Sebelum Tanaman Rosak, Mohon Hapuskan Siput Dulu!

Share

Siput babi dan beberapa jenis siput lain adalah makhluk perosak yang akan membuatkankan tanaman rosak sekelip mata. Makhluk perosak ini biasanya akan menyorokkan diri pada siang hari kerana cuaca panas tetapi keluar menyerang pokok pada waktu malam terutama selepas hujan.

Kesan kehadiran makhluk perosak ini di lokasi berkenaan dapat dilihat pada tanda-tanda berikut:

1. Ada banyak lubang di bahagian daun pokok.
2. Ada kesan cecair berlendir yang kering berwarna keperakan juga ditinggalkan pada daun dan juga pada jalan laluannya.
3. Bahagian pokok seperti batang, ranting dan sebagainya berselerakan di merata tempat.

Makhluk ini sebenarnya suka sangat memakan daun atau bahagian pokok yang mempunyai banyak air, berlendir dan sesuai dengan seleranya.

Pokok yang diserang akan menjadi hidup segan mati tidak mahu atau terus mati atau sukar dipulihkan semula walaupun mengambil masa yang agak lama bergantung kepada pokok yang terlibat.

Bagi mengelakkan kejadian ini terjadi langkah permulaan sebagai pencegahan boleh dilakukan iaitu dengan membersihkan kawasan di sekitar taman anda supaya tidak ada tempat atau kawasan yang terlindung, gelap, sejuk dan lembap yang biasanya menjadi sarang atau tempat berlindung makhluk perosak ini. Kalau terjumpa sarangnya musnahkan semua telur atau anak-anak yang banyak sekali bilangannya.

Ada beberapa langkah penghapusannya sama ada menggunakan racun kimia atau secara organik. Namun pada kali ini dipaparkan dulu kaedah yang mudah dan secara organik tanpa menggunakan racun.

Kaedah 1

Bunuh Secara Manual

Siput akan keluar pada waktu malam terutamanya selepas hujan. Anda boleh bunuh cara manual dengan memijak dengan kaki atau menghempapnya dengan benda keras seperti batu atau gunakan garam untuk membunuhnya seperti tersebut di bawah.

Kaedah 2

Penggunaan Garam

Langkah mudah dan ringkas membunuhnya ialah dengan menggunakan garam yang ditaburkan di sekeliling kawasan tanaman hiasan. Sebaik sahaja garam tersebut terkena bahagian anggota siput yang terdedah akan mati secara tiba-tiba hasil daripada tindak balas bahan kimia tersebut.

Inilah langkah-langkah mudah dan praktikal tanpa membahayakan untuk mengawal atau menghapuskan bilangan siput dalam taman.

Selamat mencuba.

Published by
Nadia