Sebelum Bercuti Kenalah Rancang Dahulu Nak ke Mana, Bukan Asal Viral Jer Terus Terjah Mak-mak

Share

Isteri Yang Merancang, Sesuai Baru Setuju

“Kebiasaannya dalam keluarga saya, yang merancang percutian keluarga selalunya adalah isteri saya, isteri mengemukakan cadangan kepada saya andai sesuai, barulah saya akan setuju.

“Kriteria destinasi selalu yang dipilih ialah tempat yang disukai kanak-kanak seperti resort atau hotel yang mempunyai kolam renang. Perihal tentang bajet percutian selalunya lebih kepada berkongsi antara saya dan isteri untuk pergi bercuti ini.

“Kebaikan yang dapat saya utarakan di sini apabila kita merancang percutian sendiri, kita boleh mengelakkan sebarang masalah seperti kesibukan lalu lintas dengan memilih masa percutian ketika hari bekerja jadi kita dapat sampai ke destinasi seperti yang dirancang dan kita dapat menjimatkan kos-kos perbelanjaan yang tertentu.” – Muhammad Fahmi Ariffin, 33 tahun.Suami Tentukan Selaku Pengurus Kewangan Keluarga

“Bagi keluarga saya, suamilah yang merancang percutian kerana urusan kewangan keluarga adalah dibawah pengurusan saya. Ini sekaligus memudahkan urusan perancangan penginapan, aktiviti-aktiviti yang akan dilakukan serta faktor keselamatan semasa bercuti.

“Selalunya saya akan memilih destinasi yang sesuai untuk semua lapisan umur seperti kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas. Mempunyai kemudahan penginapan yang selesa dan memuaskan serta tempat tersebut mempunyai tarikan yang disebut orang dan menjadi tarikan ramai orang.

“Saya dan isteri akan berkongsi perbelanjaan percutian ini bagi memastikan percutian itu benar-benar berbaloi dan lebih banyak aktiviti yang dapat dilakukan bersama keluarga.

“Kebaikan merancang percutian adalah perbelanjaan dapat diurus dengan baik. Malahan segala aktiviti sepanjang percutian jadi lebih tersusun dan sudah tentu akan menimbulkan rasa teruja kepada anak-anak terutamanya.” – Mohd Helmi Bin Hamid, 33 tahun.Terserah Isteri, Asal Dia Gembira

“Selalunya isteri yang merancang percutian, sebagai suami saya ikut sahaja ke mana dia mahu pergi. Paling penting bagi saya, isteri seronok dan gembira. Kami berdua memang suka pulau atau pantai, jadi kriteria destinasi biasanya mesti ada pantai.

“Isteri yang lakukan perancangan, bajet pula kami sama-sama keluarkan. Maklumlah kos bercuti biasanya agak tinggi termasuklah makan, minum, penginapan, minyak kereta, tol dan buah tangan untuk ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat. Jadi dengan perkongsian ini akan meringankan tanggungan bagi kedua-dua pihak.

“Kebaikan merancang percutian lebih awal adalah dapat merancang perbelanjaan, di samping merehatkan minda setelah penat bekerja. Jadi percutian adalah waktu yang sesuai untuk mendapat ketenangan daripada kesibukan kerja dan kota.

“Akhir sekali percutian ini penting untuk mengembalikan keharmonian rumahtangga dan hubungan suami, isteri akan kembali erat.”- Suhairi bin Jaafar, 39 tahun.

Rancang Bersama Tetapi Selalunya Isteri

“Menyentuh hal merancang percutian, selalunya isterilah tetapi kadang-kadang ada juga kami merancang bersama. Kriteria tempat pelancongan yang kami pilih adalah lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai, memiliki pemandangan yang indah dan menarik.

“Selain itu kami juga menjadikan tempat bersejarah sebagai destinasi pilihan di samping tempat yang tenang dan mendamaikan. Setelah isteri merancang destinasi percutian, menjadi tanggungjawab saya untuk mengeluarkan bajet.

“Kebaikan daripada percutian adalah dapat lari dari kesibukan bandar, menghilangkan stres setelah penat bekerja dan rehatkan badan serta fikiran. Waktu bercuti adalah waktu kita meluangkan masa yang ada bersama keluarga, mengeratkan ukhwah kekeluargaan dan menikmati udara yang segar serta menghargai keindahan ciptaan Allah.” – Norazuan bin Razali, 34 tahun.

Published by
Nur Syazwani Mehat