Sebelum Temui Ajal, Arwah Dah Siap Basuh, Lipat Dan Gosok Baju Sekolah Anak, Rumah Pun Dikemas Bersih

Share

22 Januari lalu viral kisah seorang lelaki, Mohd Idrus Ibrahim, 44 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung ketika memandu selepas menghantar anak sulungnya, Muhammad Adam Harith, 8 ke sekolah agama di SRA Jalan 6 Bangi.

Lebih menyayat hati, isteri arwah, Mas Suni Mat Hussin, 35, sedang berpantang hari kelima selepas melahirkan cahaya mata ketiga.

Arwah Mohd Idrus baru sahaja menghantar Mas Suni pulang ke kampung di Kelantan. Isteri arwah seorang Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan dan bekerja di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ramai yang sedih saat Muhammad Adam Harith mengalirkan air mata dan sayu dengan berpakaian sekolah agamanya melihat jenazah bapanya yang dikasihi.

Arwah ayahnya meninggal hanya selepas beberapa minit menghantarnya ke sekolah agama. Dalam perjalanan balik ke rumah kurang 1 km dari sekolah arwah menemui ajalnya. Khabarnya anak sulung arwah ini sangat disiplin dan ini diakui oleh guru sekolah.

Sewaktu dihubungi isteri arwah, Mas Suni kedengaran suaranya yang tenang dan akui kini dia dan keluarga redha dengan pemergian arwah.

“Kami redha dengan pemergiaan arwah, namun walaupun arwah sudah tiada kami masih teringat dan terkenang saat-saat dia masih bernyawa. Alhamdulillah Allah berikan saya kesihatan yang baik untuk saya kuat demi anak-anak yang masih kecil.

Sebelum arwah pergi dia seperti sudah tahu ajalnya akan hadir. Arwah kemas rumah bersih seperti dia tahu orang ramai akan datang ziarahinya.

Dia juga sudah siap basuh, lipat baju dan menggosok baju sekolah anak-anak. Mungkin sebab dia tak mahu susahkan saya,” ungkap Mas Suni ketika dihubungi.

 

Arwah Sempat Teman Isteri Melahirkan Anak Ketiga

Ditanya tentang perubahan arwah saat-saat akhir hayatnya, tidak ada banyak yang berubah cuma arwah bawa mereka sekeluarga ke restoran yang biasa dikunjungi dan sempat menjenguk keluarganya.

Saya ingatkan macam biasa, arwah ajak kami sekeluarga makan di tempat biasa kami pergi. Malah dia pernah ungkap “entah bila kita dapat pergi bersama lagi.”

“Rupa-rupanya apa yang dikatakan memang terjadi dan itulah kali terakhir kami ke sana bersama arwah. Pada ketika itu walaupun letih namun saya gagahkan juga. Malah arwah juga sempat menjenguk keluarganya.

Apa yang anak nak makan, dia akan tunaikan. Makan dan minum dan minta apa saja, tak ada bertangguh-tangguh pun. Arwah juga sempat menemani saya di bilik bersalin untuk kelahiran ketiga,” terang Mas Suni yang menyatakan arwah suaminya tidak pernah mengadu sakit.

 

Anak Kedua Patah Tangan..

Orang ramai turut menghubunginya tentang kemalangan yang menimpa suaminya itu. Dan ketika itu dia segera memaklumkan ustazah tempat anaknya belajar dan bertanya sama ada Adam sudah sampai di sekolah atau belum.

Anak kedua darjah satu. Tapi baru-baru ini dia terjatuh dan tangannya patah. Jadi cuma Adam saja dengan arwah ayahnya.”

Terangnya memaklumkan dia mengenali suaminya ketika mereka sama-sama bekerja di sebuah pejabat dan mengikat hubungan sebagai suami isteri tidak berapa lama selepas itu.

Kini Mas Suni yang bekerja sebagai Penolong Pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat Batu 14, Hulu Langat dia mendapat bantuan dari kedua belah keluarga dirinya dan arwah suami dalam meneruskan kehidupan seharian.

Famili saya dan famili arwah suami akan bantu saya untuk hantar anak ke sekolah. Selepas habis berpantang, saya perlu cari alternatif lain untuk ke tempat kerja. Saya mesti kuat demi anak-anak

,” kata Mas Suni.

 

Kalau Menangis Pun, Dah Tak Ada Siapa Nak Pujuk

Menyentuh tentang ragam anak-anak selepas ketiadaan arwah, Mas Suni menjelaskan anak-anak sudah faham dan menerima takdir yang sudah tertulis buat mereka sekeluarga.

Adam ada tanya tentang ayahnya. Dia tahu ayahnya sudah tiada kerana dia dibawa oleh gurunya ke lokasi kejadian di mana ayahnya sudah meninggal dunia

.

Kata Adam, “Nanti kita pun mati juga” dan saya mengiyakannya dan menjawab, “Memang kita semua akan mati, semua akan pergi ke sana,” jawabnya.

Demi 3 orang anak lelaki ini, Mas Suni perlu bangkit.

Saya tak boleh rasa sedih sebab saya perlu kuat dan anak-anak merupakan semangat untuk saya teruskan kehidupan.

Bila ada sesuatu masalah saya tidak ada lagi suami untuk bergantung, saya perlu cari jalan selesaikan segalanya sendirian.

Kalau nangis tak ada siapa yang nak pujuk, jadi saya perlu kuat. Namun saya beruntung kerana dikelilingi ahli keluarga yang banyak membantu.

Sekarang ini saya perlu lakukan aktiviti yang menggembirakan supaya saya dan anak-anak tidak berterusan berasa sedih.

Nanti bila sudah pulang ke Bangi saya akan bawa anak-anak ke pusara ayah mereka untuk mengubat rasa rindu.”

Foto: Koleksi Peribadi Mas Suni

Published by
Norhayati Suboh