk menyatakan. Walaupun suami tidak membalas, jangan kecewa. Terus berusaha. Baca buku wanita berjaya dan yang diuji dengan pelbagai cabaran. Lazimnya mereka akan jadi kuat dengan ujian yang menimpa. Puan perlu berusaha mencari ruang untuk diri sendiri dengan melakukan apa yang puan minati tanpa mengharapkan suami membantu puan untuk mengurangkan tekanan itu.
Minta izin pada suami jika puan benar-benar tertekan untuk pulang sendirian ke rumah ibu bagi mencari ketenangan. Atau ke tempat yang puan rasa boleh mengurangkan stres. Dengan anak-anak pula, gunakan dendaan seperti puan akan bawa diri jika mereka degil atau tidak mahu melakukan tugas rumah. Percayalah mereka akan tercari-cari jika puan tiada. Teringat saya akan cerita “Batu Belah Batu Bertangkup”….. boleh gunakan ini jika anak tidak mendengar kata…..
Akhir sekali banyakkan solat, khususnya solat malam, membaca al-Quran, berdoa dan bermunajat agar puan dapat mengharungi kehidupan ini dengan tabah. Di samping itu, mendoakan agar suami mahu membantu puan melakukan kerja-kerja rumah. Jiwa akan jadi tenang jika banyak ingat Allah SWT.
Artikel: Puan Maimunah Muhamad, Kaunselor, juga penulis di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hakikat kehilangan dua anak kesayangan terlalu berat untuk dilalui wanita ini apatah lagi anak bongsunya masih menyusu badan.
Mimi Doleng, 28, mengakui malam pertama tanpa anak membuatnya sukar melelapkan mata dan terkenangkan dua beradik itu.
Mimi adalah ibu kepada dua beradik termasuk bayi perempuan yang meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Bandar Seri Iskandar, Bota, Perak, semalam.
Kerana Mereka Pergi Sekaligus
Dalam kejadian pada 4.30 pagi itu, Muhammad Fahmi, 6, dan adiknya, Nur Fahmia berusia enam bulan terperangkap di bilik tidur mereka di tingkat dua premis berkenaan.
Menurut Mimi, dia sangat merindui dua anaknya dan meminta suami membawanya ke rumah kedai untuk mengambil barang anak sebagai pengubat rindu.
“Saya ajak suami ke sana untuk cari barang anak yang masih elok, kami cuba cari baju raya mereka tapi tak jumpa, kami dapat mengambil bantal busuk Muhammad dan lampin serta cekak kepala Mia, inilah pengubat rindu kami.
“Bantal ini memang bantal kesayangan Muhammad dan mesti ada kalau dia nak tidur. Tapi kami tak lama di situ, kira-kira 30 minit… rasa sebak berada di situ teringatkan mereka,” katanya.
“Isteri juga masih bersedih dan beberapa kali memanggil nama Mia… Muhammad dalam tidurnya.’ – Mohd Fazlan.
Ibu Redha
Mimi ditemui di rumah mentuanya di Taman Tasek Putra, Tronoh pada lawatan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah yang diketuai Timbalan Ketua Polisnya, Deputi Superintendan Mohd Uzir Ismail.
Lawatan itu sebagai tanda sokongan polis kepada keluarga mangsa dan mereka turut mengadakan tahlil ringkas buat arwah Muhammad Fahmi dan Nur Fahmia.
Tambah Mimi, dia reda dengan tragedi yang meragut nyawa kedua-dua anaknya, namun ia mengambil masa untuk menerima hakikat itu.
“Susah nak terima kerana anak pergi sekali gus, mereka saja anak kami dan sentiasa ada dengan kami setiap masa dan Mia juga masih menyusu lagi tetapi saya perlu menguatkan diri dan tabah,” katanya mengalami bengkak susu sejak semalam.
Sementara itu, jelas Mohd Fazlan Nizam Mohamed Hamidi, 37, dia juga terpaksa menguatkan diri untuk menjejakkan kaki ke tingkat atas premis kerana masih terngiang-ngiang suara anak sulung menjerit memanggilnya pada hari kejadian.
“Saya tiada kekuatan mahu naik tingkat atas tapi paksa diri juga kerana kasihan pada isteri yang mengajak ke sana untuk mengambil barang anak.
“Isteri juga masih bersedih dan beberapa kali memanggil nama Mia… Muhammad dalam tidurnya.
“Masih terbayang memori kami, tempat mereka bermain dan tidur, malah masih terdengar suara anak panggil abah tetapi kami perlu tabahkan diri namun kemeriahan suasana raya memang tiada,” katanya sambil memberitahu anak sulungnya suka makan sate terutama pada Aidilfitri.
Katanya, semua pekerjanya juga tinggal sehelai sepinggang kerana bilik tidur mereka juga berada di tingkat atas dan mereka kini ditumpangkan di rumah pekerja sebuah lagi kedai makan.
Mingguan Wanita : Bukan mudah menerima kehilangan anak, apa lagi hilang dua anak serentak. Berat sungguh ujian buat pasangan ini, pasti ada hikmah di setiap apa yang berlaku.
Selayaknya pesanan ini disampaikan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza. Kerana 11 tahun mendirikan rumahtangga, tak pernah sekalipun beliau berputus asa berdoa dan terus berdoa. Memohon agar Allah memberikan rezeki cahaya mata kepadanya.
Dan pada tahun ke-11 itu, beliau disahkan hamil. Tahun ke-12 bergelar isteri, barulah Allah menjawab doanya yang satu itu. Lahirlah Siti Aafiyah Binti Khalid Mohd Jiwa pada 19 Mac 2018.
