Ketika usia menginjak 94 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad, masih lagi memikirkan masa depan negaranya. Perjuangannya masih belum selesai, biar pun jasa Tun Mahathir terlalu besar untuk negara.
Bak kata ibu ini, Dzuriasikim Dzulkefli, “tuhan sedang menguji kita. Sebesar mana pun jasa bapa pemodenan negara ini, manusia cepat melupakan dengan sekelip mata. Hanya kerana kita tidak pernah puas dan bersyukur dengan apa yang tuhan beri.”
Kongsinya lagi,
Kita buat perancangan hebat. Kita kata kita manusia hebat serba serbi. Kita jumpa orang hebat setiap hari.
Ketika mengkritik ramai yang menulis dengan bijaksana dan bistari sekali.
Namun Allah lebih hebat.
Cuba renungkan mengapa politik negara kita akhir-akhir ini jadi punah ranah. Bukan sekali jadi kejutan. Malah sudah jadi berkali-kali.
Mengapa tahun 2018 menjadi saksi perubahan landskap politik negara apabila buat pertama kali selepas lebih enam dekad mentadbir negara, BN gagal mengekalkan kuasa mereka?
Mengapa Tun M yang dipanggil Maha Firaun, orang tua nyanyuk, bodoh dan entah apa lagi tetap dapat kuasa di tangannya?
Mengapa Tun M dah letak jawatan pun, namun jawatan PM tetap diberikan kepadanya lagi?
Mengapa ada perpecahan dan kemudian ada penyatuan? Hingga banyak hati jadi tidak damai. Tak tenteram, benci, sakit hati, dendam, kecewa?
Lalu ada banyak kata-kata kutukan yang diberi. Ada banyak andaian yang dibuat. Ada banyak cadangan yang dilakarkan.
Macam-macam orang kata.
Hakikatnya begini…
Orang yang suka menulis dengan kata-kata benci, bererti dalam hati dia ada benci.
Orang yang sedang menulis dengan berbangga dengan jawatan yang dipegang, dalam hatinya ada ego yang menebal. Orang yang suka menekan keyboard menulis kata-kata yang penuh dengan sindiran kepada orang lain, dalam hatinya juga dipenuhi dengan rasa sakit yang mendalam.
Cuba pandang setiap perkara dengan lebih tajam dan dalam.
Barangkali Allah nak tunjuk kepada kita bahawa ada jalan untuk berdamai dalam hidup selagi kita mahu.
Barangkali Allah nak ingatkan kepada kita bahawa apapun yang sedang kita genggam dengan erat di tangan belum tentu milik kita selamanya.
Kita ni semua, sibuk berpegang kepada sesuatu yang kita sendiri tak pasti. Sedang Tuhan boleh ubah segalanya hanya dalam sekelip mata sahaja.
Pasti ada sebab mengapa Tuhan panjangkan usia Tun M. Dan diberikanNya kesihatan yang baik buat Tun M hingga mampu berjalan dan berdiri dengan gagah. Mampu ke sana sini dari dinihari hingga ke lewat malam.
Kita?
Ramai kita hanya tahu kata Tun M tak guna. Sedang apa jasa kita kepada negara. Apa sumbangan dan jasa kita. Apa keringat kita untuk mengharumkan negara?
Apakah hati dan minda kita mampu tahan setahan Tun M untuk dirobek dan diratah oleh keyboard warrior siang dan malam? “Telan” rasa benci ketika kita memberi khidmat kepada orang lain?
Kuatkah kita ini? Sedang menguruskan anak isteri pun kita sudah kalut sendiri. Apa lagi untuk menguruskan negara.
Ditekan sedikit oleh manusia lain pun kita terus lemah, boleh jadi murung tak keluar rumah.
Orang tidak akan pernah puas dengan apa yang kita mampu beri. Sama seperti kita sendiri yang tak pernah puas dan bersyukur dengan apa yang Tuhan beri.
Saham jatuh orang cerca. Saham naik mencanak orang tak puja.
Tuhan nak tunjuk sebesar mana pun jasa kita, manusia akan cepat lupa dalam sekelip mata sahaja.
KLCC dibina dengan gurauan Mahathir yang berseloroh kepada Tan Sri Azizan yang ingin membina bangunan di Kuala Lumpur “Mengapa tidak jadikan ia bangunan tertinggi di dunia.” Pada tahun 1993 KLCC dibina dan pada tahun 1999, KLCC telah siap dan menjadi bangunan tertinggi di dunia.
Pada awal pemerintahan, Mahathir fikir untuk membuat Malaysia terkenal adalah dengan adanya bangunan pencakar langit. Lalu dibina KLCC (Twin Tower) hasilnya, hari ini Malaysia dikenali dunia.
KLIA, ramai yang kritik kenapa Airport dibina jauh dari bandar Kuala Lumpur, ini kerana pandangan Mahathir untuk masa akan datang. Sepang memang jauh dari Kuala Lumpur, lebih kurang 50 kilometer, tapi di mana-mana negara, lapangan terbang baru terpaksa di letak jauh dari bandar, kita dah buat 20 tahun yang lalu. Hal keselamatan diutamakan, selain itu, kita boleh memperbesarkan atau membuat Lapangan terbang yang baru. Sekarang kita sudah ada KLIA 2.
