Ada Cara Betul Nak ‘TAKUTKAN’ Anak Bagi Dengar Kata, Taklah Nanti Dia Jadi Penakut

Share

Emir, jangan main dekat luar rumah. Ada hantu duduk belakang pokok tu. Nanti diterkamnya kamu.” Jeritan ibu Emir mengejutkan kanak-kanak seusia empat tahun itu.

Berlari laju Emir bagaikan tidak cukup kaki. Sejak itu, dia tidak berani lagi bermain sendirian di luar rumahnya kerana takutkan hantu di balik pokok. Ketakutannya itu rupa-rupanya berlanjutan sehinggalah dia memasuki alam persekolahan. Sampaikan hendak ke bilik air yang dekat di hadapan mata itu pun mahu ibu menemankan.

Tanpa sedar ibu bapa menggunakan pendekatan menakutkan anak untuk mendapatkan perhatian mereka. Ini juga antara kaedah yang banyak digunakan oleh ibu bapa bagi membolehkan anak mendengar kata. Mengapa ibu bapa tidak boleh takutkan anak? Ikuti kaedah terbaik untuk mendapatkan perhatian anak. Masih lagi menggunakan pendekatan menakutkan, namun cara ini lebih positif.

Ada Cara Lain Selain Takutkan Anak Semata Nak Bagi Dengar Kata

1. Takutkan Dengan Haiwan

Ada perkara yang ditakutkan kepada anak-anak ini boleh memberi kesan yang baik. Tetapi ada juga perkara yang tidak perlu ditakutkan. Misalnya, ibu bapa menakutkan anak-anak tentang ular atau harimau yang bergigi taring.

Pendekatan sebegini dilakukan dengan tujuan untuk mengingatkan kepada anak tentang bahaya ular atau harimau. Namun, sekiranya perkara yang ditakutkan itu berkaitan dengan hantu atau gambaran yang menakutkan, ia sebenarnya tidak digalakkan.

2. Takutkan Anak Dengan Peringatan Sebenar

Ibu bapa perlu memberi ingatan yang sebenar kepada anak-anaknya. Bukan dengan menakut-nakutkan dengan cerita atau gambaran hantu. Terangkanlah dengan sebenar. Misalnya, waktu Maghrib tak elok keluar rumah kerana syaitan berkeliaran di waktu senja. Sebaiknya anak-anak digalakkan duduk di dalam rumah untuk bersolat atau mengaji.

3. Jangan Sampai Anak Hilang Keyakinan Diri

Ibu bapa yang menakutkan anak-anak, dalam jangka masa panjang akan menyebabkan anak-anaknya itu menjadi seorang yang penakut. Tindakan sedemikian juga boleh menyebabkan anak mengalami hilang keyakinan dalam diri mereka. Sebab itulah, walau ke mana saja mereka pergi pasti mereka mahu berteman.

4. Fahami Fitrah Anak

Pada usia bayi lagi sebenarnya kanak-kanak sudah mempunyai rasa takut. Ini boleh dilihat apabila ada orang asing mahu mendekati atau mahu mengambilnya dari ibu atau ayah, anak ini akan menangis. Ada juga yang menangis kerana ditinggalkan ibu dan ayah di taska.

Oleh sebab itulah ibu bapa perlu fahami emosi anak kecil. Kenalpasti apa yang ditakutinya, sama ada takutkan suasana gelap, takutkan orang asing atau perkara-perkara seumpamanya yang menyebabkan ketakutan kepada anak kecil itu.

5. Tukar Takutkan Anak Kepada Reward

Pendekatan reward atau pemberian hadiah atau pujian setiap kali mereka mendengar kata juga boleh dipraktikkan. Ibu bapa berikan kata pujian melalui pelukan dan sekali sekala dengan hadiah dalam bentuk material.

Ia boleh juga menggunakan teknik jadual peneguhan. Misalnya setiap kali menengar kata, mereka akan mendapat 1 bintang. Sekiranya mereka mendapat 20 bintang dalam seminggu, mereka akan mendapat ‘reward’. Lama kelamaan, mereka dengan sendiri akan menurut apa yang dikatakan oleh ibu bapa. Kemudian, ibu bapa boleh mengurangkan reward itu sedikit demi sedikit.

 

Dengan kerjasama : Ross Azura Zahit, PSIKOLOGIS KLINIKAL JABATAN SAINS KOGNITIF , FAKULTI SAINS KOGNITIF DAN PEMBANGUNAN MANUSIA (FSKPM), UNIVERSITI MALAYSIA SARAWAK (UNIMAS)

Published by
Netty Ah Hiyer