Ada anak istimewa itu sebenarnya hadiah dari Allah. Benar… nak mendapatkan kekuatan bukan mudah dan bukan sekelip mata. Perlu berendam dengan air mata atau mungkin mengorbankan banyak perkara.
Di hadapan manusia kita perlu kelihatan kuat dan tabah walau hakikatnya ada saat dan ketika kita sedang bergelut dengan kepayahan, kita tidak boleh kelihatan lemah di mata mereka.
Sebab tiada pergantungan yang sewajarnya kita letakkan melainkan hanya kepada Allah. Dialah sumber kekuatan kita. Hanya DIA. Itulah yang diluahkan dari sudut hati ibu muda ini, Puan Norlia Ismail, yang redha dengan ujian hidupnya satu persatu. Berliku-liku. Jemput renungkan perkongsiannya yang mungkin boleh cuit hati kaum mak-mak yang berdepan dengan situasi yang sama.
Pertama sekali, perkongsian ini mungkin kedengaran sedih.
Saya belajar setakat Diploma. CGPA 3.68 dari sebuah Politeknik. Dengan berbekalkan CGPA yang saya rasakan agak memberangsangkan, maka saya berharap agar saya dapat menyambung pelajaran (degree) di universiti.
Tetapi “tawaran untuk menjadi isteri orang” sampai dahulu. Saya pilih tawaran ini, dan lupakan niat untuk sambung belajar.
Kerana ramai yang tahu keputusan akademik saya agak bagus sejak di bangku sekolah (kerana mereka sendiri tanya), maka saya dijadikan bahan pertikaian. Saya sering diasak dengan pertanyaan kenapa saya tidak mahu sambung belajar.
Disoal Kenapa Kahwin Awal
Malah saya pernah dipersoal kerana berkahwin pada usia 22 tahun. Katanya terlalu muda. Bertambah lagi modal orang lain untuk mengata apabila mereka tahu saya tidak bekerja.
Hari ini saya perhatikan ramai kawan sekolah saya yang berjaya dengan kerjaya masing-masing. Tidak ramai yang belajar setakat diploma. Paling-paling pun mereka ada degree. Kadang-kadang saya rasa malu dengan apa yang saya ada. Sebab di sekolah dahulu saya agak terkedepan.
Ads
Saya sengaja keluar dari beberapa group whatsapp sekolah. Kerana rata-rata ahli banyak bercerita tentang sambung belajar, pasal kerja. Dan saya? Mahu cerita apa? Saya rasakan cerita saya tidak langsung bersesuaian dengan mereka.
Maka saya keluar dari group.
Ditambah pula apabila saya perhatikan di antara kawan-kawan saya, hanya saya sorang sahaja yang dikurniakan anak berkeperluan khas. Saya sedih. Saya rasa mesti orang lain akan cakap padan muka. Sambung belajar tidak mahu, kerja tidak mahu, ditakdirkan pula dapat anak macam ini.
Ramai Yang Salahkan Mak Ayah
Saya yakin pasti ada yang menyalahkan ibu dan bapa seperti kami kerana memberi itu dan ini pada anak, dan tidak mustahil akan ada individu yang sengaja membangkitkan hal dosa dan pahala.
Sedang semua maklum bahawa kita semua adalah pendosa, sungguh tidak adil rasanya andai ada yang menjaja cerita bahawa dikurniakan anak istimewa adalah kifarah dari kekhilafan kami berdua.
Dan di kala orang lain sedang rancak bercerita tentang kehidupan masing-masing, saya pula di sini sedang rancak bercerita tentang “kesukaran” saya dalam menjaga anak sendiri. Pasti akan ada yang persoal, saya sendiri yang memilih justeru kenapa perlu berasa sedih?
Ads
Saya ini orangnya, mood mudah berubah. Sensitif. Tetapi mujurlah saya jenis mampu memotivasikan diri saya sendiri. Kerana itu saya suka meluangkan masa membaca kata-kata yang bermotivasi, dengan harapan dapat memotivasikan diri saya sendiri.
