Sempena dengan sambutan Hari Ibu yang berlangsung pada 12 Mei ini, sesuai sangatlah gandingan ibu dan anak ini, iaitu YM Raja Azura binti Tengku Ahmad Tajudin dan anak gadisnya Puteri Mikia Maizurah binti Adzmin Osman, sebagai penghias muka keluaran ini.
Sudah agak jarang kedengaran kisah Raja Azura atau lebih mesra dengan sapaan Kak Engku ini menghiasi media hiburan tanah air sebaik dia meninggalkan kerjayanya sebagai Penyampai radio Sinar pada tahun 2016. Namun di sebalik ‘sunyi sepi’ itu sebenarnya terlibat sebagai penyampai dalam program radio internet yang dikenali sebagai ENTRADTV.Com.
Perniagaan yang diusahakan bersama penyampai-penyampai lain seperti Adiel Ghaffar, Muzz Adam serta penampilan istimewa oleh Adilla Idris dan TNP ini dibuat untuk membantu usahawan-usahawan kecil dan juga para artis dalam bidang hiburan.
Peminat yang rindukan suara Kak Engku bolehlah mendengar radio internet itu bermula pada 1 April 2019. Radio internet itu beroperasi dari seksyen 13 Shah Alam, Selangor dan bersiaran setiap Isnin, Rabu dan Jumaat bermula dari jam 2 petang hingga 12 tengah hari.
Sebaik siap ditata rias, wajah ibu berusia 46 tahun dan anak daranya yang baru berusia 14 tahun ini agak mirip, keduanya sama cantik. Bahkan personaliti keduanya juga agak sama. Jika Kak Engku banyak cakap, begitu juga dengan anak gadisnya. Manakan tidak tumpah kuah kalau tidak ke atas nasi. Begitulah perumpamaan yang boleh diberikan kepada keduanya.
Kemesraan ibu dan anak ini juga memang tidak dapat dinafikan lagi. Wajah ibu kepada Megat Muhammad Raziq (17), Megat Luqman Hakim 16) dan Puteri Mikia Maizurah berseri apabila bercerita mengenai anak-anaknya.
“Ketiga-tiga anak saya mendapat tawaran belajar di sekolah berasrama. Dua anak lelaki saya bersekolah di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Selangor. Manakala satu-satunya anak perempuan saya di Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur.
“Mia (nama gelaran anak bongsunya) sebenarnya boleh masuk sekolah agama tetapi dia cenderung kepada seni walau pun daripada segi pelajaran agama dia lagi hebat daripada abang-abangnya. Dia mendapat mumtaz dan boleh masuk sekolah agama. Tetapi hendak buat macam mana, Mia minat pada seni. Jadi saya ikutkan sahaja.
“ Mia boleh bermain beberapa alat muzik. Sebagai ibu, saya ikut apa yang anak suka. Kalau dia tidak cenderung dalam bidang yang dia tidak suka takkanlah kita mahu memaksanya melakukan perkara tersebut.
“ Tetapi walaupun mereka tinggal di asrama, setiap minggu saya mesti pergi menjengok mereka. Tugas saya amat berat. Hari Sabtu tengok Mia. Hari Ahad tengok abang. Kadang-kadang hari Ahad tengok abang, hari Sabtu tengok Mia.
“ Bila tiba hari Jumaat, apabila tiba giliran mereka balik bermalam di rumah, saya akan ambil Mia terlebih dahulu. Selepas itu barulah saya ambil abang-abangnya. Saya perlu pandai mengatur masa bagi menguruskan anak-anak. Dan setiap minggu saya akan datang bawa makanan ke asrama mereka. Masa itulah kami akan berkelah bersama-sama,” cerita Kak Engku tentang tiga anak kesayangannya.
Walau jauh daripada anak-anak, namun sifat kasih sayang antara Raja Azura dan anak-anak tetap kuat. Walaupun kini anak-anak sudah besar, namun setiap kali menghantar anak-anak ke asrama sudah pasti dia akan cium dan peluk anak-anaknya.
Bagi anak yang meningkat dewasa sudah pasti akan malu apabila diperlakukan sedemikian. Namun bagi anak-anak Kak Engku, ini adalah perkara biasa dalam keluarga mereka.
Sejak dirinya tidak sibuk, Kak Engku punya banyak masa untuk anak-anak. Kini dia boleh bahagikan masa antara kerjaya dengan menguruskan anak-anak dengan lebih baik.
“Kerjaya dan keluarga adalah perkara penting dalam hidup saya. Saya tidak pernah fikir mengenai diri saya sendiri. Hanya fikir bagaimana untuk membesarkan anak-anak. Kekuatan saya adalah anak-anak saya.
“Saya perlu membesarkan anak-anak dengan baik agar mereka menjadi insan yang baik. Saya berharap dengan pendidikan dan kasih sayang yang saya berikan kepada mereka, kebaikan itu akan kembali semula kepada saya,” tambahnya.
Bercerita mengenai cara dia mendidik anak, Kak Engku menganggap anak-anaknya sebagai kawan. Setiap perkara mereka akan berkongsi cerita.
“Memiliki anak remaja ini, cuma yang susahnya adalah dari percakapan dan pergaulan. Saya terpaksa memantau mereka dari segi itu. Sebagai contoh, jika ada perkataan tidak sesuai yang anak saya cakap, saya beritahunya agar tidak menyebutnya lagi.
“ Anak remaja sekarang ini berbeza sangat cara percakapannya. Kalau pada zaman saya remaja dahulu, kalau kita cakap tidak elok sudah pasti mak ayah akan cubit dan dan cili mulut.
