Sebaik Suami Meninggal, Adik-beradik Sama Naik Tuntut Harta, Isteri Derita Selamanya

Share

Sebaiknya suami.. hibahkan harta untuk isteri dan anak-anak siap-siap sementara hayat masih ada. Sebabnya, semasa suami masih bernyawa, indah saja sekelilingnya. Adik beradik baik segala, sebaik suami menutup mata hubungan jadi keruh.

Isteri tak lagi menjadi ipar yang disayangi, kerana harta suami yang menjadi tuntutan sama adik-beradik suami. Sudahnya, isteri yang cuma seorang suri rumah berpendapatan kecil inilah terkontang-kanting sendirian mempertahankan haknya.

 

Sebaknya, membaca kisah benar yang dikongsikan ibu tunggal ini. Bila mana suami meninggal dunia, adik-beradik suami mula menuntut haknya. Tinggallah isteri, sendirian berjuang akan haknya. Yang mana, semua itu tak perlu pun terjadi kalau suami dah siap-siap sediakan untuk ahli keluarganya.

Pesanan yang disampaikan Puan Marliya Ramli ini banyak benarnya. Janganlah biar isteri derita selama-lamanya. Semoga boleh ambil ikhtibar dari perjalanan hidup yang memilukan ini.

DERITA SELAMA-LAMA

1 – Tuan-tuan ambillah sedikit masa. Semak bersama-sama… Berapa jumlah simpanan yang isteri tuan-tuan ada?
2 – Berapa banyak yang isteri tuan-tuan mampu jana pendapatan keluarga? Andai tuan-tuan tiada, isteri mampu urus segala?
3 – Andai Tuan-tuan meninggal dunia, apa yang dihibahkan pada isteri jelita? Berapa banyak jumlah wang dan emas simpanan yang tuan-tuan sedia agihkan?
4 – Anak-anak tuan-tuan akan ada tempat tinggal? Isteri tuan-tuan punya hati kental yang sanggup bertahan? Berapa lama?
5 – Saya 16 tahun bekerjaya sebagai HR ya tuan-tuan… Saya dah tengok abang kakak dan adik beradik yang tuan-tuan sanjung anggap baik segala, merekalah bakal jadi si celaka yang menyusahkan.

Adik-beradik Pun Sama Sibuk Hitung Harta..

6 – Merekalah yang sibuk menghitung harta pusaka dan insuran syarikat yang tuan-tuan tinggalkan. Tuan-tuan masih hidup segalanya baik belaka. Tuan-tuan meninggal esok, anak isteri tuan-tuan merempat tak apa… Yang penting mereka mahu bahagiannya.
7 – Haloba manusia tak kenal sesiapa. Baik ibu bapa tuan-tuan atau saudara mara. Selagi bernafas dan punya nyawa, pandanglah wajah anak isteri tuan-tuan.
8 – Tuan-tuan jangan tunggang agama berserah pada takdir semata-mata. Selagi jasad menghirup udara, ambil lah langkah berjaga-jaga.
9 – Pastikan isteri tuan-tuan punya sebuah rumah namanya. Pastikan isteri tuan-tuan tahu menjana wang untuk anak-anak tercinta.
10 – Jika isteri tuan-tuan surirumah atau berpendapatan kecil saja, segera hibahkan harta. Agar pemergian tuan-tuan tidaklah meninggalkan DERITA SELAMA-LAMA.

Salam sayang dan ya, saya isteri juga.

MW : Sekarang ini dah mudah nak buat urusan hibah ini. Cuma nak dengan tidak saja nak buatnya.

Baca sini : Gara-gara tak tahu tuntut harta pusaka selepas suami meninggal, isteri ditendang bak bola

Sumber/Foto : Marliya Ramli

Published by
NETTY AH HIYER