Allah Bagi Satu Persatu-satu
Saya bersyukur kerana pada usia ini, Allah telah memakbulkan banyak doa-doa saya dan telah memenuhi banyak harapan besar saya.
Dahulu saya selalu kata pada kawan-kawan yang saya mahu berkahwin pada usia saya 23 tahun. Tetapi Allah Maha Penyayang, Allah beri saya kahwin pada usia saya 22 tahun.
Saya juga selalu berimpian mahu ke Kaabah, tapi saya selalu merasakan yang saya tidak akan dapat pergi pada usia muda kerana beberapa faktor. Tetapi Allah Maha Penyayang, Allah jemput saya ke “rumahnya” semasa saya berumur 27 tahun. Lebih mengharukan, Allah beri saya “kekuatan” luar biasa. Saya dapat ke Baitullah bersama baby saya yang perlu sentiasa didukung walaupun saya baru sahaja 11 bulan melahirkan baby secara pembedahan, tanpa suami saya temani.
Malah Allah beri saya peluang untuk menemani dan berbakti kepada ibu dan bapa saya semasa mereka berdua mengerjakan umrah di Makkah.
Ads
Jika difikirkan sebenarnya agak mustahil saya akan ke Makkah dan Madinah tanpa suami saya temani, ditambah pula saya membawa baby saya sekali. Tetapi itulah, Allah Maha Berkuasa. Allah jugalah yang membantu dan Allah jugalah yang memberi kemudahan atas segala kesulitan.
Anak Istimewa Itu Hadiah Dari Allah
Dan sedang saya terlalu melayan “kesedihan” dikurniakan anak istimewa, saya akhirnya tersedar bahawa Allah sebenarnya telah memakbulkan satu lagi doa saya.
Bukankah saya juga sering berdoa kepada Allah supaya mengurniakan saya dan suami anak-anak yang soleh dan solehah, yang dapat membawa kami ke syurga?
Ini dia, telah Allah makbulkan. Allah beri Naim untuk saya dan suami jaga, supaya dengan adanya dia, akan dapat menjadi asbab untuk saya dan suami ke syurga.
Bukankah walau apa jua yang kita rancangkan, pengakhirannya Allah yang tentukan?
Sebenarnya kita semua diuji dengan berbagai cara.. Cuma adakah kita menganggapnya sebagai rezeki atau dugaan.
“Alhamdulillah ‘ala kulli hal”
Sungguh, dugaan itu juga rezeki.
“Apabila kita sering membandingkan kekurangan diri kita dengan diri orang lain, maka kita akan selalu terlihat kurang. Belajarlah menghargai apa yang kita ada kini supaya kita tidak terlepas setiap kenangan indah.”
Nota:
Mari sebarkan aura positif.
-Norlia Ismail- ❤️
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Anak zuriat penyambung keluarga. Tetapi setelah lama mendirikan rumah tangga, ada pasangan suami-isteri yang masih tidak dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata. Sudah pelbagai cara dilakukan tetapi anak yang ditunggu tidak juga kunjung tiba.
Topik Penantian Cahaya Mata telah dibincangkan dalam Mingguan Wanita Talkshow yang bersiaran dari pukul 12.00 hingga 1.00 tengah hari di saluran Astro Prima 105. Elizad, Norman Hakim dan Erra Fazira serta tetamu jemputan telah membincangkan topik yang sentiasa menjadi tumpuan pasangan yang mahu mendapatkan cahaya mata setelah lama mendirikan rumah tangga.
.
Salah satu persoalan yang sering ditanya adalah apakah faktor-faktor utama yang memungkinkan pasangan suami-isteri itu tidak berjaya mempunyai anak?
