Sedarlah, SIKAP Kita Yang Akan Tentukan Nasib COVID-19 Di Malaysia!

Share

Sungguh ada benarnya, sikap masyarakat kita menentukan sama ada Malaysia akan bertambah pulih daripada wabak COVID-19 seperti di Wuhan, China ketika ini atau berisiko menjadi pusat wabak baharu virus itu seperti di negara Eropah.

Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan telah diarahkan, namun kesalnya terdapat sikap segelintir daripada kita yang memandang ringan dan mempersendakan arahan ini.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran, berkata mengambil kira sikap rakyat Malaysia yang tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, beliau percaya ia mungkin akan memburukkan lagi keadaan penularan COVID-19.

Kurangkan Interaksi Sosial

Malah, pihaknya tidak terkejut jika negara melancarkan perintah berkurung sepenuhnya sekiranya orang ramai masih memandang ringan isu ini.

“Mereka kena faham tujuan utama perintah kawalan ini adalah untuk memutuskan transmisi wabak itu. Jika semua berpusu-pusu ke pasar raya, ia akan menambah risiko penularan…sepatutnya kena wujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) untuk mereka membeli barangan keperluan.

“Jika orang ramai pulang ke kampung, ada kemungkinan pula ia merisikokan orang tua kerana mereka mudah dijangkiti berikutan imuniti yang rendah. Sepatutnya kena kurangkan interaksi sosial,” katanya.

Jujur Ketika Lakukan Saringan

Pada masa sama, Ganabaskaran berkata, penting bagi orang ramai berlaku jujur kepada pasukan perubatan ketika menjalani pemeriksaan atau saringan.

Katanya, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan individu berkenaan dikenakan hukuman mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang memperuntukkan hukuman dua hingga lima tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, pakar undang-undang, Datuk Salehudin Saidin, berkata negara boleh mengikuti contoh penguatkuasaan dilaksanakan kerajaan China dalam membendung COVID-19 melalui kaedah yang lebih tegas.

“Kita lihat seperti peraturan penutupan dilaksanakan China, walau dianggap kejam dan dikatakan menentang hak kemanusiaan, ia amat efektif sehingga menyebabkan tiada kes domestik dilaporkan di negara itu.

“Kalau kita tolak ansur dengan rakyat, masalah akan menjadi lebih rumit, ” katanya.

MW: Semoga kita sedar dan patuh dengan perintah kawalan pergerakan yang ditetapkan ini. Sebolehnya jaga jarak dan elakkan interaksi sosial. Jika ada gejala segeralah mendapatkan rawatan dan berlaku jujurlah dengan pasukan perubatan. Jangan pentingkan diri sendiri yang mengakibatkan lebih banyak kes jangkitan dan kematian nanti. Semoga sikap kita, berjaya menangani wabak virus berbahaya ini, Malaysia kembali pulih dan bebas daripada pandemik ini.

Sumber: Bharian

Published by
Suhaidah Abd Wahab