“ Saya beritahu mereka agar bercakap dengan baik di hadapan orang tua. Percakapan yang dibuat dengan kawan-kawan itu tidak sama dengan percakapan di hadapan orang-orang yang lebih tua daripada mereka.
“ Dari segi sudut itu sahaja saya sering memberi peringatan pada anak-anak. Dari segi lain, saya bersyukur anak-anak saya ini sering mendengar kata. Apa sahaja yang mereka mahu buat, mereka kena dengar arahan saya.
“ Jika saya kata Ok baru Ok. Kalau saya kata No, itu sememangnya No. Walau mereka mahu pergi ke kedai di hadapan rumah, mereka akan tanya saya terlebih dahulu. Kalau saya tidak beri mereka keluar, mereka tidak akan keluar,” tambah Kak Engku.
“Pada bulan Ramadan saya akan masak. Walaupun rumah saya terletak berhampiran bazar Ramadan, saya tidak akan beli makanan di sana. Biasanya ketika berbuka puasa kami tidak makan nasi.
“ Saya akan masak apa sahaja makanan yang anak suka. Saya hanya masak makanan berat ketika waktu sahur. Cuma pada tahun ini, rumah saya agak sunyi sedikit kerana anak-anak tinggal di asrama.
“ Ketika Ramadan, saya dan keluarga akan buat aktiviti yang akan mengeratkan aktiviti keluarga. Biasanya saya akan tengok dahulu jadual persekolahan anak-anak. Bila waktu cuti barulah aktiviti ini akan diadakan.
“ Apabila semua ada di rumah, kami akan solat terawih bersama-sama. Emak dan keluarga abang saya juga akan turut sama melakukan solat terawih tersebut. Aktiviti itu biasanya dibuat di rumah saya. Insyaallah ini adalah tahun ketiga kami melakukan aktiviti ini,” cerita Kak Engku,
Kak Engku bersyukur kerana mempunyai anak-anak yang tidak memilih makan. Apa sahaja yang dimasaknya sudah pasti akan dimakan oleh mereka.
“Tetapi lauk yang paling mereka suka antaranya adalah ayam masak kicap, kari ikan dan ayam goreng berempah. Bagi saya penting masakan air tangan ibu dalam membesarkan anak-anak.
“ Ketika memasak juga saya ikut petua orang tua-tua dengan membaca selawat sebanyak tiga kali. Apabila basuh beras saya selalu berdoa mudah-mudahan rezeki yang kita beri menjadi darah daging anak-anak dan diharapkan anak-anak menjadi anak yang soleh, anak-anak juga selalu akan ingat kita.
“ Tetapi saya tidak tahulah apa yang orang sekarang buat atau tidak. Saya ini hidup dengan emak. Saya cakap terus-terang. Nama sahaja saya ini artis tetapi saya tidak ada kawan rapat artis. Hidup saya di dalam rumah sahaja. Habis kerja saya akan balik ke rumah. Kawan saya adalah anak-anak, sepupu saya dan emak dan bapa saya,” luahnya.
Kepetahan Raja Azura berbicara dan mengacarakan sesuatu program yang muncul di kaca televisyen dan radio sudah pasti menghiburkan. Melihatkan cara pembawaan dirinya itu sudah pasti ada yang beranggapan itulah perangai sebenar dirinya.
Ternyata apa yang dianggap oleh masyarakat tidak sama seperti apa yang dilalui dalam kehidupan sebenar selebriti ini. Di luar dia adalah selebriti tetapi di rumah dia adalah seorang ibu.
Menurut Puteri Mikia Maizurah atau lebih mesra dengan sapaan Mia, ibunya seorang yang tegas.
“Saya beri amaran. Kepada sesiapa yang dekat dengan mama, jangan buat hal. Sebagai seorang ibu, mama selalu mengingatkan kami agar melakukan kerja rumah dengan baik. Baju kena basuh, rumah kena kemas sebab mama jenis orang yang pembersih. Dia juga sangat cerewet. Tetapi cerewetnya untuk kebaikan. Dia juga sangat garang.
“ Mama sebagai selebriti dan mama sebagai ibu. Tidak ada bezanya. Mama memang banyak bercakap. Mama agak tegas dalam hal berkaitan pendidikan kami. Dia akan marah dan tidak puas hati kalau kami tidak dapat markah yang bagus dalam ujian,” ujar dara jelita ini bila ditanya tentang mama kesayangannya.
Berkaitan dengan keputusan dirinya untuk belajar di sekolah seni, remaja berusia 14 tahun ini berkata semua itu atas kehendaknya sendiri.
“Memang itu keputusan saya. Mia mahu jadi macam mama. Perkara pertama yang Mia akan buat setelah besar adalah untuk sambung legasi mama. Kalau boleh Mia mahu jadi pelakon dan model.
“ Mama juga banyak mengajar Mia lebih kepada berlakon teater. Mama berpesan kalau Mia masuk bidang seni adalah jangan ‘over’ dan jaga adab,” katanya.
Baca Disini: Anak-Anak Kekuatan Terbesar Raja Azura, Jaga Mereka Ibarat Menanam Pokok!
********
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh pasangan anak beranak ini. Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita edisi Mei, Volume 1 dan jangan lupa dapatkan majalah kesayangan ramai ini yang kini telah berada di pasaran!
Foto: Nurul Niza Suhaimi
Solekan dan rias rambut Raja Azura: Ary Muzamer
Solekan Mia: Kelrina
Rias Rambut Mia: Nora Abieyd
Busana (baju warna pink) : Liza Azulkarnain /@lizaazulkarnain
Busana (baju warna oren dan hijau): Syafieq Ayman /@syafieq_ayman
Aksesori: Swarozski