Jelas Dr Norazlin Yusof, Pengarah Perubatan, Pakar Fertiliti & Sakit Puan, Pusat Kesuburan Sophea, masalah ketidaksuburan atau fertiliti itu bukan berlaku selepas beberapa tahun. Dari segi klinikalnya masalah kesuburan itu timbul setelah pasangan itu mencuba untuk mengandung selepas setahun sahaja.
“Faktor-faktor kenapa tidak berjaya mengandung itu bergantung kepada kedua-dua belah pihak. Kebanyakannya kedua-duanya ada masalah selepas bertahun-tahun mencuba. Kalau tidak berjaya adalah disarankan pasangan itu untuk datang untuk membuat saringan kesuburan.”
Semasa saringan kesuburan itu dilakukan, doktor akan melihat bahagian peranakan dan memeriksa sama ada isteri boleh mengeluarkan telur setiap bulan. Bagi suami pula, doktor juga akan memeriksa sama ada sperma mereka bermasalah atau tidak. Ada beberapa ujian perlu dilakukan.
Berkaitan dengan rawatan, Dr Norazlin menjelaskan semuanya dilakukan selepas ujian dibuat.
“Ketidaksuburan ini kita tidak boleh salahkan kedua-dua belah pihak. Dari awal doktor mahu memastikan sama ada suami isteri itu ada masalah kesihatan atau tidak. Ada masalah kesihatan yang menganggu kesuburan.”
Sebagai contohnya masalah diabetes dan masalah hormon seperti tiroid. Masalah kesihatan ini perlu dikawal terlebih dahulu.
Perlu Lakukan Rawatan Kesuburan Dengan Kerap
Apakah cara terbaik untuk mendapatkan rawatan ketidaksuburan? Jelas Dr Salleha Khalid, Pakar Fertiliti & Sakit Puan, Pusat Kesuburan Sophea, apa yang terbaik boleh dilakukan oleh pasangan suami-isteri adalah membuat ujian saringan kesuburan bagi mengesan sebarang masalah.
“Suami-isteri perlu datang berdua. Tidak boleh seorang sahaja yang buat ujian saringan kesuburan. Hendak dapat anak kedua-dua kena komited. Pada masa yang sama adalah digalakkan pasangan suami-isteri ini menjalani gaya hidup sihat seperti jaga berat badan, ambil makanan yang seimbang. Bagi wanita pula, ambillah asid folik dan vitamin D untuk mempersiapkan diri untuk kehamilan.”
Jelasnya lagi dalam usaha untuk hamil, pasangan suami-isteri perlu melakukan rawatan kesuburan dengan kerap sehinggalah berjaya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila anak seorang, ragamnya lain. Bagaimana pula dengan mak-mak yang mempunyai anak ramai. Mahu, macam-macam peel dan berbalah itu normal bagi mereka. Kadang-kadang, boleh naik pening mak-mak dengan perangai mereka.
Memang berbalah itu normal bagi adik beradik. Mesti ada yang tidak puas hati, berebut benda yang sama dan tak kurang juga yang bergaduh mulut, lepas tu mulalah ada yang kena ‘gusti’. Apa lagi, adalah suara yang menangis.
Biasanya, kalau anak menangis itu, kira dah tahap sakit. Bila macam ni, mak-mak mulalah tak ada kompromi, akan dengarlah ‘jeritan’ suara mak-mak.
Perkongsian daripada Dr Rozanizam Zakaria boleh memberi panduan buat mak ayah di luar sana dalam menangani masalah ‘perang saudara’. Paling penting, mak ayah tak perlu jadi pengadil tapi cubalah alihkan perhatian atau pun tidak membandingkan dengan anak orang lain.
Anak Berbalah Itu Normal, Semua Anak Orang Pun Sama
TIP ELAK PERANG SAUDARA:
Atasi anak berebut dan bergaduh adik beradik.
Bergaduh adik beradik itu sebahagian plot normal dalam cerita mana-mana keluarga.
