Keikhlasan suami menambat hati guru ini.

“Saya sayangkan dia, soal umur bukan penentu kebahagiaan.” Dulu cikgu, sekarang isteri. Benarlah jodoh Ketentuan Tuhan.

Siapa sangka, dahulu hubungan hanya sekadar guru dan pelajar kini hubungan itu dihalalkan dengan ikatan suami, isteri.

Kisah cinta seperti ini bukanlah pelik, malah ramai yang mengambil keputusan untuk berkahwin biarpun memiliki jurang usia yang agak ketara dan akhirnya mereka bahagia ke saat ini.

Dulu Cikgu, Sekarang Isteri

Jurang usia bukan halangan untuk guru muzik, Nurhanis Zahidah Hashim bertemu jodoh dengan Muhammad Hazim Zainal yang 11 tahun lebih muda daripadanya.

Sebaliknya, keikhlasan Muhammad Hazim, 23, yang menambat hati dan meyakinkan Nurhanis Zahidah, 34, untuk menerima lamaran bekas pelajarnya itu.

Mereka hanya sempat berkenalan dengan lebih rapat selama lima bulan saja sebelum menjadi suami isteri selepas selamat diijabkabulkan pada 10 Disember lalu di Masjid Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor.

Saya Sayangkan Dia

Menurut Nurhanis, dia pernah berkahwin sebelum ini dan dikurniakan dua anak yang kini berusia lima serta enam tahun namun jodohnya dengan bekas suami tidak panjang apabila sepakat untuk berpisah pada 2017.

Sejak itu, Nurhanis banyak menghabiskan masa dengan kerja dan anak malah tidak pernah terlintas atau merancang untuk mencari pengganti.

“Saya mengenali suami sewaktu dia di tingkatan empat ketika melatihnya untuk pasukan muzik sekolah.

“Bagaimanapun, hubungan kami hanya sekadar guru dan pelajar memandangkan saya masih bersuami ketika itu.

“Selepas dia (suami) tamat sekolah, kami tidak berhubung langsung namun kebetulan bertemu semula dalam majlis perjumpaan semula (reunion) pelajar muzik pada Disember 2020,” katanya.

Ads

Soal Umur Bukan Penentu Kebahagiaan

Tambah Nurhanis lagi, selepas perjumpaan itu, dia dan Muhammad Hazim masih tidak berhubung dengan satu sama lain walaupun dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp yang sama.

“Hampir tiba tarikh ulang tahun kelahiran saya, saya terima kiriman WhatsApp daripada suami.

“Dia nyatakan hasratnya untuk berkenalan lebih rapat dan minta izin untuk tidak lagi memanggil saya cikgu.

“Terkejut juga namun saya cuba memberinya peluang dan nampak dia bersungguh apabila membawa saya bertemu keluarganya pada bulan kedua perkenalan iaitu ketika Aidiladha tahun lalu. Kemudian, saya pula mengajaknya bertemu dengan keluarga saya,” katanya lagi.

Keluarga Ragu-Ragu

Malah jelas Nurhanis, pada awalnya, keluarga kedua pihak agak ragu-ragu dengan keputusan mereka untuk berkahwin disebabkan perbezaan umur.

“Keluarga saya berasa dia (suami) terlalu muda dan keluarga suami pula melihat ada jurang umur ketara antara kami namun persepsi itu hanya ada pada peringkat awal saja.

“Melihat kesungguhan kami, keluarga beri lampu hijau untuk teruskan hubungan malah saya jadi lebih yakin kerana anak-anak juga menerimanya. Kiranya, semuanya dipermudahkan buat kami,” katanya.

Ads

Nurhanis mengakui bukan mudah untuknya membuat keputusan untuk berkahwin lagi selepas sekian lama bergelar ibu tunggal.

“Bagi mendapatkan kepastian sama ada pilihan dibuat betul atau tidak, saya lakukan solat hajat dan istikharah.

“Daripada situ, Allah beri keyakinan untuk buat keputusan dan saya sebenarnya tertarik dengan suami kerana dia seorang yang sederhana, rendah diri dan matang walaupun masih muda.

“Dia juga tidak nampak mahu mengambil kesempatan kerana sudah berkerjaya, menenangkan dan faham misi perkahwinan saya,” katanya.

Syukur Pekahwinan DiRestui

Sementara itu, Muhammad Hazim bersyukur kerana perkahwinannya dengan Nurhanis direstui keluarga kedua belah pihak.

“Saya sayangkan isteri jadi umur bukan persoalan kerana bagi saya, ia bukan penentu kebahagiaan seseorang.

“Apa yang penting, kami serasi dan keluarga restu. Ramadan tahun lalu, kami pernah berkhatam al-Quran bersama dan berharap dapat bersama-sama lakukan lebih banyak aktiviti yang menjurus ke arah kebaikan selepas ini,” katanya.

Ads

Mingguan Wanita : Semoga pasangan ini berbahagia hingga ke syurga. Insyallah.

Sumber : myMetro

Mingguan Wanita boleh diikuti di :

Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita

FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini: https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak

Website: https://www.mingguanwanita.my/

Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en

YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured

Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en

Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI