Kemalangan maut akibat dirempuh pemandu mabuk memang sukar dimaafkan apatah lagi orang tersayang yang menjadi tempat bergantung hilang sekelip mata. Nyawa bukan mainan dan boleh dicari ganti hatta di beli dengan wang ringgit. Akibat sikap pentingkan diri, memandu dalam keadaan mabuk mengakibatkan nyawa insan lain yang tidak berdosa menjadi mangsa. Seribu kesalan pasti dirasai buat keluarga mangsa ini.
“Saya tidak maafkan, nyawa tidak boleh diganti dengan wang, saya kini betul-betul hilang arah,” kata Zahlawati Zahlan,47.
Dia adalah isteri kepada Allahyarham Mohamed Zaili Mohamed, 44, yang maut dirempuh pemandu mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, awal pagi semalam.
Zahlawati berkata, kehidupannya bergantung kepada suami yang melakukan pelbagai pekerjaan sambilan terutama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Arwah buat pelbagai kerja termasuk menghantar makanan yang ditempah pelanggan melalui perniagaan kecil-kecilan saya.
“Kini saya hilang arah dan punca. Arwah meninggalkan empat anak tiri berusia tujuh hingga 15 tahun dan anak bersama saya berusia enam tahun,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurutnya, dia mengetahui kejadian yang menimpa suaminya selepas cuba menghubungi telefon namun panggilan tidak berjawab.
“Dia keluar untuk menghantar makanan di rumah rakannya di Pantai Dalam pada jam 9.30 malam. Kira-kira jam 1.30 pagi saya cuba hubungi arwah sebanyak lima kali namun tidak berjawab, namun panggilan keenam dijawab orang awam yang memaklumkan suami saya terbabit kemalangan.
“Saya terus bergegas ke lokasi dan mendapati arwah sudah tidak lagi bernyawa, dia dilihat terbaring dalam keadaan berlumuran darah,”
katanya.Katanya, kerajaan perlu mempercepatkan pindaan undang-undang terhadap pemandu mabuk ini bagi mengelakkan ramai lagi menjadi mangsa.
“Undang-undang perlu diperketatkan, suami saya menjadi mangsa, malah bulan ini saja berapa ramai orang yang tidak bersalah menjadi mangsa?
“Kini saya sudah hilang orang tersayang yang mencari rezeki untuk keluarga. Tindakan perlu diambil dengan segera,” katanya.
Dalam kejadian pada 1.30 pagi itu, mangsa, Mohamed Zaili Mohamed disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa dirempuh Nissan Grand Livina dipandu suspek berusia 21 tahun dari arah belakang.
“Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa, dekat Ampang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya. Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke sebelah kiri bahu jalan, manakala motosikalnya diseret sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.”
“Suspek memberhentikan kenderaannya di bawah jejantas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa dekat kawasan itu setelah ditahan orang awam.”
“Suspek kemudian dibawa ke Balai Trafik Jalan Tun H S Lee dan keputusan saringan ujian mendapati kandungan positif alkohol dalam pernafasan lelaki berkenaan,” katanya.
MW: Salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga kejadian ini dibawa ke muka pengadilan dan diberi hukuman yang setimpal. Nyawa bukan boleh dicari ganti dengan wang, semoga hukuman dapat diperketatkan bagi mengelak nyawa tidak berdosa menjadi mangsa. Alfatihah.
Sumber: Hmetro