Sebelum Kahwin Semua Indah, Bila Dah Nampak ‘Warna’ Sebenar Pasangan, Buka Mulut Je Bergaduh

Share

Sebelum kahwin, baik suami mahupun isteri tak tahu perangai sebenar pasangan. Bila dah lama berumah tangga barulah semua terserlah. Masa itulah, ada perangai pasangan yang tak berkenan.

Lama-lama menyimpan perasaan, itu yang akhirnya jadi tak terluah. Lagi-lagi bila dah berbuih menasihati, perangai pasangan tetap juga tidak berubah.

Sebenarnya, ada cara nak meredakan hati yang amarah itu. Ustaz Khairul Anuar Basri berkongsi tip untuk mendidik hati agar menerima pasangan seadanya.

Kita Tak Tahu Perangai Sebenar Pasangan..

Saya pernah terfikir macam ni tau.

Masa kita belum kahwin dengan pasangan kita, kita tak tahu perangai sebenar pasangan kita. Apa yang ditunjuk kepada kita hanya yang baik-baik.

Alaaa… kita pun sama jugak la kan. Yang tak baik semuanya selagi boleh sorok, kita akan sorok.

Tambah pulak masa bercinta, memang semua benda pun nampak lawa. Bak kata orang, kentut pun wangi. Cinta itu selain daripada buta, ia juga membutakan. Sikit sebanyak tak suka tu kira halal la.

Bila dah kahwin, baru kita betul-betul kenal warna sebenar pasangan kita. Nampak segala yang kita tak berkenan. Terserlah segala yang kita tak suka.

Benda kecik pun boleh jadi besar. Benda remeh pun tak boleh nak tolak ansur.

Mustahil la ada sebuah keluarga yang aman damai sehingga ke akhirnya. Mesti ada juga perselisihan faham dan gaduh-gaduh manja. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Kan?

Bahkan kadang-kadang, ada saling terasa hati. Ada yang bermasam muka. Ada yang sampai ke peringkat terpikir nak berpisah walaupun tak bercerai.

Si suami atau si isteri, masing-masing ada kekurangan dan kelemahan. Masing-masing ada sisi negatif dan perangai hodoh. Masing-masing ada dosa terhadap pasangan masing-masing.

Jadinya macamana tu?

Tak Mudah Nak Ubah Perangai Sebenar Pasangan

Nak diubah perangai, itu bukan kerja mudah. Dah bertahun-tahun perangainya macam tu. Dah takde harapan dah kalau nak ubah pun. Sebab masing-masing pun dah semakin hari semakin tua.

Kerak nasi kalau awal-awal, senang je nak dibersihkan. Tapi kalau dah lama, melekat kat periuk dan terpaksa disental dengan berus besi baru hilang.

Belum dicampur dengan ego masing-masing lagi. Belum dikira kalau masing-masing buat senyap dan bisu lagi.

Buka mulut je bergaduh. Bunyi suara je bertekak. Lepas tu macamana nak mula bercakap dan berkomunikasi dengan baik?

Last-last semua diam membisu. Bertahun-tahun tak bercakap. Masing-masing buat hal masing-masing.

Anak-anak yang tengok pun kadang-kadang serba salah. Almaklumlah anak-anak pun dah makin dewasa. Mesti perasan mak dan ayah tak berapa nak mesra.

Kalau mak dengan ayah ringan mulut, diorang akan cerita perasaan yang dipendam sekian lama kat anak-anak. Kalau mak dengan ayah yang jenis berahsia, sampai bila-bila la suasana muram ni akan berlarutan.

Nak ditegur, dikatakan nak mengajar mak ayah. Silap-silap cara tegur, dikatakan sebelahkan mak atau ayah. Serba salah jugak anak-anak bila berhadapan situasi ni kan?

Redhai Dan Maafkan Pasangan

Kawan-kawan…

Kita hidup di dunia ni sekejap je. Tak berapa tahun lagi kita pasti akan mati. Lepas tu duduk dalam kubur sekejap sementara dibangkitkan semula di hari akhirat.

Dan lepas dah kira semua amalan, pergi pula ke titian sirat. Lepas tu akan ditentukan kita ni masuk syurga atau neraka.
Malang sungguh la kalau kita masuk syurga sedangkan pasangan kita masuk neraka. Atau sebaliknya, malang sungguh la kalau pasangan kita masuk syurga sedangkan kita tercampak ke dalam neraka.

Semuanya gara-gara dosa dan kesalahan yang kita lakukan terhadap pasangan masing-masing. Dosa dan kesalahan yang tak sempat kita nak minta maaf semasa hayat kita di dunia.

Nak keluar dari masalah ini senang saja. Suami tolong redha dan maafkan segala salah dan dosa isteri. Isteri tolong redha dan maafkan segala salah dan dosa suami.

Jika suami dan isteri saling maaf memaafkan dan redha meredhai, dengan sendirinya dosa masing-masing terhadap pasangan akan terhapus. Then, dua-dua sekali akan berkumpul di syurga bersama anak-anak yang tercinta.

Dalam syurga nanti, dah takde permusuhan dan sengketa. Dah takde masam muka atau berduka lara. Semua yang happy-happy saja. Selama-lamanya.

Baca : Pasangan Buat Perangai Adalah Ujian, Suami Itu Jalan Buat Isteri Dapat Kebaikan

Ada Ketika Kecil Hati Dengan Isteri

Saya sendiri ada kadang-kadang kecil hati dengan isteri saya. Tak semua benda yang saya nasihat dia dengar. Tapi saya abaikan dan maafkan saja. Sebab saya nak kami sama-sama masuk syurga dengan aman nanti.

Saya harap isteri saya pun sama. Kalau ada kelakuan buruk dan dosa yang pernah saya lakukan terhadapnya, maafkanlah saya walaupun saya tak minta maaf.

Sampai bila dan ke mana nak dibawa rasa marah? Sudah-sudah la tu. Berdamai sajalah dengan diri sendiri.

Memaafkan ini bukan saja sifat yang mulia. Tapi ia ubat penenang jiwa di kala lara. Tidur malam pun tenang bila kita sentiasa maafkan kesalahan orang lain. Taknak panjang-panjang dan lama-lama dalam keadaan marah dan sakit hati.

Semoga dengan kemaafan yang saya berikan kepada isteri saya, Allah akan ampunkan segala dosa saya terhadapNya. Tak kira la yang sengaja atau pun yang tak sengaja.

Amin ya Allah.

#KAB

Sumber/Foto : Khairul Anuar Basri

Published by
Netty Ah Hiyer