Perjalanan panjang ini memberi harapan pada wanita-wanita yang belum dikurniakan cahaya mata, bahawa rezeki anak itu pasti akan ada. Biarpun lama penantiannya.
Benarlah seperti apa yang Datuk Seri Siti Nurhaliza katakan, “Penantian inilah yang buatkan peminat ternanti-nanti. Ia jadi satu perkara yang semua orang nak tahu.”
Usaha beliau bermacam dan putus asa istilah kata untuk penyanyi bertaraf Diva ini. Penghujung tahun 2015, beliau pernah melalui fasa kesedihan dalam diri apabila alami keguguran.
Malah beliau tak malu untuk akui yang beliau jalani rawatan kesuburan ‘In Vitro Fertilization (IVF) untuk mendapatkan cahaya mata.
Serius.. bukan mudah. Tiga kali percubaan IVF perlu dilakukannya sebelum janinnya lekat. Prosesnya juga banyak peringkat. Pengorbanan untuk menjadi seorang ibu itu sebenarnya cukup besar ertinya.
“Saya rasa nak berkongsi, bagi wanita yang berumah tangga tapi belum dikurniakan cahaya mata, jangan berputus asa. Benar, orang cakap itu senang. Tapi itulah yang saya buat, saya tak pernah berputus asa, tak pernah putus doa. Yang penting sekali, sentiasalah bersangka baik dengan Allah.
“Sebab sesetengah orang itu kan bila rasa dia tak diberi rezeki akan ada kata-kata dalam hati ‘kenapa orang itu boleh dapat, kenapa saya tak boleh dapat’. Orang mula persoalkan.
“Tapi saya, dalam hati selalu kata, ‘Tak apalah Siti, Allah akan bagi pada tarikh, hari dan masa yang terbaik. Dari situlah saya selalu cakap dengan diri saya.
“Walau pun saya pergi umrah beberapa kali. Doa saya tetap doa yang sama.”
“Saya tahu Allah akan jawab suatu hari nanti. Alhamdulillah, Allah jawab doa saya. Walau pun 11 tahun tetapi tetap ada rezeki juga.”
Beri Saya 6 Bulan Untuk Pulih – Siti Nurhaliza
Justeru, bakal-bakal ibu suatu hari nanti.. janganlah pernah berputus asa. Berusahalah untuk mendapatkan rawatan yang terbaik sama ada secara tradisional ataupun moden.
Memandangkan Datuk Seri Siti Nurhaliza bersalin dalam kaedah pembedahan, beliau memaklumkan perlu mengambil masa sekurang-kurangnya 6 bulan untuk pulih sepenuhnya.
“Saya harap 6 bulan dah boleh pulih. Sesetengah orang 3 ke 4 bulan dah ok kan. Saya beri masa sebegitu supaya saya sihat sepenuhnya.
“Tak mahulah cepat-cepat slim tapi mudaratkan diri. Sekarang ini, saya masih lagi atas nasihat doktor.” Akui beliau lagi dan mengharapkan Siti Aafiyah akan menjalani kehidupan normal. Namun, beliau tak menyangkal anaknya itu sedikit sebanyak akan terkena tempias ibunya yang bergelar penyanyi.
Himpunan Artikel Mingguan Wanita Ini Diharapkan Dapat Membantu Bakal-bakal Ibu Kuat Semangat Dan Tak Putus Asa
Pelakon kecil molek berwajah comel Sari Yanti Dato’ Mohamad Nazari,33 atau lebih dikenali sebagai Sari Yanti telah selamat melahirkan cahaya mata malam tadi. Ia merupakan kelahiran anak ketiga bagi Sari Yanti yang sebelum ini telah memiliki dua orang anak lelaki iaitu Barr Al Aliy,8 dan Basit Al-Haq,6 hasil perkahwinan terdahulu.
Dengan ini, Mohd Nadzri Zainal Abidin,33 atau lebih dikenali sebagai Jep Sepahtu,Jep Sepahtu suami kepada Sari Yanti, telah selamat bergelar abah dengan kelahiran ini.Berkongsi kegembiraan dan pengalaman yang tidak dilupakan, Jepp mengucapkan rasa kesyukuran diatas kelahiran anaknya serta berterima kasih atas ucapan dan doa yang diterima serta ada memuat naik kata-kata berikut didalam posting terbaru instagram beliau;
“Allahuakbar. Syukur Alhamdulillah. Terima kasih atas ucapan serta doa yang tak henti-henti buat kami. Pengalaman yang tak boleh dilupakan. Tq sayang @sariyanti “❤️ #BabyGirl #AnakAbah #Abah
#Babygirl
Meskipun tidak mengumumkan secara rasmi jantina anak mereka, namun menerusi #babygirl yang ditulis, menunjukkan kemungkinan pasangan selebriti ini telah menimang cahayamata seorang puteri.
Sari Yanti, 34,terkenal menerusi peranannya sebagai Kaisara dalam sitkom Kisah Kaisara. Manakala, Jepp Sepahtu merupakan bekas anggota Kumpulan Sepah yang menjuarai Raja Lawak 3 dan Maharaja Lawak 2011. Pasangan ini telah mendirikan rumahtangga pada 25 Februari 2017.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat Jepp Sepahtu dan Sari Yanti. Semoga kelahiran bayi comel ini, mengikat kasih sayang, menambah kebahagiaan dan melimpahkan rezeki yang melimpah buat keluarga.Selamat berpantang Sari Yanti!
Nur Afiqah Amran yang juga Pengasas Perfume Paradise mengkagumi semangat pelakon veteran Ku Faridah atau lebih popular dengan panggilan Mak Engku. Wanita yang berusia...