Setiap yang hidup, pasti diuji dengan pelbagai masalah. Namun seberat mana pun masalah, sebagai manusia kita perlu terima hakikat bahawa semuanya adalah milik Allah SWT.
Tidak kiralah ujian yang kecil mahu pun besar, hadapilah dengan penuh kesabaran. Tidak lupa berbaliklah kepada hakikatnya, apa yang berlaku atas kehendaknya dan segala yang pernah menjadi milik kita adalah milik Allah.
Ikuti perkongsian Ustaz Khairul Anuar Basri ini dan fahami sedalam-dalamnya :
Walau seberat mana pun masalah kita, kita tetap kena balik semula kepada hakikat bahawa semuanya milik Allah.
Bila kita sedar hakikat itu, maka kita tak akan sedih, risau atau bimbang berlebih-lebihan. Semuanya Allah yang punya. Dia berhak untuk ambil semua apa yang Dia punya.
Allah Berhak Ambil Milik-Nya
Duit yang banyak. Itu semua Allah yang punya. Dia ada hak untuk bagi dekat kita, Dia juga ada hak untuk ambil semula dari kita.
Anak yang ramai. Itu semua Allah yang punya. Dia ada hak untuk bagi dekat kita, Dia juga ada hak untuk ambil semula dari kita.
Suami atau isteri kita. Itu semua Allah yang punya. Dia ada hak untuk bagi dekat kita, Dia juga ada hak untuk ambil semula dari kita.
Ads
Rumah yang besar, harta yang bertimbun, kerja yang selesa, hidup yang mewah, rezeki yang mencurah-curah…. semua-semualah.
Semua tu milik mutlak Allah. Kalau dia nak bagi Dia boleh bagi. Kalau dia tak nak bagi, itu juga hak Dia.
MW: Bertawakal dan bersyukurlah dengan setiap benda yang Allah kurniakan. Jika ia bukan milik kita, terimalah hakikat bahawa itulah ketentuan-Nya. Aturan Allah yang terbaik.
Sepanjang minggu lepas, entah berapa kali kita mengeluh. Ada kalanya kita tidak perasan yang kita mengeluh, mungkin kerana kita sudah terbiasa dengan mengeluh hingga kita tidak pasti adakah baru sahaja mengeluh.
Perbezaan
Saya suka membezakan antara mengeluh dan keluhan. Pada saya, mengeluh adalah kata kerja dan keluhan adalah kata nama. Biar pun datang daripada akar yang sama namun perbezaan yang nampak kecil ini memberi impak yang berlainan dalam hidup.
Keluhan melambangkan ketidakpuasan hati dan perlu diluahkan agar orang lain mengerti apa yang kita rasakan. Meskipun begitu, ia perlu diluahkan dalam emosi yang stabil dan bukan dengan cara yang boleh membawa kerosakan silaturahim.
Manakala mengeluh pada saya adalah satu perasaan yang bercampur baur antara tidak puas hati, kecewa, letih, bosan, marah dan sebagainya yang dizahirkan bukan melalui kata-kata tetapi hanyalah dengan satu hembusan nafas.
Pendorong Utama
Biar pun banyak perasaan yang ada ketika seseorang itu mengeluh, namun yang menjadi pendorong utamanya adalah perasaan kecewa. Aktiviti mengeluh terdiri daripada dua bahagian.
Bahagian pertama adalah menarik nafas yang panjang dan bahagian kedua adalah melepaskan nafas yang panjang. Bahkan ada juga yang menghembuskan nafas berserta dengan bunyi kecewa.
Jika dipendekkan cerita, pada saya mengeluh hanyalah permainan nafas yang dapat melegakan seseorang yang sedang dibebani dengan pelbagai perasaan negatif. Namun kelegaan itu hanya berlaku pada ketika itu sahaja.
Doa
Pada saya, mengeluh itu lebih besar impaknya daripada keluhan dari sudut perjalanan hidup. Orang yang meluahkan keluhan akan mencari jalan agar dapat keluar daripada permasalahan yang sedang membelenggunya. Tetapi mengeluh pada saya adalah satu bentuk doa. Ia bukan doa biasa-biasa tetapi doa yang tajam.
