Sedar atau pun tak, kepesatan teknologi dan perkembangan dunia terkini merubah perspektif kita terhadap kehidupan. Masa 24 jam yang dikurniakan Allah umpama tidak mencukupi dengan lambakan tugasan yang menghambat setiap isi rumah. Bukan sahaja ibu bapa yang keletihan sesudah pulang daripada tempat kerja, malah anak-anak turut sama merasakan kepenatan itu.

Namun yang membezakan kita dengan anak-anak adalah kita sudah cukup dewasa dan matang untuk menilai keutamaan namun mereka masih mencari-cari prioriti dalam kehidupan. Oleh kerana itu, walau sesempit mana masa yang ada untuk bersama anak-anak, masa itu harus diwarnakan seindahnya, harus diisi dengan sempurna. Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhamad, pensyarah di USIM. https://www.facebook.com/naznur.muhamad

Sedar Tak, Anak Sedang Lalui Saat Mencabar

Rakan penjaga yang dihormati, anak-anak kita sedang menghadapi sebuah kehidupan yang amat mencabar. Mereka amat memerlukan kita untuk membantu menyediakan pasakan agama yang utuh dalam diri mereka.

Inilah waktunya agar anak kita nanti mampu melihat dunia ini dalam kaca mata Islam yang hakiki.Walau bagaimana canggihnya teknologi, sentuhan emosi harus dirasakan dalam memberikan dan memasakkan pendidikan awal untuk mereka.Apatah lagi apabila berkaitan dengan jalinan agama dan kehidupan, sudah pasti ia harus ditunjukkan bagaimana praktikal amalannya dalam kehidupan.

Sedar Tak Sedar Anak Cepat Membesar, Hargai Masa Bersama Mereka!

Ads

Ibu Bapa Patut Sedar Pengaruh Persekitaran Pada Anak

Persekitaran anak-anak ini membesar ialah persekitaran yang lebih banyak menggunakan logik akal dan praktikal yang boleh dilihat. Jadi, ia harus diperlihatkan agar mereka mengerti dan mengikuti.

Oleh kerana, fasa awal ini memerlukan sentuhan emosi, maka keberadaan ibu dan ayah dalam persekitaran pendidikan anak-anak amatlah penting. Melazimi, mengingatkan dan menegur adalah tiga perkara asas yang harus kerap kali dilakukan dalam persekitaran pendidikannya.

Ads

Anak-anak ini memerlukan panduan, namun caranya harus sesuai dengan umur dan fasa kehidupannya.

Bersama Pada Zahir Saja

Ada juga di antara kita yang memang selalu bersama anak namun pada zahirnya sahaja, minda dan tumpuannya menerewang entah ke mana. Ini amat mengguris hati anak-anak. Bayangkan sahaja, apabila dipanggil-panggil tiada respons yang diterima. Seolah-olah kita tidak ada bersamanya.

Ads

Hargailah masa bersama mereka. Kerana masa itu amat singkat. Putaran masa yang semakin singkat membuatkan kita terleka dengan perkara-perkara yang mungkin kita sendiri tidak pasti akan prioritinya. Mereka masih muda dan memerlukan bimbingan. Masa yang diperuntukkan bersama amat besar ertinya buat mereka, malah memberikan impak emosi yang besar dalam kehidupan mereka.

Bermula Dari Kecil

Segala-galanya bermula di usia kecil. Jika pada usia ini mereka mendapat sentuhan emosi yang baik daripada kedua ibu bapa dan persekitarannya, maka insyaAllah, tumbesarannya dan perkembangan minda serta fizikalnya juga akan berjalan lancar. Anak-anak ini akan membesar dengan baik tanpa sebarang gangguan. Tumbesaran yang baik ini akan membantunya membina persepsi kendiri yang positif malah sebuah persepsi tentang kehidupan yang baik.

Di sinilah kita mudah untuk melakukan monitoring setelah dia semakin dewasa kerana kita sudahpun menanamkan rasa percaya dan selesa dalam diri anak-anak dalam hubungan kekeluargaan. Dan ianya bermula daripada usia yang masih kecil bersama sedikit pengorbanan masa yang kita lakukan untuk menghargai masa yang dianugerahkan Allah untuk kita bersama dengannya.

Rancanglah waktu untuk waktu itu. Gembirakan hati anak dan sentuhlah emosinya agar ia terus berkembang positif. Insya-llah usaha yang dilakukan ini pasti ada berkahnya disisi Allah kelak. Wallahuallam…

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI