
Dalam usaha membina generasi berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi, Sekolah Antarabangsa IDRISSI meraikan ulang tahun ke-10nya dengan penuh kesyukuran.
Sedekad perjalanan ini membuktikan dedikasi IDRISSI dalam mendidik anak-anak melalui gabungan unik kurikulum antarabangsa, pendidikan alam sekitar, dan nilai-nilai Islam.
Bermula Hanya 50 Pelajar
“IDRISSI bermula dengan hanya 50 pelajar pada tahun 2015. Alhamdulillah, kini kami telah berkembang dengan dua sekolah di Setia Alam dan Johor Bahru, serta komuniti yang semakin kukuh dengan hampir 700 pelajar dan sokongan padu daripada ibu bapa serta para pendidik yang berkongsi visi yang sama,” ujar Puan Julie Wong, Ketua Pegawai Eksekutif GAINS Education Group, syarikat induk Sekolah Antarabangsa IDRISSI.

Sebagai ibu yang prihatin terhadap pendidikan anak-anak, pasti teruja mendengar perkembangan IDRISSI yang bakal membuka sekolah ketiga di Bukit Jelutong, Shah Alam pada tahun ini. Dengan kapasiti 1,000 pelajar, ia memberikan lebih banyak peluang kepada ibu bapa untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang bukan sahaja berkualiti tinggi, tetapi juga berlandaskan nilai Islam yang kukuh. Malah, IDRISSI merancang untuk memperkenalkan Sekolah Antarabangsa Tahfiz IDRISSI, yang menggabungkan pendidikan akademik antarabangsa dan pengajian Islam, lengkap dengan kemudahan asrama khas.
Kelestarian Bumi Jadi Pilihan
Ulang tahun ke-10 ini diraikan dengan pameran tahunan pelajar bertemakan Secrets of the Universe: Through Nature’s Lens. Melalui 14 pameran interaktif yang merungkai keindahan ciptaan Allah seperti ekosistem laut, landskap gunung berapi dan fenomena langit, anak-anak bukan sahaja dididik tentang ilmu sains dan alam sekitar, tetapi juga peranan mereka sebagai khalifah yang bertanggungjawab memelihara bumi.
“Kami menekankan kemahiran abad ke-21 seperti kreativiti, pemikiran kritis, kerjasama dan komunikasi. Dalam menjayakan pameran ini, anak-anak perlu menjalankan penyelidikan, mengajukan soalan, menganalisis maklumat dan bekerja dalam satu pasukan. Proses ini bukan sahaja membantu mereka menjadi lebih matang, malah membentuk peribadi yang berdaya saing dan berwawasan,” kata Puan Nur Raimi Rasdi, Pengetua Sekolah Antarabangsa IDRISSI Setia Alam.
Di samping itu, IDRISSI terus mengukir kejayaan di peringkat nasional dan antarabangsa. Antara pencapaian yang membanggakan ialah anugerah 5 bintang dalam Standard Kualiti Institusi Pendidikan Swasta (SKIPS) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia serta pengiktirafan sebagai Pemenang Elite bagi Sekolah Antarabangsa Terbaik Tahunan oleh Persatuan Pengusaha Pendidikan Swasta Malaysia (PEEAM).
Lebih membanggakan, pelajar IDRISSI telah meraih Pingat Emas dalam Ekspo Teknologi Malaysia 2024 (MTE) melalui Projek Biogas Power Generator.
Semua kejayaan ini pastinya tidak akan tercapai tanpa sokongan ibu bapa, para pendidik, serta seluruh komuniti IDRISSI yang berperanan besar dalam membentuk anak-anak menjadi insan berilmu dan berakhlak mulia.
Melangkah ke hadapan, IDRISSI tetap komited dalam mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berakhlak tinggi, berilmu, dan berjiwa besar. Semoga setiap langkah yang diambil menjadi asbab keberkatan dalam kehidupan dan membantu membina generasi yang lebih baik untuk masa hadapan.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI