Kecantikan seorang wanita dan bijak menguruskan diri, rumah serta anak-anak adalah kelemahan bagi setiap lelaki. Namun begitu, kecantikan ini berbeza dari pandangan seorang suami dengan suami yang lain. Hal ini termasuklah, senyuman yang menawan, penampilan diri, layanan dan juga mempunyai bau-bauan yang indah. Tetapi tahukan anda, di sebalik selekeh seorang isteri, terlalu banyak perkara yang dirinya lakukan saban hari. Bukan sengaja dia selekeh sebaliknya bersebab.
Secara tidak langsung, bau-bauan mampu membuka dan merangsang deria dan selera seseorang lelaki untuk mendampingi isteri masing-masing. Isteri yang selekeh akan menutup selera suami untuk bersama isteri dan ini boleh dilihat melalui layanan yang kurang daripada seorang suami terhadap isteri. Jika isteri selekeh dan kurang menarik pada pandangannya, suami hanya mampu melihat dan tidak mahu menegur kerana mungkin takut disalah ertikan teguran tersebut sebagai menghina. Jika suami menegur, ia adalah tanda-tanda awal untuk sang isteri berubah sebelum suaminya pula berubah perhatiannya.
Kesimpulannya, isteri ni selekeh bersebab. Kalau nak cantik-cantik sepanjang masa, mungkin anak-anak tak terurus. Rumah jadi tunggang langgang. Tidak dinafikan, setiap ibu memang sanggup berkorban apa sahaja untuk anak sehingga lupa untuk menghias diri mereka sendiri. Tetapi, penjagaan anak tidak boleh dibuat sebagai alasan untuk tidak menjaga diri.
Jelas, Dr Ben Fadzil Mohd Salleh, Business Forensic Psychologist, Change Management Specialist, Self Hypnotist & Hypnotherapist, adakalanya seorang isteri menjaga anak-anaknya sehingga tidak mengindahkan dirinya. Ini mungkin disebabkan si isteri terlampau sibuk atau tidak ada masa untuk menjaga diri demi suami. Perkara seperti ini adalah tidak sihat dalam perhubungan suami isteri.
Perkara ini sama sekali tidak mendatangkan masalah jika sang suami jua selekeh dan tidak mengindahkan dirinya untuk isteri dengan alasan dia tidak ada masa. Jadi secara umumnya, berkeadaan selekeh itu boleh diterima kerana masing-masing mengalami situasi yang sama dan selesa dengan situasi tersebut. Walau bagaimanapun, berkeadaan selekeh melambangkan sikap pengotor dan malas.
Punca Isteri Selekeh
Tambah Dr Ben Fadzil lagi, setiap isteri akan rasa selesa dengan keadaan selekehnya atau dirinya memang sengaja melengah-lengahkan masa untuk membersihkan serta menyiapkan diri disebabkan tiada orang yang berani menegurnya dan tiada sesiapa yang menegur tentang tabiat butuknya itu. Sikap malas atau suka melewatkan serta melambatkan masa berhias ini akan mendorong si isteri merasa amat selesa kerana telah memperolehi suami dan memberinya anak. Namun begitu perlu diingat, seorang isteri yang selekeh tidak dapat menjanjikan yang suaminya senang dengan penampilannya.
Oleh itu, suami perlu memberi teguran yang positif serta membina dan bukan memberi teguran seperti menghina dan mengecilkan hati seorang isteri. Isteri pula perlu mengambil teguran ini sebagai sesuatu yang positif yang boleh mengeratkan lagi kasih sayang. Teguran daripada sang suami tidak boleh dibuat dalam keadaan marah atau mengugut kerana ini akan disalah tafsir oleh penerima dan sesiapa yang mendengar.
Di samping itu, teguran daripada suami adalah seperti menerima isyarat bendera merah untuk isteri melakukan perubahan terhadap dirinya sendiri agar suami tetap bersamanya daripada mengambil keputusan atau alasan untuk tidak pulang ke rumah atau mencari penganti yang lain. Selain itu, apabila suami mulai sakit mata melihat penampilan isteri yang tidak mahu memperbaiki dirinya atau tidak berhias untuk suami, si suami mungkin akan mencari jalan keluar dengan mencari apa yang dia hendak di luar rumah, seperti sesuatu yang menyenangkan pemikiran.
Sang suami juga pasti akan mencari pemandangan yang tidak membuat mindanya kusut dan stres. Malahan, jika dibiarkan berlarutan si suami pasti akan mula membuat alasan demi alasan untuk tidak berada dengan isteri yang selekeh. Tidak ada suami yang akan merasa bangga terhadap isterinya sendiri jika isterinya selekeh. Isteri yang selekeh adalah isteri yang tidak menjaga hati suami, maruah dan kedudukan suami itu sendiri.
Saranan dan Nasihat Kepada Isteri.
Di samping itu, menurut Dr Ben Fadzil lagi, adakah anda ingin “menarik minat suami pada anda atau menolak suami daripada anda”? Untuk berjaya menarik minat suami pada anda, setiap isteri perlulah mempelajari pelajaran “Cara Memiliki suami untuk diri sendiri” yang tidak diajar dimana-mana universiti. Ini termasuklah pelajaran common sense.