Sedapnya Kepak Ayam Ala Korea, Nikmatinya Sekarang di Oren19

Share

Selama ini kita hanya mampu menikmati hidangan kepak ayam dengan rasa pedas atau madu di restoran Korea sahaja. Kini anda berpeluang merasai kepak ayam di kafe Oren19, uniknya terdapat lebih dari satu jenis rasa atau sos antaranya Soy Garlic, Spicy Soy, Salted Caramel dan Salted Egg.

Sebenarnya pembukaan kafe Oren19 yang terletak di Putra Heights ini adalah secara kebetulan. Hanya bermula dengan mengusahakan katering secara kecil-kecilan di rumah akhirnya dengan izin-Nya kini mereka memiliki sebuah kafe sendiri.

Siti Murni Ahmad Zawawi, 29 tahun dan suaminya Shah-Qays Md Shah, 32 tahun, sememangnya berkongsi minat yang sama dalam bisnes makanan.

Impian Tercapai

Biar pun bermula dengan menjual kerepek seaweed secara sepenuh masa dan dalam masa yang sama berniaga makanan dan membuat penghantaran makanan, kini mereka tersenyum lega apabila kafe yang diimpikan berada di depan mata.

Oren19 mula beroperasi 8 Mac lalu dan respon yang diterima daripada ahli keluarga dan masyarakat setempat cukup menggalakkan. Café yang terletak di sekitar kawasan perumahan ini pastinya mencuri tumpuan ibu bapa untuk membawa anak-anak kerana kafe ini mengetengahkan konsep santai dan mesra kanak-kanak.

Lakukan Inovasi

Jika anda bernasib baik, anda dapat menikmati hidangan di Oren19 sambil ditemani dengan iringan muzik daripada band yang mengadakan persembahan. Di samping dekorasi yang minimalis dan selesa, dinding kafe ini turut tergantung lukisan hasil karya bapa Shah-Qays.

“Selain daripada butter chicken, lamb grill dan chicken wing bersalut pelbagai sos, nasi kami iaitu amoi rice turut mendapat pujian pelanggan yang datang. Menurut mereka, rasa nasi kami cukup berbeza dan sedap. Resipi ini telah saya lakukan beberapa inovasi dan pembaharuan untuk mendapat rasa sebegini.

“Di samping itu bagi pelanggan yang tidak dapat menikmati hidangan di kafe kami, kami turut menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah. Selain makanan Melayu seperti dendeng, kami juga mengetengahkan menu barat dan Korea.

“Kami sentiasa mengikut trend dan permintaan pelanggan. Oleh hal yang demikian, kami sentiasa mengubah menu dan cuba mempelbagaikan menu agar menepati kehendak semasa.

“Paling penting saya dan suami akan sama-sama akan lakukan eksperimen bila mencuba resipi, setelah lulus barulah kami jadikan ia sebagai menu pilihan di kafe,” ungkap Siti Murni.

Dekorasi yang manimalis cukup sesuai seisi keluarga.
Bantu Jana Pendapatan

Bagi Shah-Qays pula impiannya bukanlah sekadar memajukan perniagaan semata-mata, sebaliknya ingin membantu orang lain sama-sama menjana keuntungan dalam bisnes makanan.

Dirinya mengalu-alukan sesiapa berminat untuk memilih kafe mereka menjadi “food hub”, oleh itu pelanggan dapat menikmati pelbagai hidangan dan menu di Oren19.

Semoga Tuhan mengabulkan impian mereka berdua untuk membantu lebih ramai peniaga makanan. Terdahulu, mereka turut menerima kunjungan foodtruck pada hari-hari tertentu.

Published by
Syazwani Mehat