Sayang Melampau Pada Pasangan, Boleh Akibatkan Cemburu Buta!

Sayang pada pasangan itu normal dan perasaan itu harus ada agar hubungan itu akan berkekalan. Namun, kalau keterlaluan, boleh menyebabkan sesuatu yang tak elok pula iaitu CEMBURU BUTA!

Benarkah kalau terlalu cemburu menyebabkan hilang sayang? Jawapannya ya. Bayangkan kalau isteri asyik check (periksa) telefon bimbit suami, tentu lemas juga, kan?

Sayang Hingga Timbul Cemburu Buta

Ada kalanya suami mahu bebas berhubung dengan sesiapa yang dirasakan boleh memberikan manfaat pada penghujungnya, dan isteri tidak perlulah terlalu tahu pada awalnya. Sebab terlalu tahu kalau jenis terlalu cemburu akan menyebabkan sesuatu urusan itu terganggu.

Misalnya, suami seorang peniaga aksesori wanita di laman sosial. Sudah tentu dia akan melayan sesiapa sahaja termasuk mengambil model untuk memperagakan tudung keluaran terbarunya. Urusan seperti ini tidak selalunya setakat di laman sosial, selalunya akan pergi ke Hp juga. Maklumlah, dengan teknologi WhatsApp, memang mudah berurusan tambahan ia percuma.

Malangnya, si isteri terlalu cemburu. Tiap-tiap malam dia akan menyemak telefon bimbit suami dan kerap mengamuk apabila terbaca mesej-mesej ala-ala ‘menggatal’ gitu. Kadang-kadang amukannya melalut hingga menelefon wanita-wanita berkenaan, yang sebenarnya adalah prospek perniagaan suaminya juga. Bukankah malang?

Sayang Melampau Pada Pasangan, Boleh Akibatkan Cemburu Buta!

Kalau Sayang, Letakkan Kepercayaan!

Sebenarnya, adalah baik jika membiarkan suami dengan urusannya, asal hujungnya jadi duit. Berilah dia tempoh beberapa bulan untuk berkreatif dalam perniagaan siber yang dijalankannya. Saingan terlalu banyak, dia perlu menampilkan kelainan selain layanan yang paling cemerlang untuk setiap pelanggan, jika tidak perniagaannya akan terhenti. Berniaga aksesori wanita memanglah kadang-kadang terpaksa menampilkan diri sebagai seorang lelaki yang mudah didekati. Untuk itu, rasa mesra adalah intisarinya.

Samalah halnya dengan agen jualan kereta. Dia perlu mengayak setiap orang yang menunjukkan minat untuk membeli kereta dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak boleh cincai sahaja sehingga orang yang hendak membeli terasa terasing atau terpinggir.

IKLAN

Untuk itu, kadang-kadang urusan tidak selesai setakat di galeri jualan tetapi juga secara wasap malam-malam. Hari ini orang menghantar salinan kad pengenalan dan dokumen-dokumen penting melalui Hp sahaja dan mereka tidak melakukannya siang hari waktu pejabat, ramai yang melakukannya ikut masa yang terluang. Sesetengahnya hingga jauh malam.

Umpan Jual Beli

Sesetengah agen jualan mengayat pelanggan dengan ayat-ayat lembut atau kelihatan ‘sedikit gatal’. Misalnya, “Kereta yang you nak tu tak ada stok, tapi you punya pasal, ke lautan api pun I sanggup carikan. You confirm je nak, nanti I terjah head office. Untuk you, apa saja.”

Macam gatal bukan? Tapi bukan semua ayat begini adalah permulaan pada skandal tapi semata-mata umpan untuk melembutkan urusan. Psikologinya wanita suka dengan ayat-ayat begitu apabila dia berurusan dengan lelaki, dan dia pun tahu taktik wakil jualan, bukan sebenar-benarnya ‘mabuk’ tapi macam dikatakan tadilah… pelembut.

Saya sendiri melakukan ini di Fb saya. Sebagai pakar motivasi, saya perlu menampilkan diri sebagai cocok untuk semua keadaan, semua orang. Tidak kira siapa dia, orang besar, orang kecil, anak dara, isteri orang, lelaki berkedudukan tinggi atau sekadar budak sekolah semuanya saya layan sesuai dengan kedudukan mereka.

Pada mereka yang suka menulis ayat-ayat ‘gatal’ saya layan dengan ayat yang lebih kurang sama, perlahan-lahan saya bawa mereka kepada landasan yang sebenar. Tak bolehlah saya hentak, sebab bukankah saya motivator semua orang? Pendekatan motivator tulen sudah tentu tidak sama dengan ustaz ortodoks, bukan?

Asal Tak Keterlaluan

Selagi sesuatu komunikasi itu tidak keterlaluan hingga boleh ditafsirkan sebagai ‘mukadimah skandal’, tambahan lagi sekiranya terbukti urusan-urusan itu berakhir dengan kejayaan dan menjadi duit, tidak perlulah terlalu kisah, dalam kata lain terlalu cemburu.

Dunia hari ini sememangnya seseorang itu tidak akan terlepas daripada menggunakan Hp dan peranti ini selalu memberikan ruang untuk hal-hal seumpama itu mengambil tempat. Kita mungkin seorang ustaz, tetapi kadang-kadang kita terbaca juga mesej nakal yang dihantar oleh seseorang dalam grup whatsApp.

Jika kita merasakan diri terlalu baik, kita akan exit group dan merasakan selamat, tetapi sebenarnya kita telah membiarkan mereka yang masih dalam grup itu terkeliru dan akan terus dikelirukan. Tidak mengapa bertahan dengan niat sesekali untuk memperbetulkan seseorang. Apa guna mengaku baik kalau tinggal seorang diri dalam hutan, bukan?

Kalau terlalu cemburu, susahlah suami nak buat kerja. Suami pula, kalau isteri berkerjaya janganlah juga terlalu cemburu, susah dia hendak bekerja. Memang cemburu tanda sayang, tapi kalau terlalu cemburu memang boleh melayang. Ayuh sama-sama perbetulkan!

Sumber artikel: HM Tuah Iskandar, motivator. https://www.facebook.com/tuahfadilah

https://www.mingguanwanita.my/buat-nasi-impit-guna-rice-cooker-lebih-padat-dan-lambat-basi/