Tapi bagaimana nak ubat plot ini menjadi peluang bina EQ anak-anak dan tidak menjadi memori pahit yang membekas dalam diri mereka?
Jalan mudah – ibu bapa jadi pengadil, siapa salah akan kena atau dua-dua akan kena. Jalan ini mungkin yang paling cepat, tapi masalahnya anak-anak tidak belajar apa-apa darinya. Buktinya – sejam lagi dia buat pula.
Jalan susah sikit – tapi therapeuthic. Kita modify behaviour guna acknowledgement of emotion dan consequences. Sekali sekala kena cuba jalan susah, kalau kesannya lebih kekal.
Tip elak anak berebut atau berbalah (tanpa perlu jadi pengadil)
1. Jika pergaduhan itu mengenai perkara remeh – abaikan. (teknik ini nak latih anak yang kena supaya ada threshold mengadu lebih tinggi, serta discourage anak yang buat supaya tak dapat perhatian)
2. Jika ia lebih serius seperti berebut mainan sehingga menganggu permainan atau melarat menjadi perbalahan – mulakan dengan acknowledge perasaan marah kedua-dua anak (“Mama tengok kakak dengan adik betul-betul marah”).
3. Bila mereka mengadu, dengan dengan hormat (be respectful – dengar, tengok mata mereka dan pegang jika perlu).
4. Tunjukkan pada mereka anda faham dan situasi itu sukar bagi mereka – (“kakak nak lego yang ni buat rumah Barbie, adik nak buat kereta…tapi lego ni ada satu sahaja tinggal. Patutlah kakak dan adik berebut, sebab tinggal satu aje).
5. Tunjukkan yang anda percaya mereka boleh selesaikan – (“Mama tahu dua-dua nak benda yang sama, tapi benda ada satu sahaja, cuba kakak dengan adik fikir, macam mana nak kongsi supaya dua-dua tak bergaduh. Mama tahu kakak dengan adik mesti boleh selesaikan..dah besar kan? Dua-dua anak soleh Mama”)
6. Tinggalkan. Teknik ini mungkin tak selesaikan perbalahan mereka. Tapi ia akan elakkan perbalahan jadi lebih teruk. Jika kita konsisten dengan teknik ini, mereka akan mula belajar kaitkan bergaduh dan berebut dengan emosi yang negatif (marah, bergaduh) kerana kita acknowledge dan mereka juga jadi lebih berdikari dalam menguruskan emosi. Jika pergaduhan jadi berpanjangan aau melarat menjadi fizikal, sambung dengan teknik ini:
7. Nyatakan dengan jelas apa yang anda nampak dan tidak suka (“nampaknya kakak dengan adik tak nak beralah dan kongsi permainan sama-sama, sekarang dah jadi gaduh..”)
8. Tarik reward bermain (time-off) dan asingkan – (“sekarang, dua-dua tak boleh main untuk sepuluh minit. Kakak pergi bilik kakak, adik pergi main bilik adik. Bila dua-dua dah tenang, baru boleh main semula”).
9. Apa yang paling penting – konsisten. Tak kisah. Hebat mana teknik, kalau kita give in here and there. mereka akan dengan cepat tahu trick nak tewaskan peraturan kita.
Perkara Yang Ibubapa Perlu Elakkan Apabila Anak-Anak Berebut
1. Jangan label – “kakak dengan adik ni asyik bergaduh aje”
2. Jangan bandingkan – “kenapa kamu berdua tak boleh jadi macam anak auntie X”. Semua adik beradik bergaduh dalam dunia ni, termasuk auntie X, Y dan Z
