Ramai dah jadi mangsa penipuan syarikat-syarikat pelancongan yang tak bertanggungjawab. Bila orang terlalu ghairah nak bercuti, tapi tersilap memilih agensi. Akhirnya, duit lebur bercutinya tak juga kesampaian.
Sedih, sebab bukan senang nak kumpul duit untuk travel ke luar negara. Lagi-lagi jenis yang simpan duit sampai setahun lamanya. Bila duit dah cukup pergilah deal dengan ejen bagi dapat melancong luar negara bila tiba hujung tahun. Lagi sedih, bila hujung-hujung duit itu lebur.
Sebagai pengguna, mak ayah kena tahu hak yang ada. Sebab itulah, Ikram Al-Banjariyang cukup sinonim dengan gelaran Saudagar Jalanan ini berkongsi tip yang mak ayah boleh praktikkan sebelum set nak melancong ke luar negara. Terutama yang menggunakan khidmat ejen pelancongan.
Bila Ramai Nak Travel Ke Luar Negara, Memang Akan Wujud Jerung Celaka
Viral lagi hari ini dengan kes penipuan syarikat pelancongan di Malaysia. Saya jarang berkongsi pendapat mengenai hal ini. Namun saya fikir sudah sampai masanya saya menulis sedikit demi manfaat bersama. Kerana nila setitik, habislah rosak susu sebelanga.
Apabila ramai yang mahu travel ke luar negara ( khususnya ) dengan bajet yang amat-amat murah, maka akan wujud jerung-jerung celaka yang mahu menangguk di air yang keruh.
Bila ada permintaan luar biasa, mesti ada penawaran luar biasa. Dan inilah yang terjadi selama ini. Ia bermula dengan permintaan tinggi.
Sebagai pengguna, kita ada dua pilihan apabila mahu travel ke luar negara.
Pertama, travel sendiri ikut bajet sendiri dan itinerary sendiri. Kira rancang semuanya sendiri. Apa-apa pun semuanya kita tanggung saja sendiri. Tiada masalah. Saya juga sering travel begini.
Kedua, kita boleh travel dengan menggunakan khidmat Tour Guide atau agensi pelancongan. Bincang itinerary kita atau ikut saja jadual perjalanan yang sudah disusun oleh mereka.
Sebab Kita Ada Pilihan
Ini biasanya lebih sesuai untuk orang yang tidak mahu pening kepala atau sesiapa yang ada kumpulan besar bila mahu melancong. Guna khidmat orang lain untuk menguruskan percutian kita adalah pilihan terbaik dan boleh jadi ia jauh lebih murah.
Modus operandi orang yang mahu menipu ini sama sahaja. Mereka akan tawarkan harga murah atau harga murah gila-gila yang tak masuk akal.
Benda murah akan menarik sesiapa sahaja yang mahu murah. Pengguna golongan ini akan fokus kepada harga. Mereka hanya tertarik dan terfokus pada angka kecil.
Biasanya mereka akan tawarkan harga tiket murah, pakej murah dan segala macam tawaran murah selagi boleh.
Dahulu, orang cerdik pandai cakap, apabila kita mahu melancong atau mahu pilih agensi pelancongan, kita mesti tengok dahulu syarikat itu berdaftar atau tidak, ada pejabat atau tidak, ada lesen atau tidak.
Sekarang, ini semua tidak pernah membantu ketelusan sebuah urusniaga lagi. Syarikat yang berdaftar, ada lesen dan ada ofis cantik pun berisiko ‘mengencing’ pengguna juga. Dan ini sudahpun terjadi.
Hadam Tip Ini Agar Dapat Travel Oversea Dengan Tenang
1. Kaji Siapa Person In Charge
Oleh itu, saya dengan rendah diri mencadangkan agar kita sebagai pengguna perlu rajin sedikit membuat kajian tentang siapakah ‘person in charge’ di sebalik sesebuah agensi atau tawaran yang wujud.
