Sebaknya Lihat Mummy Didie Tangisi Pemergian Bekas. Berita menggemparkan seluruh tanahair apabila pelawak dan pelakon Didie Alias mengumumkan pemergian bekas suaminya, Allahyarham Ridzuan Hashim menerusi akaun Instagramnya.
Sebelum ini tidak ada khabar berita tentang pelakon senior Ridzuan Hashim mengalami sebarang penyakit. Apabila diberitahu pemergiannya ke negeri abadi, ramai yang terkejut.
Malah ramai yang berasa sebak apabila Mumy Didie berkongsi berita sedih itu. Ternyata walaupun hanya bekas suami namun Mummy Didie kelihatan sangat sedih. Rupanya hubungan mereka begitu rapat walau sudah lama berpisah.
Permata Industri Kreatif tanah air Allahyarham Mohd Ridzuan Hashim telah kembali kerahmatullah pada jam 2 petang setelah pengsan dirumahnya pada jam 11 pagi dan dikejarkan ke HKL, Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhirnya pada usia 62 tahun.
Allahyarham dilahirkan pada 13 Ogos 1961 di Kuala Lumpur berkahwin dengan Didi Alias pada tahun 1991 dan dikurniakan 5 orang anak walaubagaimana pun perkahwinan mereka hanya bertahan sehingga tahun 2002.
Seperti yang dilaporkan portal Harian Metro. Mummy Didie menerangkan mereka sekeluarga sebenarnya sudah tahu Allahyarham menghidapi sakit jantung.
“Kami semua dalam keluarga memang tahu bahawa arwah menghidap sakit jantung sejak tiga tahun lalu. Tapi, dia nak rahsiakan sebab takut tak dapat tawaran kerja.
“Tiga tahun lalu, dia pernah diserang serangan jantung selepas bermain bola. Jadi, apabila dia sesak nafas, dia dibawa ke hospital dan sejak itulah kami tahu dia sakit jantung.
“Dia tinggal bersendirian, jadi kami anak beranak berbincang untuk anak-anak menjaganya. Jadi, sejak tahun lalu, anak saya Muhammad Dhanial menjaganya di rumah dan menemaninya.
“Kami takut benda-benda tak diingini berlaku bila dia bersendirian,” ungkap Didie.
Menurut Didie lagi, anaknya itu juga terkilan kerana akan mendirikan rumah tangga 20 Mei ini tanpa kehadiran ayahnya.
“Dhanial akan bernikah pada 20 Mei nanti. Jadi, itu yang membuatkan rasa terkilan dan sangat sedih. Ayahnya beritahu, dia akan ikut ke Tawau untuk majlis pernikahan.
“Dhanial pun dah siapkan tiket penerbangan dan baju untuk ayahnya. Memang dia anak lelaki yang rapat dengan ayahnya. Memang ada rasa ralat sedikit sebab tak dapat raikan hari bahagia dengan ayahnya,” sambung Didie.
Didie juga memaklumkan Aidilfitri ini dia dan Allahyarham sempat beraya bersama dan membawa balik ke kampung mentua Didie.
“Selepas lebih 20 tahun, kami disatukan semula dalam keluarga. Walaupun dia bekas suami saya, tapi kami beraya bersama dan saya bawa dia balik ke kampung mentua saya.
“Kami dalam keluarga panggilnya ‘baby’ sebab kami menjaganya seperti anak kecil.
“Dia memang sangat penyayang dengan anak-anaknya. Saya rasa gembira sangat kerana dua tiga tahun kebelakangan ini, kami dapat bersatu semula dan macam satu keluarga yang bahagia,” ungkap Didie.
Arwah Ridzuan Hashim juga permah memenangi anugerah Pelakon lelaki terbaik FFM ke 9 menerusi filem Hati Bukan Kristal (Menang), Pelakon lelaki pembantu terbaik FFM 13 untuk filem Ghazal Untuk Rabiah (Pencalonan) serta beberapa pencalonan lain lagi.
Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua Hulu Langat.
Menerusi ruangan komen rakan selebriti dan juga warganet memberi ucapan takziah.
Baca Disini : Didie Alias Kehilangan 5 Ahli Keluarga “Ya Allah Kuatkanlah Kami Sekeluarga Dugaan Covid”
Mingguan Wanita: Al-Fatihah. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang yang beriman.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Sumber:Instagram Didie Alias