Di sebalik senyum manis dan wajah tenangnya, pelakon dan pengacara Elfira Loy menyimpan kisah perjalanan hidup yang tidak ramai tahu mengenainya. Dalam satu sesi bual bicara penuh emosi menerusi podcast Wardah Heart to Heart bersama hos Dayah Bakar, Elfira mendedahkan bahawa permulaan kariernya sebagai pelakon bukanlah kerana minat… tetapi demi membantu insan paling penting dalam hidupnya — ibunya.
“Orang ingat saya suka berlakon. Tapi sebenarnya tidak. Saya masuk dunia seni sebab nak bantu ibu. Ketika itu kami sekeluarga perlu tambah pendapatan untuk tampung keperluan adik-beradik,” luah Elfira perlahan, mengimbas kembali memori remajanya.
Kali pertama dia mendapat bayaran adalah selepas menjayakan sebuah teater. “Saya masih ingat perasaan masa tu… dapat duit hasil titik peluh sendiri. Dalam hati saya cakap, ‘Oh… kerja ini boleh tolong ibu saya.’ Dari situ saya teruskan, walaupun saya sebenarnya seorang yang introvert, yang tak selesa berada di depan kamera.”
“Ibu saya pun tak tahu saya tak suka berlakon. Saya pura-pura gembira sebab saya tahu, kalau saya sedih, ibu saya akan dua kali ganda lebih sedih. Saya belajar untuk pendam perasaan sejak kecil.”
Di sebalik kepayahan, Elfira sentiasa mencari kekuatan dalam hubungan peribadinya dengan Allah SWT. “Saya dari kecil memang banyak bergantung pada Allah. Apa-apa yang saya rasa, saya cerita pada Dia. Itu cara saya tenangkan diri.”
Pengalaman sebagai anak sulung dalam keluarga yang melalui fasa penceraian ibu bapa menjadikan Elfira seorang yang matang sebelum waktunya. Dia sedar, jika dia lemah, adik-adiknya akan rasa lebih terkesan. “Saya tak boleh terlalu larut dengan kesedihan. Saya kena kuat untuk mereka.”
Tidak cukup dengan ujian keluarga, Elfira juga pernah melalui episod hitam dalam hidup apabila pertunangannya putus pada tahun 2018. “Saya tak sangka orang boleh buat saya macam tu. Saya tak pernah luah dekat sesiapa. Bila wartawan tanya pun, saya diam. Tapi dalam diam tu… hati saya hancur.”
Namun di sebalik kesedihan itu, dia kembali mencari cahaya, di masjid, dalam doa, dan dalam kekuatan spiritual.
“Itu titik perubahan saya. Saya kembali kepada Allah sepenuhnya. Saya nampak hikmah di sebalik semuanya. Allah bagi semula semua yang saya perlukan… cuma satu saja tak dapat,” katanya penuh makna.
Kini, Elfira bersyukur kerana penghijrahannya diterima baik oleh keluarga, rakan-rakan dan juga peminat. Dia tidak lagi terlalu memikirkan apa orang kata, tetapi lebih fokus kepada redha Allah dalam setiap langkahnya.
Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/bagaikan-mimpi-elfira-loy-kongsi-rasa-di-tanah-suci/
“Saya selalu ingat kata-kata seorang ustazah, bahawa dalam hidup ini ada dua jalan – satu untuk Allah, satu untuk manusia. Kalau kita hanya ikut jalan manusia, kita akan lupa Allah. Tapi kalau kita buat kerana Allah, insya-Allah… manusia pun akan faham akhirnya.”
Dengan penuh rendah hati, Elfira mengajak semua wanita untuk tidak takut berubah ke arah kebaikan. “Kadang kita takut nak mula… takut makan diri. Tapi percayalah, mungkin itulah amalan yang akan selamatkan kita nanti.”
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE