Sebelum Hantar Anak Ke Pusat Tahfiz, Mak Ayah Ambil Kira 5 Hal Ini Dulu

Share

Pusat tahfiz kini menjadi pilihan ibu bapa yang mahukan anak mereka menguasai ilmu akhirat. Jika dilihat, pusat tahfiz kini semakin pesat tumbuh bagai cendawan selepas hujan.Ada pusat tahfiz persendirian malah ada juga pusat tahfiz yang didirikan oleh kerajaan.

Walau bagaimana pun, dalam keghairahan ibu bapa menghantar anak-anak ke pusat tahfiz, beberapa perkara penting perlu diambil kira supaya anak-anak kita benar-benar berada di pusat tahfiz yang betul.

5 Point Wajib Mak Ayah Ambil Tahu

1. Pastikan Pusat Tahfiz Itu Berdaftar Dengan Jabatan Agama Islam Negeri

Ibu bapa boleh menyemak dengan Jabatan Agama Islam Negeri mengenai status pendaftaran pusat tahfiz tersebut. Pendaftaran ini sangat perlu supaya anak-anak kita diajar dengan ilmu dan silibus yang betul. Risau juga mereka diajar dengan ilmu yang salah.

Selain daripada itu, memilih pusat tahfiz berdaftar adalah untuk mengelakkan anak-anak kita dieksploitasi oleh pengusaha tahfiz yang tidak bertanggung jawab. Mahukah anda melihat anak-anak anda dikerah mengutip derma untuk pusat tahfiz mereka? Jadi, pilihlah dengan bijak.

2. Lihat Silibus Pusat Tahfiz Tersebut

Selain daripada ilmu akhirat, ilmu duniawi juga perlu dipelajari oleh anak-anak kita. Walaupun ada sesetengah pusat tahfiz tidak mengambil peperiksaan awam seperti PT3 dan SPM, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka mempelajari ilmu akademik. Walaupun bukan untuk peperiksaan, sekurang-kurangnya untuk kegunaan mereka sendiri.

3. Lihat Rekod Alumni Pusat Tahfiz

Saya melihat, kejayaan pusat tahfiz bergantung kepada alumni mereka.

  • Berapa orang yang berjaya menghafal 30 juzuk?
  • Ke mana halu tuju pendidikan dan kerjaya alumni selepas menematkan pengajian di pusat tesebut?
  • Apakah khidmat alumni diperlukan semasa solat tarawikh pada bulan Ramadan?
  • Perkara-perkara tersebut perlu diambil peduli kerana, jika pusat tahfiz itu tidak berjaya melahirkan walaupun seorang pelajar yang hafal 30 juzuk al-Quran, maka eloklah ibu-bapa mencari pusat lain.

4. Perhatikan Juga Fasiliti Yang Disediakan

Anak-anak perlukan suasana kondusif untuk belajar. Kondusif di sini bukanlah bermaksud perlukan tilam empuk beserta pendingin hawa tetapi cukuplah sekadar mendapat kemudahan asas seperti air, elektrik dan perlatan belajar yang sempurna seperti kerusi dan meja.

Di kawasan tempat tinggal saya dahulu ada sebuah pusat tahfiz yang beroperasi di sebuah banglo. Dengan keadaan yang tidak terurus dan kotor, pernah satu ketika pelajar-pelajar tahfiz tersebut dijangkiti penyakit kulit berjangkit. Kesudahannya ramai pelajar yang terpaksa pulang untuk mendapatkan rawatan.

Ada juga pusat tahfiz yang tidak mempunyai kenderaan membawa pelajar menunaikan solat Jumaat. Pengakhirannya, pelajar-pelajar tersebut hanya mengharapkan ehsan pendudukan sekitar untuk membawa mereka ke masjid. Jika tidak ada yang bawa, tidak solat Jumaatlah mereka pada minggu tersebut.

5. Pastikan PIBG Pusat Tahfiz Berfungsi

Selain daripada pihak pentadbiran, PIBG juga memainkan peranan yang penting demi melihat kejayaan pelajar dan pusat tahfiz. Jika PIBG tidak berfungsi, besar kemungkinan pusat-pusat tersebut akan terabai.

Ibu bapa pasti mahukan terbaik untuk anak-anak mereka. Mungkin apa yang saya kongsikan ini adalah sebahagian daripada senarai semak yang perlu dititik beratkan oleh ibu bapa. Malah ada juga ibu bapa yang tidak kisah dengan perkara-perkara yang disebut.

Bila Pusat Tahfiz Jadi Ruang Terakhir Bentuk Akhlak Remaja

Tidak dinafikan, ada segelintir ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat tahfiz untuk memperbaiki akhlak mereka. Perkara ini menyebabkan pusat tahfiz menjadi tempat lambakan pelajar-pelajar bermasalah. Perkara ini menjadikan pusat tahfiz dipandang serong oleh masyarakat setempat.

Selepas beberapa bulan, dek kerana tidak tertanggung rasa, pihak pusat tahfiz mencadangkan agar pelajar tersebut dipindahkan kembali ke sekolah biasa. Kesudahannya kerugian tertimpa kepada pelajar tersebut kerana apa yang mereka kejarkan semuanya tampak tidak berjaya. Sudahlah pendidikan tahfiz tidak dapat dikendong, pendidikan akademik pula yang tercicir.

Untuk itu, ibu bapa perlu memastikan, anak-anak yang masuk ke pusat tahfiz adalah disebabkan minat mereka yang mendalam. Bukan sekadar dipaksa.

Nota

Kejayaan pendidikan anak-anak terletak di tangan ibu bapa. Carilah pusat tahfiz yang sesuai untuk kelangsungan masa hadapan mereka. Usah didera emosi anak-anak dengan menempatkan mereka di satu tempat yang mereka sendiri tidak suka.

Sumber/Foto: Abdul Muiez Ruslee,Guru Bimbingan Dan Kaunseling, SMK Sg Burong, Tanjong Karang via Mingguan Wanita

Published by
Netty Ah Hiyer