Sayu! Luahan Cucu Almarhum Sultan Kedah Buat Rakyat Tersentuh Hati…

Share

Hari ini Malaysia diselubungi sayu, terutama rakyat negeri Kedah dengan mangkatnya sultan kesayangan ramai. Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah mangkat pada 2.30 petang semalam di Istana Anak Bukit pada usia 89 tahun.

Almarhum memerintah Kedah selama 59 tahun. Baginda satu-satunya Raja-raja Melayu yang memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Kali pertama, sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5 (21 September 1970-20 September 1975) dan yang ke-14 (13 Disember 2011 – 13 Disember 2016).

Catatan cucunda Almarhum Sultan Kedah, Raja Sarina Iskandar menyentuh hati rakyat. Almarhum Sultan Kedah mengasihi rakyat dan negerinya melebihi segala-galanya. Kerana itu adalah tanggungjawab yang perlu dilunaskan ketika hayat baginda.

Tanggungjawab Dan Rakyat

“Tanggungjawab” dan “rakyat”. Inilah dua perkataan yang Tok sering ucapkan semasa masih hidup. Bila difikirkan kembali, manakan tidaknya; inilah asas rutin hariannya bagi memenuhi tanggungjawab sebagai seorang Sultan. Bagi Tok, apa sahaja yang dilakukannya adalah demi rakyat yang tercinta.

Tok sentiasa mencuba yang terbaik untuk memenuhi setiap jemputan acara yang diterima sebagai tanda penghargaan dan hormat; meskipun kadangkala Tok merasa lemah dan kurang sihat kerana Tok tidak mahu menghampakan mana-mana pihak. Sehinggakan kami sebagai ahli keluarganya merasakan perlu untuk menasihatinya supaya tidak memudaratkan diri terutama sekali semasa Tok memegang takhta sebagai Agong.

Walaupun selepas cubaan untuk meyakinkannya yang pihak lain pasti akan memahami hadnya sebagai seseorang yang sudah dimakan usia, tok masih tegas dengan pendiriannya.

Tidak. Ini tanggungjawab Tok.”

Kemana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Seperti bapanya – Tok percaya bahawa menjadi seorang Sultan merupakan suatu amanah yang besar. Sifat pemurahnya tidak terhad kepada apa yang kita lihat di media; secara senyap-senyap, Tok juga telah menaja pendidikan beberapa orang pemuda sehingga ke peringkat universiti. Melihat rakyatnya berjaya membawa sejuta kegembiraan kepadanya.

Kasihnya untuk Kedah boleh diibaratkan seperti kasih seorg bapa yang penuh dedikasi; baginya Kedah adalah seperti anak kecil yang perlu dilindungi dan ditatang sehingga dapat berdikari dan jalan dengan sendiri.

Sesuatu yang saya pelajari daripada Tok adalah untuk tidak membiarkan hidup dikawal oleh tohmahan dan hinaan daripada anasir luar. Jika kita hidup dengan berintegriti, kenapa perlu kita berasa gentar? Perasaan tersebut hanyalah untuk Allah SWT, dan Allah SWT sahaja. Al-Fatihah.

Penghormatan Terakhir

Pagi ini rakyat jelata diberi pelung memberikan penghormatan terakhir kepada sultan kesayangan rakyat Kedah, Almarhum Baginda Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’Adzam Shah bermula jam 11 pagi ini hingga 12.30 tengah hari di Istana Anak Bukit.

Menurut aturcara yang dikeluarkan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Istiadat Kemangkatan dan Pemakaman Diraja, orang ramai diminta berpakaian rasmi dan sopan ketika hadir di Balai Penghadapan istana bagi upacara tersebut.

Istiadat Kemangkatan dan Pemakaman Diraja itu akan dimulakan dengan bersiram, mengkafan jenazah serta menabur cendana pada 8 pagi.

Ini disusuli dengan solat jenazah dan penghormatan terakhir bagi orang awam dan kenamaan di Balai Penghadapan istana.

Sejurus sebelum pengiringan jenazah ke Makam Diraja Langgar untuk pemakaman, istiadat Pengisytiharan Keputusan Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja dijangka berlangsung pada 1.30 petang.

Pemakaman dijangka bermula pada 4 petang disusuli dengan majlis tahlil serta doa selamat

Sumber/Foto: Instagram Sarina Iskandar, BERNAMA via Mingguan Wanita

Published by
Netty Ah Hiyer