3. Terima apa cakap mereka. Jangan tunjukkan anda berpihak atau tidak mempercayai salah seorang
4. Biarkan mereka marah – marah ialah emosi manusia, jangan halang, tapi tunjukkan mereka cara betul nak tunjuk marah.
5. Beri perhatian bila mereka main dengan baik tanpa bergaduh – puji dan reward jika perlu.
6. Alihkan tumpuan dengan buat lawak, kisah lucu dan perkara yang buat mereka ketawa.
7. Jika mereka berkelakuan ganas/fizikal. Beri hukuman sewajarnya secara konsisten. Jelaskan yang ia tidak boleh diterima dan setiap kelakuan fizikal akan dapat akibat (tidak semestinya fizikal, contohnya ignore, time off, tarik reward ice cream atau tidak bawa ke playground)
MW: Selalunya mak-mak ada yang siap-siap bagi ‘warning’, ‘asyik gelak saja, mesti ada yang nak menangis nanti ni’. Biasanya, apa yang mak cakap itu, akan jadi betullah. Macam mana tu?
Bagi golongan mak-mak tisu basah atau wet tissue ini memang satu keperluan dan barang yang mesti ada dalam beg tangan. Lebih-lebih lagi jika anak-anak masih kecil.Ramai mak-mak yang menggunakan tisu basah ini untuk mengelap kotoran pada anak tidak kurang ada juga yang menggunakannya untuk membersihkan najis pada bayi kerana menganggap ia sebagai satu alternatif tanpa perlu mencari sumber air.
Menurut perkongsian oleh Ustaz Syed Shahridzan ada hukum dan cara tertentu dalam menggunakan tisu basah ini untuk membersihkan najis bayi.Berikut merupakan jawapan bagi soalan yang pernah diajukan buat beliau sebagai rujukan dan panduan mak ayah semua.
HUKUM GUNA TISU BASAH (BABY WIPES)
“Ustaz, mohon bagi penerangan tentang mengelap kotoran dengan wet tissue boleh tak? Sebab ramai kaum ibu yang guna sewaktu tukar pampers bayi, terutama sewaktu musafir. terima kasih banyak-banyak ustaz.”
1. Mengelap kotoran yang dalam kategori najis dengan tisu basah (baby wipes) mesti dielakkan ia tidak menepati syarat-syarat penyucian sesuatu dari najis.
2. Najis bayi (selain mukhaffafah) termasuk dalam kategori najis mutawassitah yang mana syarat pembersihannya mestilah menghilang ain(objek) dan seluruh kesan-kesannya iaitu bau warna dan rasa.
3. Syarat penyucian najis mutawassitah jika melibatkan air yang sedikit mestilah air itu bersifat mendatang(curah) kepada najis tidak kira dari arah mana sekalipun. Ini bermakna benda yang bernajis tidak boleh direndam ke dalam air yang sedikit, maka proses penyucian tidak sah. Perkara ini disebut di dalam kitab-kitab fiqh antaranya “Taqrirat Sadidah”:
أن يكون الماء واردا غير مورد، أي يرد الماء على النجاسة لا العكس.
Maksudnya: “Air itu hendaklah mendatangi bukan ia didatangi, iaitu air mendatangi ke atas najis bukan sebaliknya”.
4. Syarat lain yang mesti dipenuhi untuk menyucikan sesuatu benda dari najis mutawassitah adalah air itu mestilah bersifat mengalir sepertimana disebut di dalam kitab ‘al-Yaqut al-Nafis:
بجري الماء على ما تنجس بها
Maksudnya: “Dengan mengalirnya air ke atas seuatu yang ternajis dengannya(najasah)”.
5. Satu lagi syarat yang wajib dipenuhi menurut mazhab Syafi’ie adalah membersihkan sesuatu dari najis dengan air mutlak(air paip dan seumpamanya). Tidak boleh menggunakan air yang bercampur dengan bahan lain seperti sabun, clorox dan seumpamanya. Perkara ini disebut di dalam kitab “Matan Abi Syuja'”:
وطاهر غير مطهر وهو الماء المستعمل والمتغير بما خالطه من الطاهرات
Maksudnya: “Jenis air yang suci tetapi tidak menyucikan iaitu air mustakmal dan air yang berubah sifatnya dengan bercampur dengan bahan-bahan yang suci”.
