“Saya Nampak Separuh Badan Wanita, Tangan & Kaki Tertimbus Dalam Runtuhan”

Share

“Saya Nampak Separuh Badan Wanita, Tangan & Kaki Tertimbus Dalam Runtuhan” Cukup menyayat hati dan pastinya trauma buat mangsa yang terlibat dalam insiden tragedi tanah runtuh di Batang Kali awal pagi tadi.

“Saya terdengar jeritan meminta tolong sebelum ternampak ada separuh badan yang hanya nampak tangan dan kaki tertimbus dalam runtuhan tanah.

“Saya dan rakan terus menggali tanah itu dengan tangan kami untuk membantu wanita dan anaknya,” kata Chong, 28.

Chong adalah mangsa yang terselamat dalam runtuhan tanah di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di sini, hari ini.

Perkhemahan Bahagian Zon A

Lelaki dari Melaka itu berkata, runtuhan tanah berlaku di tapak perkhemahan bahagian zon A dengan hampir keseluruhan kawasan itu musnah.

Menurutnya, dia bersama 18 ahli keluarga dan rakan berkhemah di zon B yang tidak terjejas teruk dan semua kumpulannya selamat.

Katanya, sebelum itu mereka terdengar bunyi dentuman kuat sebelum runtuhan tanah merosakkan khemahnya.

“Kami keluar menyelamatkan diri dan tiba-tiba saya terdengar jeritan wanita meminta tolong dan ternampak ada separuh badan wanita tertimbus.

“Tanpa berlengah saya dan seorang lagi rakan lelaki terus menggali tanah dengan tangan selama 10 hingga 15 minit sebelum mangsa dan anak perempuannya diselamatkan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Hulu Yam Bharu di sini, hari ini.

Dua Beranak Dapat Diselamatkan

Menurutnya, dia tidak mengenali mangsa terbabit, namun bersyukur dua beranak itu dapat diselamatkan.

“Tapak perkhemahan itu memang cantik tetapi runtuhan itu menyebabkan semua kawasan sudah menjadi seperti rata.

“Saya tak pasti berapa ramai mangsa terbabit dalam kejadian itu tetapi percaya masih ada lagi di bawah (tertimbus),”

katanya.

Dengan Dentuman Kilat

Mengimbas detik kejadian itu, Chong berkata, kejadian berlaku pada 2 pagi dan ketika itu mereka sedang tidur di khemah masing-masing.

“Ketika tanah runtuh saya terdengar seperti dentuman kilat dan runtuhan tanah dirasai berada di kepala. Kami kemudiannya terus keluar untuk selamatkan diri. Malam tadi hujan cuma renyai.

“Saya bersyukur kumpulan kami semua selamat cuma khemah saya saja koyak dalam kejadian itu. Kami datang ke tapak perkhemahan itu sejak kelmarin dan sepatutnya pulang hari ini,” katanya.

Sementara itu, Teh Lynn Xuan, 22, berkata, ketika kejadian dia hanya tidur-tidur ayam saja dan terdengar bunyi kuat seperti batu berguling serta air menitis di luar khemahnya.

Katanya, dia juga berkhemah di bahagian zon B dan datang ke tapak itu untuk bercuti bersama 20 lagi keluarganya dari Melaka.

“Kejadian itu menyebabkan khemah tertolak hingga kaki kami naik ke atas ketika tidur dan ia berlaku sangat cepat,” katanya sambil memberitahu kumpulannya juga semua selamat.

Turut dilaporkan juga lebih 20 guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong dan ahli keluarga mereka, disahkan antara ratusan mangsa tanah runtuh perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik, Father’s Organic Farm, di Gohtong Jaya, awal pagi tadi.

Mingguan Wanita: Semoga dipermudahkan segala urusan pasukan penyelamat dalam menyelamatkan mangsa yang terlibat.

Sumber: Bharian, Hmetro

Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab