Ada anak istimewa itu sebenarnya hadiah dari Allah. Benar… nak mendapatkan kekuatan bukan mudah dan bukan sekelip mata. Perlu berendam dengan air mata atau mungkin mengorbankan banyak perkara.
Di hadapan manusia kita perlu kelihatan kuat dan tabah walau hakikatnya ada saat dan ketika kita sedang bergelut dengan kepayahan, kita tidak boleh kelihatan lemah di mata mereka.
Sebab tiada pergantungan yang sewajarnya kita letakkan melainkan hanya kepada Allah. Dialah sumber kekuatan kita. Hanya DIA. Itulah yang diluahkan dari sudut hati ibu muda ini, Puan Norlia Ismail, yang redha dengan ujian hidupnya satu persatu. Berliku-liku. Jemput renungkan perkongsiannya yang mungkin boleh cuit hati kaum mak-mak yang berdepan dengan situasi yang sama.
Pertama sekali, perkongsian ini mungkin kedengaran sedih.
Saya belajar setakat Diploma. CGPA 3.68 dari sebuah Politeknik. Dengan berbekalkan CGPA yang saya rasakan agak memberangsangkan, maka saya berharap agar saya dapat menyambung pelajaran (degree) di universiti.
Tetapi “tawaran untuk menjadi isteri orang” sampai dahulu. Saya pilih tawaran ini, dan lupakan niat untuk sambung belajar.
Kerana ramai yang tahu keputusan akademik saya agak bagus sejak di bangku sekolah (kerana mereka sendiri tanya), maka saya dijadikan bahan pertikaian. Saya sering diasak dengan pertanyaan kenapa saya tidak mahu sambung belajar.
Malah saya pernah dipersoal kerana berkahwin pada usia 22 tahun. Katanya terlalu muda. Bertambah lagi modal orang lain untuk mengata apabila mereka tahu saya tidak bekerja.
Hari ini saya perhatikan ramai kawan sekolah saya yang berjaya dengan kerjaya masing-masing. Tidak ramai yang belajar setakat diploma. Paling-paling pun mereka ada degree. Kadang-kadang saya rasa malu dengan apa yang saya ada. Sebab di sekolah dahulu saya agak terkedepan.
Saya sengaja keluar dari beberapa group whatsapp sekolah. Kerana rata-rata ahli banyak bercerita tentang sambung belajar, pasal kerja. Dan saya? Mahu cerita apa? Saya rasakan cerita saya tidak langsung bersesuaian dengan mereka.
Maka saya keluar dari group.
Ditambah pula apabila saya perhatikan di antara kawan-kawan saya, hanya saya sorang sahaja yang dikurniakan anak berkeperluan khas. Saya sedih. Saya rasa mesti orang lain akan cakap padan muka. Sambung belajar tidak mahu, kerja tidak mahu, ditakdirkan pula dapat anak macam ini.
Saya yakin pasti ada yang menyalahkan ibu dan bapa seperti kami kerana memberi itu dan ini pada anak, dan tidak mustahil akan ada individu yang sengaja membangkitkan hal dosa dan pahala.
Sedang semua maklum bahawa kita semua adalah pendosa, sungguh tidak adil rasanya andai ada yang menjaja cerita bahawa dikurniakan anak istimewa adalah kifarah dari kekhilafan kami berdua.
Dan di kala orang lain sedang rancak bercerita tentang kehidupan masing-masing, saya pula di sini sedang rancak bercerita tentang “kesukaran” saya dalam menjaga anak sendiri. Pasti akan ada yang persoal, saya sendiri yang memilih justeru kenapa perlu berasa sedih?
Saya ini orangnya, mood mudah berubah. Sensitif. Tetapi mujurlah saya jenis mampu memotivasikan diri saya sendiri. Kerana itu saya suka meluangkan masa membaca kata-kata yang bermotivasi, dengan harapan dapat memotivasikan diri saya sendiri.
Saya bersyukur kerana pada usia ini, Allah telah memakbulkan banyak doa-doa saya dan telah memenuhi banyak harapan besar saya.
Dahulu saya selalu kata pada kawan-kawan yang saya mahu berkahwin pada usia saya 23 tahun. Tetapi Allah Maha Penyayang, Allah beri saya kahwin pada usia saya 22 tahun.
Saya juga selalu berimpian mahu ke Kaabah, tapi saya selalu merasakan yang saya tidak akan dapat pergi pada usia muda kerana beberapa faktor. Tetapi Allah Maha Penyayang, Allah jemput saya ke “rumahnya” semasa saya berumur 27 tahun. Lebih mengharukan, Allah beri saya “kekuatan” luar biasa. Saya dapat ke Baitullah bersama baby saya yang perlu sentiasa didukung walaupun saya baru sahaja 11 bulan melahirkan baby secara pembedahan, tanpa suami saya temani.
Malah Allah beri saya peluang untuk menemani dan berbakti kepada ibu dan bapa saya semasa mereka berdua mengerjakan umrah di Makkah.
Jika difikirkan sebenarnya agak mustahil saya akan ke Makkah dan Madinah tanpa suami saya temani, ditambah pula saya membawa baby saya sekali. Tetapi itulah, Allah Maha Berkuasa. Allah jugalah yang membantu dan Allah jugalah yang memberi kemudahan atas segala kesulitan.
Dan sedang saya terlalu melayan “kesedihan” dikurniakan anak istimewa, saya akhirnya tersedar bahawa Allah sebenarnya telah memakbulkan satu lagi doa saya.
Bukankah saya juga sering berdoa kepada Allah supaya mengurniakan saya dan suami anak-anak yang soleh dan solehah, yang dapat membawa kami ke syurga?
Ini dia, telah Allah makbulkan. Allah beri Naim untuk saya dan suami jaga, supaya dengan adanya dia, akan dapat menjadi asbab untuk saya dan suami ke syurga.
Bukankah walau apa jua yang kita rancangkan, pengakhirannya Allah yang tentukan?
Sebenarnya kita semua diuji dengan berbagai cara.. Cuma adakah kita menganggapnya sebagai rezeki atau dugaan.
“Alhamdulillah ‘ala kulli hal”
Sungguh, dugaan itu juga rezeki.
“Apabila kita sering membandingkan kekurangan diri kita dengan diri orang lain, maka kita akan selalu terlihat kurang. Belajarlah menghargai apa yang kita ada kini supaya kita tidak terlepas setiap kenangan indah.”
Mari sebarkan aura positif.
-Norlia Ismail- ❤️