Ads
Sekarang, mengkaji sejarah syarikat sahaja tidak cukup. Kita mesti benar-benar tahu siapa ‘person in charge’ di sebalik sebuah pakej yang ditawarkan itu. Tanya orang atau tanya pakcik google.
Buat carian namanya di facebook, instagram dan google. Lihat siapakah beliau dan apakah ‘portfolio’ kerja-kerja yang beliau pernah lakukan. Tengok siapa kawan-kawan yang beliau sedang bergaul.
Dan lihat juga komuniti bagaimana yang beliau sedang bercampur. Baca komen dan maklumbalas orang lain terhadap beliau. Paling baik, dapatkan fb beliau dan lihat apakah profile orang tersebut itu tulen ataupun tidak.
‘Person in charge’ di sebalik setiap pakej yang ditawarkan lebih penting berbanding benda lain.
Syarikat terkenal sekalipun belum tentu mampu memberikan khidmat dan layanan terbaik kepada semua pelanggan mereka.
Bahagian ini kita perlu lebih peka dan berhati-hati. Masalah yang berlaku selama ini dalam industri pelancongan bukan disebabkan oleh syarikat, tetapi sikap tamak individu itu sendiri.
Sebagai pengguna, kalian harus bijak membuat carian dan menganalisa maklumat terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa urusniaga dan bayaran. Ini amat penting.
2. Minta Pendapat Dan Dengar Kata Mereka
Tak usah tuding jari dan melalak sana sini lagi jika kalian ditipu dalam urusan travel. Tanyalah kawan-kawan atau sesiapa sahaja yang pernah ke destinasi yang kalian mahu tuju itu. Minta pendapat dan dengar apa yang mereka cakap.
3. Jangan Malas.. Banyakkan Membaca
Banyakkan membaca. Sekarang ada banyak buku panduan travel, maklumat percuma di laman web, perkongsian di blog, penceritaan travel di facebook dan pelbagai maklumat berguna.
Kena belajar bersabar dan mulakan membaca. Bertenang sahaja bila menghadam maklumat.
Kalian ribut-ribut mahu ke mana ? Perancangan percutian kita akan lebih kenyeronokkan apabila kita ada sedikit sebanyak dapatan melalui hasil pembacaan. Percayalah.
Ads
4. Hati-hati Dengan Tawaran Murah Tak Masuk Akal
Jangan mudah terpedaya. Jangan mudah percaya dengan tawaran harga murah tak masuk akal. Setiap ukuran harga mestilah ada ‘value’ yang hadir bersamanya.
Mana mungkin akan wujud pakej yang terlalu murah berbanding harga orang lain. Sebagai contoh, jika harga purata Pakej 4 hari 3 malam ke Vietnam ialah RM1500, mana mungkin ada orang boleh tawarkan benda yang sama pada harga RM599 All in ? Sebab itu kita kena buat kajian.
5. Senario Ini Tak Boleh Dielak.. Inilah Puncanya
Industri travel di Malaysia semakin membesar. Setiap hari KLIA itu amat sibuk dengan begitu banyak penerbangan ke luar negara.
Capaian maklumat memudahkan sesiapa sahaja untuk travel mengikut bajet masing-masing. Permintaan untuk melancong juga semakin meningkat walaupun di dalam keadaan Ekonomi yang dikatakan sedang parah.
Penipuan dalam pakej travel sukar dikawal walau pelbagai mekanisme diperkenalkan oleh pihak berwajib.
Ini berlaku kerana produk travel adalah sesuatu yang tidak berbentuk fizikal. Ia terwujud dalam bentuk sebuah ‘perkhidmatan’. Dan semua orang faham sebelum travel kita mesti kena bayar dahulu. Di sinilah ‘loophole’ penipuan yang sering berlaku.
Ini 8 Cadangan Daripada Saya
Saya cadangkan pihak kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan agar lebih fokus terhadap kegiatan mendidik pengguna melalui pelbagai cara. Sebagai contoh:
√ Lebihkan kempen tentang cara-cara mengenali dan mengatasi penipuan.
