Kehilangan anak dan isteri dalam masa terdekat, satu berita yang perit untuk diterima penjaga gol skuad Negeri Sembilan, Mohd Kaharuddin Abdul Rahman. Tika ini, tentulah memori bersama arwah menemani dalam setiap langkah dan doa suami ini.
Begitu pun hati manusia, tetap rapuh untuk menerima ujian kehilangan dariNya. Redha itu pasti, kerana itulah sandaran kekuatan hati.
Sebagaimana yang dikongsikan Mohd Kaharuddin beliau meluahkan perasaan sebak selepas isterinya, meninggal dunia dua hari yang lalu selepas melahirkan anak mereka.
Sebelum pemergian arwah isterinya, suami ini baru saja kehilangan anaknya yang baru dilahirkan akibat komplikasi ketika dilahirkan.
Di laman instagram milik Mohd Kaharuddin, beliau meluahkan perasaan rindu yang tak berpenghujung kepada dua insan kesayangannya.
“Saya reda.. Yang penting awak bahagia bersama Sumayyah.”
“Rindu! Pejam mata nampak awak, bukak mata nampak awak. Tengok anak nampak awak. Makan nampak awak.”
“Rindu yang tiada penghujungnya.. Subhanallah. Di saat anak baru lelapkan mata. Di saat itulah terlalu rindukanmu sayang. Saya reda yang penting awak bahagia kat sana bersama anak kita Sumayyah. Saya harap suatu hari nanti awak pula menjemput saya bersama-sama
.”
Dalam mengenang pemergian isteri beliau turut meluahkan perasaan ini. “Awak isteri dan ummi yang hebat!”
Sebagai seorang suami yang menerima takdir dirinya, Mohd Kaharuddin bersyukur kerana dikelilingi insan-insan yang tak putus menasihati dan mendoakannya.
“Terima kasih semua yang memberi nasihat dan doa untuk keluarga kecik saya. Saya tak mampu balasnya. Semoga Allah balas semuanya. Amin.”
Dalam pada itu, Persatuan Pemain-pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFA Malaysia) memuat naik ucapan takziah kepada Mohd Kaharuddin dalam laman sosial mereka.
“Kami di PFAM amat bersedih dengan dugaan yang dilalui oleh beliau dan mendoakan agar saudara Mohd Kaharuddin tabah dengan dugaan dan ketentuan Allah ini. Marilah kita sama-sama memanjatkan doa kepada Allah agar arwah anak dan isteri beliau diberikan rahmat Allah.”
Sumber/Foto : Sinar Harian, twitter PFA Malaysia