Lebih tajam lagi jika mengeluh itu dilakukan pada waktu-waktu makbul doa. Lihat sahajalah waktu petang, berapa ramai yang mengeluh kerana takut terperangkap dalam kesesakan jalan raya tetapi akhirnya tetap sahaja terperangkap. Cuba kita renung berapa banyak perasaan yang ada ketika kita mengeluh menjadi satu kenyataan. Nah… ini jelas menunjukkan yang mengeluh itu adalah satu bentuk doa.
Ianya lebih tajam dan mustajab kerana sewaktu kita mengeluh, kita akan satukan perasaan, gambaran, suara-suara dalaman menjadi satu. Setelah itu semuanya disebatikan dan dialirkan dengan satu nafas. Ini akan mencipta satu bentuk doa yang sempurna.
Ganti
Mengeluh adalah proses pemusatan segalanya pada satu nafas. Justeru, nafas yang kita keluarkan ketika mengeluh itu akan memberi tenaga kepada setiap perasaan negatif yang berserta dengannya untuk terus kuat dan kukuh dalam minda kita hingga ianya dapat menjadi satu kenyataan.
Bagi mereka yang mengerti atau mendalami tenaga dalam yang betul, mereka akan cuba sedaya upaya untuk tidak mengeluh. Mereka menggantikan elemen-elemen negatif dengan yang positif baru dipusatkan seluruhnya kepada satu nafas. Mengeluh hanya membawa kerugian besar dalam perjalanan hidup seharian.
Persoalannya bagaimana caranya untuk berhenti mengeluh. Langkah awal bukanlah berhenti mengeluh tetapi mengurangkannya dengan latihan-latihan pernafasan. Jika dahulu harganya amat mahal tetapi hari ini semuanya ada di Youtube. Pelajarilah hal itu dahulu baru melangkah kepada yang lain.
** Artikel ini telah dikongsi oleh Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer, juga penulis tetap ruangan MUNAJAT di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Malam Lailatulqadar adalah malam yang dinanti-nanti kehadiran sepanjanf Bbulan Ramadan.
Bulan Ramadan merupakan satu bulan yang penuh keberkatan apabila Allah SWT meluaskan rahmat-Nya agar menaungi seluruh hamba-hamba-Nya yang tekun beribadah dan taat kepada-Nya dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.
Sabda Rasulullah s.a.w : “Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, Kitab al-Shiyam, hadis No: 1079.
Lebih Mulia Daripada 1000 Malam!
Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu Lailatulqadar. Padanyalah diturunkan al-Quran yang dijadikan panduan bagi seluruh umat Islam.
Firman Allah SWT:”Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” – Surah al-Qadr: 1-5.
Oleh itu, sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadan dan menepati malam lailatulqadar, ganjaran pahala amalannya itu melebihi ibadah yang dilakukannya selama 1000 bulan.
Apakah Itu Lailatulqadar?
Tentang makna al-Qadr, sebahagian ulama berpendapat ia bermaksud pengagungan. Dari sini dapat kita fahami bahawa lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana diturunkan al-Quran pada malam tersebut, turunnya para malaikat, melimpahnya rahmat dan keampunan Allah serta Allah akan menganugerahkan keagungan (kemuliaan) kepada mereka yang beribadah pada malam itu.
Bilakah Berlakunya Lailatulqadar?
Sabda Rasulullah s.a.w: “Carilah lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 2017.
Sabda Rasulullah s.a.w : “Carilah (lailatulqadar) pada sepuluh malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1165.
Kombinasi dari kedua-dua hadis di atas dapatlah kita simpulkan bahawa kita sepatutnya menggandakan ibadah pada malam yang ganjil bermula sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan terutamanya pada malam ke 23, 25, 27 dan 29.
Gandakan Amalan
Namun demikian Rasulullah s.a.w. apabila tiba sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadan, baginda akan menggandakan ibadah baginda maka amalan sebeginilah yang afdal untuk diamalkan kita semua. Baginda bersungguh-sungguh merebut peluang untuk melakukan ibadah sambil beriktikaf di masjid.
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani r.h: “Dari segi bahasa, iktikaf bermaksud membatasi diri pada sesuatu. Sedangkan menurut pengertian syarak, ia bermaskud individu tertentu menetap di dalam masjid dengan cara khusus (menepati sunnah).” – Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jil. 11, ms. 538.
Amalan Sunat
Ketika beriktikaf, umat Islam dianjurkan memperbanyakkan ibadah sunat seperti solat, berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi s.a.w, mempelajari ilmu-ilmu agama dan lain-lain amalan yang soleh.
