Pepatah ada menyebut, “Siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri”. Pembohongan, sama ada kecil atau besar adalah salah disisi agama dan undang-undang. Ia tidak boleh dianggap remeh dan perlu dibendung lebih awal. Jika tidak, ia dikhuatiri mendorong kepada perbuatan negatif yang lain seperti mencuri atau panjang tangan.

Imam Ali Zainal Abidin a.s. mengatakan bahawa: “Waspadailah dusta kecil dan besar baik ketika serius atau sambil main-main kerana jika seseorang tidak malu melakukan dusta kecil maka ia akan berani melakukan dusta besar.”

Sebenarnya anak mahukan perhatian daripada mak ayah. Ada ketikanya, mereka mencuri untuk mendapatkan sesuatu yang sukar diperolehi dan juga disebabkan kerana keseronokan. Bantu anak anda fahami tentang perbuatan salah ini melalui panduan ini:

Mak Ayah Sila Sedarkan Anak Yang Panjang Tangan

1. Terangkan Pada Anak Akan Kesalahan Mencuri

Ia satu perbuatan yang diharamkan dalam Islam, dan menyalahi undang-undang. Ingatkan juga kepada mereka bahawa sekiranya perbuatan tersebut dilakukan di pasaraya, mereka akan ditangkap dan dipenjarakan.

2. Pulangkan Barangan Yang Dicuri Kepada Tuan Empunya

Bawa si anak kepada tuan empunya dan pulangkan barang yang telah dicuri. Ini bertujuan untuk mengajar kepada si anak tentang hak seseorang dan memberi kesedaran kepada mereka bahawa barang kepunyaan orang lain tidak boleh diambil sesuka hati tanpa keizinan.

IKLAN

3. Lakon Semula Pedih Kehilangan

Ceritakan atau buat aktiviti main peranan (role play) tentang bagaimana perasaan mereka sekiranya barang mereka dicuri dan diambil tanpa pengetahuan mereka. Sudah tentu mereka akan merasa marah dan sedih. Melalui pendekatan ini, mereka akan faham bahawa perbuatan mencuri itu satu kesalahan dan boleh merosakkan hubungan.

4. Ajar Anak Minta Maaf Pada Mangsa

Ajari si anak untuk meminta maaf kepada tuan empunya atas tindakan mereka itu. Sekiranya barang yang dicuri telah hilang atau dimakan. Contohnya coklat. Minta mereka menggantikannya dan memohon maaf. Jelaskan juga kepada mereka bahawa meminta maaf adalah perbuatan yang mulia. Jangan rasa malu untuk berbuat demikian kerana orang meminta maaf akan merasa tenang dan bahagia.

5. Hukuman Psikologi

Hukuman fizikal adalah tidak perlu dan kemungkinan akan membuatkan si anak bertambah marah. Hukuman lain seperti mengurangkan wang belanja atau tidak membelikan permainan yang disukai mungkin boleh digunapakai jika dirasakan perlu.

IKLAN

 

Sebelum Anak Melarat ‘Panjang Tangan’, Mak Ayah Sila Bantu Mereka Dengan 5 Kesedaran Ini

Sebelum Melarat, Mak Ayah Berilah Perhatian Pada Anak

1. Beri Perhatian Pada Keperluan Anak

Anak-anak yang membesar dengan perhatian yang cukup tidak akan melakukan perbuatan mencuri. Kebanyakan kes kecurian berlaku kerana kanak-kanak tersebut ingin mendapatkan perhatian daripada ibu bapa. Walaupun perhatian yang diberikan dalam bentuk yang negatif, seperti dimarahi, mereka merasa puas kerana berjaya mendapatkan perhatian ibu bapa.

IKLAN

2. Mengajar Anak Untuk Bersabar

Kebanyakan kanak-kanak mencuri adalah disebabkan keinginan mereka untuk memiliki sesuatu yang mereka belum mampu miliki. Justeru, mereka perlu diajar bahawa tidak semua perkara mereka dapat miliki. Mereka perlu bersabar dan berusaha untuk mendapatkannya, dan bukan dengan cara mudah, iaitu mencuri.

3. Tanamkan Konsep Nilai Dalam Diri Anak

Didik anak-anak tentang konsep nilai dan hak individu. Nyatakan pada mereka beza antara “ini milik saya” dan “ini milik awak”. Ajari mereka supaya tidak mengambil hak orang lain sesuka hati tanpa keizinan walaupun perkara tersebut kecil, seperti mencuri pensil kawan.

Kalau Anak Masih Panjang Tangan, Bawalah Mereka Jumpa..

Sekiranya perbuatan tersebut berterusan dan disebabkan oleh gangguan penyakit yang dipanggil sebagai kleptomania, maka ia perlu dirawat. Kleptomania merupakan sejenis gangguan penyakit mental dan kebanyakan kes melibatkan kecurian di kedai atau pasaraya. Mereka yang menghidap gangguan ini mempunyai kecenderungan untuk mencuri walaupun nilai objek yang dicuri adalah tidak seberapa.

Antara mereka yang boleh menghulurkan bantuan untuk membantu anak menangani masalah ini termasuklah:
a) Ahli psikologi klinikal
b) Pakar psikiatri
c) Pakar terapi keluarga atau kaunselor

OLEH: ROSS AZURA ZAHIT zrazura@fcs.unimas.my, PSIKOLOGIS KLINIKAL, JABATAN SAINS KOGNITIF FAKULTI SAINS KOGNITIF DAN PEMBANGUNAN MANUSIA (FSKPM) , UNIVERSITI MALAYSIA SARAWAK (UNIMAS) – wawancara bersama majalah Keluarga

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI