Sebelum Letak Syarat Yang Beri Kesan Pada Harga Pelitup Muka, Fikirkanlah Mereka Ini

Share

Biarpun syarat baru pelitup muka perlukan perakuan SIRIM tidak dikenakan secara langsung kepada pengguna. Masih ada lagi kebimbangan di hati pengguna marhaen, bagaimana jika ianya benar-benar dilaksanakan.

Peguam Nor Zabetha berkongsi gambaran, bagaimana syarat-syarat sebegini akan memberi kesan kepada harga pelitup muka.

Dan tentunya, bukan saja pengilang, pengeluar mahupun peniaga merasainya. Malahan, pengguna terutamanya keluarga marhaen yang mempunyai anak ramai.

Lagi-lagi sekarang ini harga barangan makan saja sudah naik melonjak di sana sini, ini kan pula perlu memikirkan kos pelitup muka yang tentunya sudah menjadi kegunaan harian di kala endemik ini.

Kesan Pada Harga Pelitup Muka

Mula-mula saya boleh ‘feel’ bila Datuk Siti Nurhaliza kata “Sebab itu saya takut nak pegang apa-apa tangan saya ni gagah sangat

“.

Saya memang jenis begini. Bukan sebab tangan saya gagah, lebih kepada cemerkap. Orang utara kata ‘loqlaq’. Kasar pun sama. Pegang barang, barang jatuh. Hendak minum air, mulut ‘tiris’ tertumpah kena tudung. Pegang sudu plastik, patah.

Jadi ‘I feel you’ Tokti, bila dia tarik pelitup muka Jovian dan terputus. Dalam hati saya “Tokti pun, gagah sangat!”.

Saya masih yakin menonton video promosi pelitup muka dari Jovian selepas kenyataan perbandingannya tempoh hari. Hendak lihat juga ciri-cirinya. Pasti tahan lasak, berkualiti dan berjaya menangkis jangkitan.

Kemudian, diambil pelitup muka yang kedua. Ditarik-tarik oleh Jovian, putus lagi. Erm..erm..ermmm. Saya..ermm..

Jadi saya simpulkan, depa ni pun! Nak promosi tetapi pi pilih hat yang gagah-gagah buat demo pasai pa?

Saya sebenarnya, tidak setuju diletakkan syarat-syarat yang bakal memberikan impak kepada harga pelitup muka.

Baca sini : ‘Pengguna Salah Faham, Saya Maksudkan Hauk Itu Untuk Penjual Pelitup Tiruan Guna Jenama Saya’ Jovian

Kalau Ada 7 Sekeluarga, Berapa Pula Perbelanjaannya Sebulan

Yang mampu, Alhamdulillah. Setakat jenama Jovian atau apa sahaja jenama yang ada perakuan SIRIM memang mampu beli berkotak-kotak.

Yang ada sekarang di pasaran sekeping, purata harga 10-30 sen pun dapat. Kalau guna 30 hari, bagi seorang ahli keluarga, masih mampu lagi. Kalau ahli keluarga ada 7 orang. Masih mampu lagi untuk beli berkotak-kotak.

Tambah pula perbelanjaan, pembelian pelitup muka ini, baru sahaja ditambah masuk dalam senarai perbelanjaan kita sejak bermula pandemik.

Kalau jenis Jovian ini, sekeping lebih kurang RM1. Dan kalau 30 hari seorang.

Kalau ada 7 sekeluarga. Berapa perbelanjaannya sebulan pula? Kalau yang ada perakuan SIRIM nanti, tidak pastilah berapa anggaran harga sekeping.

Ada keluarga hendak bayar yuran sekolah anak pun bertangguh.

Baca sini : Pakai Pelitup Muka, Sanitasi Tangan Sampai Lencun, Tetap 12 Hari Positif Covid-19

Bimbang Soal Kebersihan Bukan Lagi Jadi Keutamaan

Jika, diletakkan syarat itu dan ini. Syarikat pengeluar juga perlu bayar denda jika gagal patuhi syarat, peniaga menjual juga bakal didenda.

Jangan sampai diulang-ulang pakai sahaja pelitup muka pakai buang yang sama, semata-mata hendak mematuhi arahan kerajaan. Sudahnya kebersihan tidak terjaga dan lebih terdedah kepada jangkitan.

Sekarang ini serba-serbi mahal. Ke bazar pun mahal dan kualiti tidak setanding. Bertabahlah.

Kalau yang berpendapatan mewah, Alhamdulillah. Kita sama-sama faham dan merasa kepayahan yang lain-lain di waktu kesukaran begini.

Mingguan Wanita : Sungguh keputusan meletakkan syarat itu ini pada pelitup muka akhirnya tetap akan memberi kesan harga kepada pengguna. Kerana, akhirnya pengguna inilah juga yang perlu membeli dan memakainya hari-hari.

Sumber/Foto : Nor Zabetha

Published by
Netty Ah Hiyer