“Saya Rasa Ibu Tunggal Di Luar Sana Pun Merasa Benda Yang Sama..,” Rita Rudaini

Share

Sempena Hari Bapa Seluruh Dunia yang disambut pada 16 Jun, semalam, ramai yang meluahkan penghargaan buat ayah mahupun suami masing-masing. Ia sebagai tanda menghargai pengorbanan insan yang berkerja keras dalam memastikan keperluan keluarga serba sempurna.

Namun demikian, bagi wanita yang bergelar ibu tunggal, tanggunggjawab menjaga anak-anaknya sepenuhnya tergalas di bahu mereka. Dia lah ibu dan dialah ayah. Lebih malang, jika nasib dikurniakan bekas suami yang tak ambil kisah tentang nafkah dan abaikan urusan anak-anaknya selepas berlakunya perceraian.

Semalam, pelakon Rita Rudaini,43 ada memuat naik posting di instagram meluahkan perasaan bergelar ibu dan ayah dan membesarkan anak-anaknya, Airit Rayyan Rizqin,9 dan Airit Qaqa Arjuna,8.

Menurut Rita, dirinya ‘bertuah’ terpilih memikul tanggungjawab membesarkan anak-anaknya sendirian tanpa bantuan sesiapa. Dirinya sanggup bersusah payah, asalkan anak-anaknya bahagia dan gembira.

Berikut perkongsian tersebut;

“Rasa bertuah dipilih untuk besarkan anak-anak sorang-sorang tanpa bantuan sesiapa…ada yang bercerai tapi anak-anak masih di biaya bapa, duit sekolah, perayaan, tempat perlindungan dan segala perbelanjaan sehingga dewasa, beruntungnya mereka alhamdulillah…tapi saya sebaliknya…tanggungan penuh atas bahu saya dari mereka kecil sampai sekarang”

“Saya bersyukur sebab DI PILIH jadi begini…ini bahagian saya. Ini anak-anak kandung darah daging saya. Mana mungkin saya berkira kira. Susah senang yang saya tanggung saya percaya akan ada kejayaan dan manis menunggu di depan”

“Biar lah kami tak mewah tapi hati kami bahagia…saya tak rasa susah mencari rezeki sorang-sorang ..penat? Ye itu biasa…tapi bila dapat menyuap rezeki yang saya cari ke mulut anak-anak, saya bahagia, hilang penat lelah..”

“Saya rasa ibu tunggal di luar sana pun merasa benda yang sama macam saya.. ada rezeki besar ada rezeki kecik tapi itu tak menjadi masalah asalkan anak-anak besar dengan gembira “

“Saya seorang ibu yang sanggup ikat perut demi anak-anak saya. Ketepikan baju raya, keperluan saya. Jodoh? Jauh sekali untuk saya fikir..semuanya demi anak-anak kerana bahagian saya dah lepas…masa depan untuk diri saya dah lepas dan masa depan saya cuma mereka,RYAN dan ARJUNA…SELAMAT HARI BAPA UNTUK IBU-IBU TUNGGAL.

MW: Bukan mudah bergelar ibu tunggal, membesarkan anak-anaknya sendirian. Wanita yang bergelar ibu tunggal, sememangnya insan yang hebat, sanggup mengenepikan kebahagiaan sendiri demi kegembiraan anak-anak.

Published by
Suhaidah Abd Wahab