Putrajaya merupakan bandar pentadbiran negara, dengan berlakunya pemindahan jentera pentadbiran dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.
“Pembinaan Putrajaya adalah sebagai kemudahan kepada kakitangan awam bagi mengelak suasana sesak di ibu negara. Kita sedar kesesakan akan datang. Jadi kita buat persediaan pindah ke kawasan ini. Cuba fikir kalau tiada Putrajaya (sekarang).”
Litar Sepang, Proton, LRT dan terlalu banyak lagi jasa Tun M pada negara.
Tak cukup bersyukur kita ini…
Sudah tiba masanya untuk membuang rasa ego yang menebal dalam diri. Berjuang untuk memenangkan parti masing-masing hingga berpecah belah satu negara yang damai.
Kita jadi terlupa bahawa kita semua perlu bersama demi untuk kepentingan anak-anak kita dan negara.
Izinkan saya berkongsi teks perutusan khas YAB Perdana Menteri Interim sebentar tadi…
“Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,
Terlebih dahulu, izinkan saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana keadaan politik negara yang agak kucar kacir dan mungkin menimbulkan keresahan di kalangan Tuan-tuan dan Puan-puan.
Seperti umum ketahui, saya telah menyerahkan serat perletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agung.
Walau bagaimanapun, saya telah dipanggil mengadap YDPA kemudiannya dan setelah berbincang selama lebih 1 jam Tuanku telah bersetuju menerima surat perletakan jawatan saya dan setelah itu menitah saya supaya menjadi Perdana Menteri Interim.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Ada banyak sebab mengapa saya meletak jawatan, tetapi cukuplah saya katakan bahawa saya merasa kononnya mendapat sokongan daripada semua pihak sehingga saya tidak dapat memilih pihak mana yang boleh saya pilih.
Selain itu, terdapat juga tuduhan bahawa saya tidak berniat untuk melepas jawatan dan gila kuasa.
Maka saya letak jawatan kerana saya tidak melihat kuasa jawatan itu sebagai “Be all and end all” adalah matlamat saya.
Bagi saya, kuasa dan kedudukan itu adalah “A means to an end” ataupun satu alat untuk mencapai objektif. Dan objektif kita semua tentulah untuk kebaikan negara.
Kerana itu saya meletak jawatan kerana bagi saya ternampak bagi orang politik, yang terpenting ialah parti mana yang memerintah. Samada yang kalah atau yang menang.
Sebenarnya, saya telah janji akan letak jawatan untuk memberi peluang kepada Dewan Rakyat menentukan siapa yang akan mengganti saya.
Jika benarlah saya masih disokong, saya akan kembali. Jika tidak, saya akan terima siapa sahaja yang dipilih. Jadi, peluang untuk menukar kepimpinan memang ada.
Hanya saya berpendapat, oleh kerana saya disokong oleh kedua-dua pihak, masa untuk saya letak jawatan belum tiba.
Saya minta diberi masa, tetapi parti saya BERSATU memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan.
Ada juga ahli daripada komponen lain yang akan keluar. Dengan perlakuan ini, kerajaan Pakatan Harapan akan gugur.
Kesannya, jika BERSATU sokong PAS dan UMNO maka parti yang kalahlah yang akan diri kerajaan.
Kerajaan ini akan didominasi oleh UMNO sebagai parti yang terbesar.
Saya sanggup terima ahli UMNO yang keluar UMNO dan menyertai parti lain. Tetapi UMNO akan sertai kerajaan campuran ini sebagai parti UMNO.
Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan.
Sebagai manusia biasa, saya tidak sunyi dari melakukan kesilapan. Saya pohon maaf jika perletakan jawatan oleh saya adalah salah.
YDPA Bertitah supaya saya dilantik sebagai Perdana Menteri Sementara.
Saya sedar apa juga yang dilakukan oleh saya sekarang akaj ditentang dan ditolak oleh ramai.
Tetapi mungkin ada yang menyokong. Saya tidak cari untuk disukai ramai. Saya hanyalah membuat sesuatu yang saya anggap baik bagi Negara.
Politik, orang politik dan parti politik terlalu utamakan politik sehingga lupa negara menghadapi masalah ekonomi dan kesihatan yang mengancam negara.
Saya berpendapat, betul atau tidak politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang.
Jika dibenar, saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan Negara sahaja yang akan diutamakan.
Jika diizin, inilah yang akan saya cuba. Saya berdoa dan saya pohon kepada Allah SWT, saya diberi petunjuk dalam usaha ini.
Sekian. Terima kasih.”
*Jasa Mu Di Kenang… Tun M
MW : Semoga Malaysia akan terus kekal makmur dan rakyatnya hidup harmoni dalam perpaduan kaum yang berbilang bangsa sehingga generasi akan datang.
Baca sini : ‘Kuatkan isteri agar suami juga kuat’ belajarlah ini dari Tun Mahathir
Sumber/Foto : Dzuriasikim Dzulkefli