√ Blacklist Pengarah syarikat atau individu yang terlibat dalam penipuan sebelum ini. Tak usah tarik lesen, mereka boleh saja buat syarikat baru dan mohon lesen baru. Blacklist sekali ahli keluarga dan staff mereka. Baru sedap. Baru orang takut.
√ Kerajaan juga harus prihatin dan peka terhadap kewujudan individu atau syarikat travel yang telus walaupun mereka ini beroperasi tanpa lesen.
Ads
√ Dekati mereka, dengar luahan mereka dan berikan bantuan sepatutnya kepada mereka. Saya percaya semuanya akan murni dan subur sekiranya kita saling memahami, memberi peluang dan saling menyokong antara satu sama lain.
√ Operator pelancongan yang telus harus dibangunkan walaupun mereka kecil. Kerana golongan kecil inilah yang berjaya membesarkan nama negara di luar negara. Mereka adalah duta kecil Malaysia ke luar negara.
√ Pihak berkuasa tak usah bagi muka lagi kepada individu atau syarikat travel yang sudah terbukti menipu pengguna dengan pelbagai cara.
√ Dengan peruntukan undang-undang yang ada, heret mereka semua ke muka pengadilan.
√ Beri peluang baru kepada BBNU ( Budak Budak Baru Nak Up ) di dalam industri. Perbanyakkan pemantauan dan mata-mata. Sediakan saluran mudah untuk pemberi maklumat.
Mak Ayah Sabarlah Sekejap
Dan semuanya yang dinyatakan di sini akan menjadi sia-sia tanpa kerjasama pengguna.
Selagi wujud permintaan, selagi itulah akan ada penawaran. Selagi masih ramai pengguna yang tidak mahu mendidik diri dengan ilmu dan carian maklumat sebelum travel, selagi itulah akan wujud penipuan setiap hari. Penipuan tiket murah, umrah murah, pakej murah dan segalanya yang pelik-pelik akan terus berlaku tanpa kesedaran pengguna.
‘Price is what you pay and Value is what you get’. Bayar murah kita dapat murah. Bayar harga mahal kita akan dapat nilai-nilai yang mahal.
Jika terlalu mahu berjimat dan murah, baik tak usah melancong. Kumpul saja dahulu wang ditabung sampai cukup. Sabarlah sekejap. Travellah nanti dalam keadaan yang kita benar-benar bersedia dan lapang dada. Barulah namanya kita betul-betul bercuti.
Akhir sekali, kepada semua rakan-rakan operator Pelancongan, tidak kisahlah kalian bergerak atas kapasiti individu atau syarikat, bergerak solo atau berjemaah, berdaftar atau tidak, berlesen atau tidak. Saya menyeru supaya kita semua lebih telus dan bersatu dalam industri ini.
Kita perlu saling menaikkan imej dan bekerjasama. Tak usah lagi kita berlagak pandai dan ada sikap bodoh sombong.
Tak guna satu sen pun. Berpakat-pakatlah dengan baik. Didik pelanggan kita dengan baik. Berikan maklumat yang betul dan tawarkan sesuatu yang mampu kita laksanakan.
Saya amat yakin dan percaya apabila ada ekosistem baik antara pelanggan, operator, penguatkuasa dan kerajaan, pastinya dunia pelancongan dan industri ini akan lebih subur dan meriah.
Mulai hari ini, semua pihak kena belajar untuk saling mendidik antara satu sama lain. Kita semua kena buang ego dan simpan dalam poket. Apabila budaya pupuk dan bentuk ini berlaku, saya yakin tiada lagi cerita-cerita kurang enak yang kita akan dengar.
Pendapat ini tidak mewakili mana-mana operator. Ini hanya pandangan peribadi saya sahaja ketika dalam penerbangan dari Pulau Jeju ke Seoul sebentar tadi. Moga bermanfaat.
