“Sebulan Dah Tak Dengar “Action”, “Cut”,” Tanggungjawab Azhan Rani Jaga Mak Sakit

Share

Apabila mak ayah semakin meningkat usia dan mulai jatuh sakit, menjadi tanggungjawab anak-anak untuk memberi tumpuan dan menjaga segala keperluan mereka. Memang bukan mudah, apatah lagi terpaksa mengenepikan kerjaya seketika, namun demi berbakti kepada mereka, ia perlu menjadi keutamaan.

Menjaga mak sakit bukan pengorbanan tapi satu tanggungjawab itulah pendirian buat pelakon lelaki versatil, Azhan Rani,47 yang berkongsi pengalaman menjaga ibunya yang sedang sakit di hospital baru-baru ini.

Beri Perhatian Jaga Ibu Sakit

Biarpun sibuk dengan urusan kerjaya dan jadual padat saban hari, pelakon Azhan Rani mengakui terpaksa mengetepikan beberapa tawaran yang datang kerana perlu memberi perhatian kepada ibunya yang sedang sakit.

Menurut Azhan, sejak lebih dua minggu lalu, ibunya, Salmah Budin, 77, dimasukkan ke hospital dan memerlukan pemantauan rapi selepas beberapa kali tidak sedarkan diri di rumah.

Mengambil tanggungjawab untuk menjaga ibu bersama adik-beradiknya, pelakon yang popular dengan drama Nur itu lega apabila keadaan wanita itu beransur baik dan kini sedang menjalani rawatan fisioterapi serta pemulihan.

“Sudah hampir sebulan saya tidak terikat dengan urusan kerja kerana mahu memberikan tumpuan menjaga ibu yang sedang terlantar di hospital. Dia kini hanya terbaring, tidak mampu untuk duduk dan berdiri.

“Ibu juga memakai pampers 24 jam, jadi anak-anak perlu menjaga dan menguruskan segala keperluannya. Buat masa ini saya bergilir-gilir dengan adik.

“Apa-apa pun saya bersyukur melihat ibu menunjukkan perkembangan positif. Mungkin sukar sembuh sepenuhnya kerana faktor usia, tetapi sekurang-kurangnya ibu dalam keadaan yang baik,” katanya.

Jaga Mak Ayah Sakit Satu Tanggungjawab

Dalam pada itu, Azhan mengingatkan anak-anak di luar sana agar tidak berasa susah atau terbeban menjaga ibu bapa yang sedang sakit kerana itu adalah tanggungjawab mereka.

“Saya akui menguruskan orang tua yang sakit sememangnya tidak mudah. Apatah lagi jika anak lelaki yang kena menjaga dan menguruskan ibu. Bagaimanapun kita kena buang perasaan malu, kotor atau geli nak bersihkan najis dan sebagainya.

“Saya harap bila orang tua kita sakit, anak-anak janganlah datang untuk melawat sahaja. Mereka tak perlukan pelawat tapi penjaga.

“Saya tidak melihat menjaga ibu bapa ini sebagai satu pengorbanan, tetapi tanggungjawab seorang anak,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media drama terbaharu Astro yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Selasa.

Jadual Kerja Kembali Sibuk Bulan September

Berkongsi perkembangan terkini, Azhan berkata, jadual kerjanya kembali sibuk bermula September ini apabila terlibat dengan penggambaran drama dan telefilem yang sudah dipersetujui.

“Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar, saya akan memulakan penggambaran drama dan telefilem bulan depan termasuk menjalani penggambaran di Makkah. Kalau ada rezeki juga saya juga akan mengerjakan ibadah umrah pada Oktober ini.

“Selain itu, saya juga dalam persiapan untuk misi pendakian terbaharu di Nepal yang dijangka bermula tahun hadapan. Jadi pada Ogos ini, saya perlu mengikuti beberapa sesi latihan pendakian di Gunung Kinabalu.

“Bagaimanapun saya kena tengok juga perkembangan terkini kesihatan ibu dan mungkin perancangan akan berubah berdasarkan keadaannya,” katanya.

Ramai Mendoakan Kesembuhan

Ramai yang turut mendoakan kesembuhan bagi ibu Azhan Rani ini.

Azhan juga mengucapkan terima kasih di atas doa-doa semua pihak.Tidak lupa juga penghargaan buat seluruh team doktor, jururawat dan staf hospital KKB dan unit paliatif hospital selayang yang banyak berkorban menguruskan dan beri tunjuk ajar padanya.

“Terima kasih atas doa semua. Mak self rehab di rumah setelah 18 hari warded. jutaan penghargaan buat seluruh team doktor, nurse dan staf hospital kkb dan unit paliatif hospital selayang yang banyak berkorban menguruskan dan beri tunjuk ajar.”

“Semoga Allah bukakan seluas-luasnya pintu rahmat, rezeki dan kesihatan yang baik buat anda semua. terima kasih juga yang memahami dan memberi ruang privacy buat kami. in shaallah doa yang baik-baik sentiasa buat kalian juga,” ujarnya.

Mesti Baca:Terlibat Kemalangan Jalan Raya Azhan Rani Kini Stabil “Syukur Allah Bagi Peluang Kita Hidup”
Baca Lagi Di Sini:Jangan Bandingkan Anak, Mungkin Yang Nakal, Lemah Itulah Jaga Mak Ayah Bila Tua
Artikel Menarik:Jaga Mak Ayah Dah Tua Tak Perlu Diingatkan, Sendiri Kena SEDAR

Mingguan Wanita: Alhamdulillah, tahniah buat Azhan Rani menunaikan tanggungjawab sebagai anak, berbakti menjaga ibu yang sakit. Semoga diberi kesembuhan buat ibu tersayang.

Sumber: Sinar Harian, Instagram Azhan Rani

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab