Sungguh ajal maut takdir ketentuan tuhan. Namun insiden gurauan sehingga mengakibatkan kematian sewajarnya mendapat pembelaan dan keadilan secara menyeluruh.
Keluarga kepada remaja lelaki yang meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3 di sini, menuntut polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung punca sebenar kematian.
Ibunya, Hizanawati Abu Bakar, 48, berkata, pihak keluarga masih menanti keputusan bedah siasat terhadap anaknya, Muhammad Damin Mikhail Kamsol, 16, yang dijangka diperoleh pada petang Isnin.
Bagaimanapun katanya, keluarga tetap reda dengan pemergian Muhammad Damin namun menuntut keadilan agar punca sebenar dapat diketahui dan didedahkan kepada orang ramai.
“Saya hanya menuntut pembelaan terhadap kematian anak saya dan jika kes ini meragukan, kami akan membuat laporan polis.
“Saya tidak anggap kejadian ini sebagai satu gurauan kerana ia melibatkan kehilangan nyawa selain bimbang selepas ini perlakuan tidak disengajakan seperti ini berlaku kepada pihak lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Puncak Alam di sini pada Isnin.
Menurut Hizanawati, kematian Allahyarham Muhammad Damin amat dirasai apatah lagi, dia kehilangan suaminya, Kamsol Abd Kadir, dan anak keduanya, Muhammad Haikal Danial tiga tahun lalu.
Katanya, Allahyarham Kamsol meninggal akibat strok pada April 2019 dan Muhammad Haikal pula maut 1 September tahun sama.
“Luluh hati saya apabila mengenangkan tiga ahli keluarga sudah dijemput Ilahi dan kehilangan Muhammad Damin tentunya memberikan kesan mendalam kepada kami sekeluarga,” ujar Hizanawati.
Hizanawati memberitahu, Muhammad Damin sebelum ini mengalami kecederaan luka di dua jari kanan akibat terkena serpihan kaca semasa membonceng motosikal ke tempat futsal pada Jumaat lalu.
Ujarnya, akibat kejadian itu, anaknya ada mengambil ubat dan mungkin atas faktor itu Allahyarham Muhammad Damin mengalami gejala mengantuk semasa kejadian.
“Malah semasa pagi sebelum kejadian arwah meminta izin untuk keluar rumah mengikut rakannya ke restoran mamak berhampiran.
“Sebelum keluar, saya sempat bertanya pada arwah hendak makan apa hari ini dan Muhammad Damin memberitahu ingin nikmati juadah sambal ikan kembung.
“Saya tersentak apabila arwah teringin makan sambal ikan kembung memandangkan arwah abangnya (Muhammad Haikal) menggemari lauk sama,” tambahnya.
Hizanawati memberitahu, sejurus siap memasak, dia kemudian menghantar aplikasi WhatsApp kepada Muhammad Damin dan menyuruhnya singgah ke klinik untuk mencuci luka.
Katanya, Allahyarham yang membalas kiriman WhatsApp menyatakan ingin mencuci luka pada petang, namun tidak menyangka dia pergi buat selamanya.
“Saya hanya mengetahui kejadian menimpa anak selepas selesai menunaikan solat Zohor dan terdengar bunyi ketukan pintu rumah.
“Seseorang yang datang ke rumah memberitahu Muhammad Damin sudah keras dan minta saya segera ke tandas awam tersebut.
“Ketika itu badan saya tiba-tiba jadi lemah dan menggigil ketakutan sambil berdoa agar semuanya selamat dan dipermudah,” katanya.
Jelas Hizanawati, sebaik tiba di tandas awam itu, dia kemudian dimaklumkan tidak dibenarkan memasuki kawasan kejadian sambil melihat ketibaan trak polis.
“Pada masa itu, hati saya kuat mengatakan anak kemungkinan sudah tiada dan polis pula meminta saya menunggu di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh dan sempat melihat wajah arwah buat kali terakhir di situ,” jelasnya.
Hizanawati memberitahu, Allahyarham Muhammad Damin disifatkan seorang anak bertanggungjawab, peramah dan mengasihi adik-beradik lain.
“Saya sedih sebab arwah rapat dengan saya, malah jika hendak keluar rumah pastinya dia bersalaman, peluk dan cium terlebih dahulu.
“Kehilangan arwah memang saya rasai lebih-lebih lagi arwah seorang anak yang baik dan mendengar kata,” luahnya.
Ujar Hizanawati, jenazah Allahyarham Muhammad Damin dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam selepas urusan bedah siasat selesai.
Pada Ahad seorang remaja berusia 16 tahun ditemui rentung di dalam sebuah tandas awam berhampiran sebuah padang pada Ahad.
Ketika kejadian mangsa dikatakan tidur di atas sebuah sofa di hadapan pintu tandas tersebut sebelum kedua-dua suspek menyalakan api di bawah sofa terbabit untuk bergurau.
Berikutan kejadian itu, polis menahan dua remaja berusia 15 dan 16 tahun untuk membantu siasatan berhubung kejadian kebakaran terbabit.
Kedua-dua suspek ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Mesti Baca:Gurauan Melampau Kawan Main Api, Remaja 16 Tahun RENTUNG Dalam Tandas Terbiar!
Mingguan Wanita: Salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga diberik kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian kehilangan anak ini. Semoga keadilan dapat ditegakkan dan pelaku mendapat pembalasan yang setimpal sebagai pengajaran buat yang lain juga.
Sumber: Sinar Harian
Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.