Isu doula hangat diperkatakan kebelakangan ini. Terbaru, melibatkan kes kematian bayi yang dilahirkan dirumah disebabkan komplikasi.Perkara ini, mendapat perhatian meluas di media sosial termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan sendiri. Mohon para mak-mak yang pernah berhasrat untuk mendapatkan khidmat doula dan bersalin ikut ‘pandai’ sendiri dirumah fikirlah sedalam-dalamnya. Proses bersalin bukan perkara main-main, ia melibatkan dua nyawa ibu dan anak.
Berikut merupakan ulasan dan pandangan oleh Mufti Wilayah Persekutan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkaitan isu ini.
Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah. Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula.
Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.
BAYAN LINNAS SIRI KE- 125: HUKUM MENGGUNAKAN KHIDMAT DOULA
Definisi
Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”.
Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1].
Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Jenis Doula
Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula:
Doula Antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.
Doula Labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin.
Manakala, Doula Postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]
Hukum Menggunakan Khidmat Doula
Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita. Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional.
Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih.
Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar. Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.
Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah TIDAK BOLEH dilakukan TANPA pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.
Nyawa Lebih Penting
Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.
Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).
Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi.
Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.
Rujukan Hadis
Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”(Riwayat Abu Daud, no. 2633)
Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)
Al-Muzhiri menjelaskan,
مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن
Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)
Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.
Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi Kaedah iqh menyebut:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.
Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid (penguat).
Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim (kata nama). Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud fi’il (kata kerja)
Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dhirar (ضرار) di mana ia tidak memberi sebarang manfaat dan ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”.
Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”
Menyelamatkan Dari Mudharat WAJIB
Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat. Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.
Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)
Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT.
Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 11 Februari 2018
Secara jujurnya bila kali terakhir makan ubat cacing? Jika sering rasa letih,tak sihat, sakit perut, batuk teruk berpanjangan dan sebagainya mungkin merupakan tanda, tubuh badan ada jangkitan cacing!Bahaya sebenarnya jika cacing-cacing ini dibiarkan ‘membiak’ didalam badan kerana ia boleh mengakibatkan kesan sampingan pada kesihatan.
Berikut merupakan perkongsian nota ringkas mengenai jangkitan cacing oleh Dr Abdul Rahim Nor sebagai panduan.
ILMU KESIHATAN. Artikel 274
1. Jangkitan cacing berlaku daripada pencemaran tanah yang tercemar dengan telur cacing. Telur ni mencemarkan tanaman & tangan anda. Tangan & makanan yang tidak dibersihkan menyebabkan telur cacing dimakan & larva menetas dalam usus anda.
2.Ingat cacing hidup dalam badan semua manusia.kanak-kanak atau anda yang dewasa yang rendah immune & kebersihan tak dijaga.
3.Ubat cacing diambil setiap 6 bulan selepas anak 1 tahun 6 bulan. Ubat Albendazole/Mebendazole yang hapuskan Cacing Kerawit, Cambuk, Gelang, Kait, Pita, Trikinella & Cacing Benang. Ia halang penyerapan gula pada cacing & cacing kehilangan tenaga & mati.
4.Cacing bukan dalam usus saja. Tapi boleh merayap ke mata, hati, paru-paru, hati, gallbladder & salur darah.
5.Jangkitan cacing juga boleh berlaku melalui sentuhan pada kulit dari haiwan peliharaan anda seperti kucing /anjing & lain-lain binatang peliharaan..
Tanda-tanda Ada Infeksi Cacing
* Keluar cacing daripada lubang najis atau nampak cacing pada najis.
* Gatal dubur.
* Sakit perut – cirit-birit, kembung, sembelit
* Anemia – kurang darah kerana ada cacing yang hisap darah anda.
* Keletihan luar biasa – lesu, kurang tumpuan, kemurungan, gelisah, demam
* Tiada selera makan, pucat
* Kurang berat badan walaupun selera makan ada
* Menggesir gigi ketika tidur malam.
* Batuk teruk berpanjangan, batuk berdarah, asthma sebab cacing di paru-paru.
Cara-Cara Elak Jangkitan Cacing
* Amalkan kebersihan diri & rumah – cuci tangan sebelum & selepas makan.
