“Saya Sayang Awak Sampai Bila-Bila..” Luahan Sayu Suami, Isteri Meninggal Hari Kesebelas Berpantang

Share

Berdepan dengan kehilangan orang tersayang perit untuk diterima apatah lagi dengan sekelip mata.Kegembiraan sepasang suami isteri tidak berpanjangan selepas menerima kehadiran cahaya mata pada 28 Ogos lalu apabila isteri dikasihi meninggalkan, dia dan anak yang baru lahir itu, selepas 11 hari berpantang.

Perkongsian status Facebook Hamijan Mijan atas pemergian isterinya Siti NurHidayah Mohd Saad,23 membuatkan ramai yang bersimpati dan sedih dengan apa yang berlaku.

Malah, wanita itu juga dikatakan sempat memuat naik status terakhir di facebook sehari sebelum pemergiannya dengan tidak sabar mengajak suami untuk bercuti ke Cameron Highland setelah habis pantang pada hari ke-45. Namun impian itu tidak kesampaian akhirnya apabila dia dahulu dijemput Ilahi.

Kematian Mengejut

Hamijan jalaludin, 22, berkata, dia tidak menyangka isterinya pergi secara tiba-tiba kerana NurHidayah tidak menunjukkan sebarang tanda, bahkan, beberapa jam sebelum kejadian mereka masih sempat berbual seperti biasa.

“Lepas subuh, saya tidur sampai pukul 11, saya (hanya) tersedar apabila anak menangis. Saya bangun buatkan susu anak dan memanggil isteri tetapi tidak dia tidak menyahut. Jadi saya pergi dekat dan menarik selimut, dan melihat tangan arwah sudah kebiruan,” kata Hamijan.

Panik dengan keadaan isterinya yang sudah tidak sedarkan diri, dia terus memanggil ambulans dan membawa isterinya ke hospital.

“Namun sampai di hospital, isteri disahkan meninggal dunia,” kata Hamijan.

Terdapat Darah Beku

Menurut Hamijan, doktor mengesahkan terdapat darah beku di peranakan isterinya yang menjadi punca kepada kejadian tersebut, selain mengalami hipoglisemia (bacaan gula dalam darah rendah) kerana mengalami diabetes semasa mengandung.Bagaimanapun, keputusan penuh dari doktor masih belum diketahui.

Meskipun sedih, namun dia reda dengan pemergian isteri tercinta dan janjinya akan menjaga zuriat, tanda cinta mereka yang telah diberi nama Muhammad Hud Hayyan dengan baik.

“Saya akan menjaga, bayi kami, dengan bantuan keluarga,” katanya.

Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga ini, Semoga diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang ditakdirkan.

Sumber: Sinar Harian

Published by
Suhaidah Abd Wahab