Aisyah r.a berkata: “Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh hari terakhir (bulan Ramadan) yang tidak pernah dilakukannya pada waktu yang lain.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1174.
“Sesungguhnya Nabi s.a.w biasa melakukan iktikaf pada sepuluh yang terakhir di bulan Ramadan sehingga Allah mewafatkan baginda.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih nya, no: 2026.
Ibadah Melebihi Malam Lain
Aisyah r.a berkata: “Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada sepuluh hari terakhir yang tidak pernah dilakukannya pada waktu lain.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1174.
Selain dari itu, dianjurkan kan juga untuk berdoa sebagaimana dikhabarkan daripada Aishah r.a berkata: Ya Rasulullah, apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam daripada Lailatul Qadar, apakah yang sepatutnya aku ucapkan. Rasulullah menjawab: Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni (Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku. – Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunannya, no: 3840.
Isi Ruang Dengan Beribadah
Semoga Ramadan pada tahun ini kita semua dapat mendapat malam Lailatuqadar dan kita dapat mengisi sepanjang bulan ini dengan amal-amal ibadah yang sabit daripada Rasulullah s.a.w. serta mengerjakan amal-amal soleh.
Lantaran dari itu semoga kita semua dapat menikmati segalan ganjaran pahala seperti yang telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang taat kepada perintah-Nya. Ada golongan yang menyatakan bahawa puasa bagi golongan yang tinggi makamnya adalah mereka yang berpuasa semata-mata ikhlas kerana Allah SWT tanpa menginginkan ganjaran pahala tersebut.
Lakukan Ibadah Dengan Ikhlas
Ternyata pemikiran sebegini tidak pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w. Sememangnya amal ibadah kita perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan pada masa yang sama bukanlah menjadi satu kesalahan untuk mencita-citakan ganjaran pahala serta syurga daripada Allah SWT.
Buktinya Allah sendiri telah berfirman: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa – ‘Aali Imraan (3) : 133.
Tambahan pula Rasulullah s.a.w. juga menganjurkan kita untuk mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT sebagaimana sabdanya: “Sesiapa solat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 759.
Nak murah rezeki? Jangan miss amal doa ini. Yatt Hamzah berkongsi doa yang diajar Rasulullah di laman Instagramnya. Doa ini dibaca setiap hari selepas Subuh.
Kata Yatt lagi, ada sebuah doa yang biasa diamalkan Rasulullah setelah Subuh agar mendapat ilmu yang bermanfaat. Amal dengan bersungguh-sungguh dan konsisten, insya-Allah kita akan dapat keberkatannya.
Berikut adalah doanya:
Doa Rasulullah selepas Subuh.
Ertinya: “Ya Allah, aku memohon pada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang thoyyib dan amalan yang diterima.” (HR. Ibnu Majah no. 925, shahih).
Amal Doa Dapat Ilmu Bermanfaat
Dalam hadis lain Rasulullah bersabda, “Khoirunnasi anfa’uhum linnasi.” Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia. (HR. Ahmad, Ath-Thabran, dan Ad-Daruqutni).
Maka untuk menjadi manusia bermanfaat bagi manusia lainnya, kita perlu mendapatkan ilmu yang bermanfaat. Ilmu bermanfaat akan didapatkan oleh orang-orang yang tekun, tidak sombong dan mahu mengamalkan ilmunya.
Ajak Follower Tadarus Tahsin Online
“Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda. Ya Allah, makbulkan doa-doa kami. Amin,”ujar Yatt yang aktif berdakwah dan melakukan pelbagai perkongsian ilmu agama menerusi instagramnya.
Selebriti popular ini juga membuat live setiap hari di Instagramnya. Dia mengajak follower untuk sama-sama bertadarus tahsin online satu hari satu juzuk bersama @sheikhmohamedelmongy di bulan Ramadan.
Aksi Yatt bertadarus online bersama anaknya mendapat perhatian netizen. Ramai yang memuji usaha murni Yatt yang tidak jemu berdakwah mengajak follower menghayati cara hidup Islam.
Selain itu, ibu kepada empat cahaya mata ini juga sering berkongsi pelbagai resipinya dengan follower. Aksi lincah Yatt di dapur mencuit hati dan ramai yang mencuba resipi air tangannya itu.
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...