* Cuci tangan selepas keluar tandas. Ingat basuh tangan sebelum makan.
* Cuci tangan selepas menyentuh haiwan peliharaan anda.
* Pakai kasut bila keluar rumah sebab ada cacing boleh masuk menerusi kulit anda.
* Basuh sayur-sayuran & buah-buahan dengan teliti terutama yang dimakan mentah.
* Makan ubat cacing setiap 6 bulan.
* Namun, wanita mengandung & bayi bawah 1 tahun dilarang makan ubat cacing!
Kesan Sampingan Infeksi Cacing
1. Perut tersumbat dengan cacing. Tak boleh berak. Muntah tak henti. Perut kembung.Operate buangkan cacing tu.
2. Larva cacing boleh pergi ke paru-paru & anda batuk serta lelah.
3. Cacing yang banyak pada usus besar dan rektum boleh akibat usus terkeluar dari lubang dubur.
4.Ada cacing hisap darah menyebabkan kita kekurangan darah atau anemia. Anemia ganggu tumbesaran kanak-kanak & kegagalan jantung.
Jadi jangan pandang acuh tak acuh.Bahaya jangkitan cacing ni.
Cara Nak Bunuh Cacing
1.Makan buah tomato mentah atau
Makan atau minum bawang putih samada makan mentah, atau bakar dan dicampur dalam minyak kelapa dara atau minyak zaitun.
2.Minum air kelapa.Makan lobak merah mentah atau jus carrot setiap pagi.
3.Nenas muda diparut, diperah. Tambah madu atau sirup gula batu.
Kredit: Dr Abdul Rahim Nor
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Peguam Syarie ini, Khairul Fahmi Ramliberkongsi kisah perbualannya dengan isteri. Betapa bertuahnya Bunga Citra Lestari yang tetap disayangi mentuanya biarpun suaminya, Ashraf Sinclair sudah tiada lagi di dunia ini.
Akuinya, tak mudah untuk seseorang bergelar isteri menguruskan kehidupannya sendirian tanpa sokongan kedua belah pihak, mak ayah mahupun mak ayah mentua selepas kehilangan suami.
Kongsinya, “Semalam isteri saya ceritakan tentang bagaimana Bunga Citra Lestari yang baru kematian suami tercinta Asyraf Sinclair beberapa minggu yang lalu. Saya bukan nak bandingkan apa-apa dengan mana-mana pihak.”
“Pada saya kisah selepas kematian Asyraf wajar dicontohi dan diteladani untuk kita. Saya tak nak komen tentang kewajaran aktiviti dia selepas eddah. Cuma ini apa yang saya nampak perlu untuk dijadikan ikutan.”
Kasih sayang family dua negara
Walaupun perkahwinan tersebut antara dua negara, Malaysia dan Indonesia, apa yang saya paling kagum adalah bagaimana sifat kasih dan sayang antara family Asyraf daripada Malaysia yang tak berbelah bahagi kepada BCL serta Noah (anaknya). Begitu juga dengan keluarga Bunga Citra Lestari (BCL) yang melayani baik keluarga Asyraf seperti keluarga sendiri.
Ini sangat penting untuk diterapkan. Tambahan lagi, kasih sayang antara family mentua dan menantu tidak terputus meskipun selepas kematian orang yang disayangi. Maaf cakap, banyak yang kita dengar, bila mati sahaja orang yang menghubung antara dua keluarga, mesti berlaku persengketaan.
Penghargaan kepada isteri daripada mentua
Apa yang lebih menarik untuk didengar daripada kematian Asyraf adalah, keluarganya terus datang dan menetap bersama BCL disamping menyediakan makan minum dia dalam tempoh eddahnya.
Kita pun tahu, orang tengah sedihkan. Cuma, rasa release sikit bila keluarga mentua, emak, ayahnya, adik beradiknya datang untuk membantu. Kata mereka, mereka sangat berterima kasih kepada BCL kerana menyayangi dan mencintai anak mereka, Asyraf, sepanjang tempoh kahwin.