6. Berbalik kepada isu baby wipes, jelas ia tidak menepati syarat-syarat di atas. Ini kerana meskipun tisu itu basah tetapi sifat air itu tidak mengalir ke atas benda yang bernajis, malah tisu itu hanya sekadar basah, iaitu jika diperah sekalipun ia tidak mengalirkan air.
7. Syarat lain yang tidak ditepati oleh baby wipes ialah air yang digunakan bukan terdiri dari air mutlak. Ini kerana basahan tisu itu terdiri dari cecair yang bercampur dengan bahan kimia dan bukannya tulus air mutlak(air paip dll).
CARA TERBAIK BERSIHKAN NAJIS & KOTORAN BAYI
8. Cadangan yang terbaik, boleh menggunakan baby wipes untuk membersihkan sesuatu yang bernajis seperti kemaluan bayi, tetapi setelah menggunakan ia maka mesti dibilas dengan air mutlak yang mengalir ke atas sesuatu anggota atau benda sehingga hilang kesan-kesan najis.
9. Jika proses tersebut hanya bergantung kepada baby wipes sahaja tidak diiringi dengan bilasan, maka proses penyucuian tersebut dikira tidak sah dan bayi itu terus dalam keadaan menanggung najis.
10. Sebagai maklumat tambahan, maksud air mengalir adalah air yang diletakkan atas sesuatu benda atau anggota, kemudian ia mampu mengalir. Sebagai contoh air di’spray’ ke atas sesuatu benda atau anggota sehingga ia nampak mengalir di atasnya. Perkara ini ada dinyatakan oleh Imam Nawawi berkenaan maksud air yang mengalir di dalam al-Majmuk, iaitu tidak sah berwuduk dengan air salji yang beku kerana ia tidak mengalir maka hendaklah salji itu dicarikan dahulu, namun jika salji itu ditekap atas anggota yang panas lalu salji itu cair(mengalir), maka sah wuduk itu.
11. Dalam mazhab syafiie ada satu hukum khusus yang dinyatakan iaitu التضمح بالنجاسة iaitu meletakkan sesuatu dengan najis atau membiarkan sesuatu itu dalam keadaan bernajis hukumnya ada haram. Menurut ulama syafi’iyyah lagi sesuatu benda yang digunakan untuk dimanfaatkan oleh manusia atau mana-mana anggota badan manusia dibiarkan dalam keadaan bernajis meskipun bayi sekali pun (yang tidak solat) dan tidak disucikan maka tidak boleh dibiarkan dalam keadaan bernajis. Ini kerana ia adalah berbuatan yang menjijikkan dan jauh dari falsafah kebersihan yang dititik beratkan oleh Islam. Oleh itu, dalam keadaan yang tidak terdesak, perkara sebegini tidak sepatutnya diambil mudah.
12. Namun tidak dinafikan perkara seperti urusan bayi tidak lari dari keperluan mendesak seperti musafir, jalan jauh dan sakit, jika ia dalam keadaan terdesak sebegini maka ia dibolehkan (baby wipes) dan tidak termasuk hukum haram sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Syubramallisi di dalam hasyiahnya(karangan). Jadi masalah penyucian anggota bayi bukan hanya kaitan bayi itu wajib solat atau tidak tetapi atas alasan-alasan yang disebut di atas.
Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
Sebenarnya tidak salah untuk menggunakan tisu basah untuki membersihkan najis bayi, tapi perlulah dengan cara yang betul.Semoga perkongsian ilmu ini bermanfaat dan kongsikan juga sebagai panduan buat mak ayah yang lain.
Nur Afiqah Amran yang juga Pengasas Perfume Paradise mengkagumi semangat pelakon veteran Ku Faridah atau lebih popular dengan panggilan Mak Engku. Wanita yang berusia...