Ini cara terbaik untuk meredakan kesedihan balu yang kematian suami iaitu keluarga sebelah lelaki mengucapkan terima kasih yang tak terhingga atas kasih sayangnya selama ini.
Tumpuan pada yang masih hidup (BCL & Noah)
Terlalu meratap pemergian orang yang telah kembali ke pangkuan Ilahi tak digalakkan dalam Islam. Apa yang perlu diberi perhatian adalah kepada yang masih hidup. Terutamanya orang yang di bawah tanggungan suami tersebut.
Serius, saya sendiri kagum dengan keluarga Asyraf yang meredhai pemergian anaknya dan mengambil alih tanggungjawab menyediakan makan, minum BCL dan Noah anak lelaki Asyraf. Meskipun Noah mungkin sudah remaja, tetapi keluarga Asyraf tahu, memang tanggungjawab mereka untuk memberikan yang terbaik kepada BCL dan Noah. Ini baik. Sangat baik.
Tak bertikai tentang harta
Yang biasa kita dengar selepas kematian adalah pertikaian tentang harta peninggalan simati. Isu ini selalu kita dengar. Tak dinafikan. Saya rasa keluarga Asyraf juga mesti orang yang berada. Sama juga dengan BCL.
Tapi, tak dengar pun isu perebutan harta berlaku. Atau kalau ada sedikit pertikaian pun, mungkin sampai tak ada dengar di mana-mana media. Pada saya, ini disebabkan, BCL mesti mempunyai harta sendiri dan mempunyai penghormatan tinggi sebagai wanita berjaya. Kalaupun keluarga Asyraf nak rebut harta, pasti tak ada kesan pada BCL yang mempunyai pendapatan dan karier stabil.
Support daripada ramai pihak
Bila sahaja kematian Asyraf diketahui, Yuna (Biras kepada BCL) serta suaminya iaitu adik Asyraf Sinclair datang terus daripada New York untuk memberikan sokongan pada BCL serta Noah. Saya pasti, ramai lagi yang memberikan support pada mereka.
Termasuklah support daripada kedua-dua keluarga serta rakan-rakan. Amatlah tertekan kalau ahli keluarga dua-dua belah pihak tidak menyokong kehidupan balu dan anak yang sedang dalam kesedihan bahkan lebih teruk kalau ada persengketaan. Lagi teruk, kalau fans-fans diorang pulak bergaduh. Tiberrr.
Ini kesimpulan kisah Bunga Citra Lestari dan mentua
Kematian suami, amatlah membebankan bagi mana-mana isteri. Tambah-tambah, suami tersebut adalah ‘breadwinner’ atau pencari nafkah berseorangan. Memang terasa beban bagi isteri yang terpaksa harung kematian suaminya tambah-tambah kalau ada anak yang masih kecil atau masih bersekolah.
Sebaiknya, semua pihak terutamanya keluarga kedua-dua pihak, saling memberikan sokongan dan nilai positif kepada balu tersebut. Pihak yang perlu bertanggungjawab untuk menanggung nafkah anak perlu mainkan peranannya.
Wanita juga perlu mempunyai karier dan harta kerana selalu yang menjadi mangsa penindasan adalah wanita yang tiada apa-apa. Ini sebab kenapa wanita zaman ini perlu mempunyai kerja.
Serius saya tak tengok video apa-apa melainkan kisah inspirasi dan teladan yang diceritakan isteri saya.
Rasa-rasa ada yang setuju tak dengan coretan saya ni?
Mertua sayang menantu, menantu kasihkan mertua.
MW : Moga kisah indah Bunga Citra Lestari dan mentuanya ini boleh menjadi inspirasi. Betullah tu, dapat mentua yang baik pun satu rezeki untuk menantu.
Gula-gula gummy bebas dijual di pasaran, jelly berisiko tercekik bagi kanak-kanak. Kejadian tragis melibatkan adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, seorang kanak-kanak berusia 10...