Isu berhijab kembali hangat diperkatakan apabila seorang pelakon dan usahawan tampil tidak berhijab baru-baru ini. Perkara tersebut mendapat liputan meluas dan ramai memberikan pandangan masing-masing mengenai perkara tersebut.
Namun bagi pelakon Aprena Manrose, dia mengakui hatinya pernah berbolak-balik untuk kembali tidak berhijab selepas mengambil keputusan menutup aurat sekitar dua tahun lalu.
Aprena atau nama lengkapnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 30, berkata, lumrah sebagai manusia biasa apabila iman mereka diuji sebegitu, lebih-lebih lagi ketika berusaha untuk istiqamah ke arah kebaikan.
“Tapi dengan doa yang membuatkan saya terus kuat. Saya nak cakap lebih-lebih pun tak boleh sebab isu menutup aurat ini adalah perkara sensitif,” katanya kepada Mingguan Wanita baru-baru ini.
Ujar anak kepada bekas penyanyi dangdut, Iwan Syahman itu lagi, individu sekeliling juga menjadi faktor yang mempengaruhi tahap keimanan seseorang untuk kekal istiqamah. Meskipun mempunyai figura seorang bapa yang mendalami bidang agama, Aprena pernah berkongsi perasaan dengan bapanya mengenai perkara mengenai hijab ini.
“Papa kalau tiba-tiba Aprena rasa nak bukak tudung boleh tak?. Hanya satu jawapan papa yang melekat di hati saya iaitu “Kalau you sempat bertaubat Alhamdulillah, kalau tidak… Tapi dia sentiasa memberi nasihat dan setiap kali berjumpa, saya sentiasa meminta papa mendoakan saya,” ujar Aprena ketika ditemui Mingguan Wanita.
Aprena yang ditemui di majlis memperkenalkan pelakon Wanna Ali sebagai duta produk Millefelur di Hotel Royale Chulan, Damansara semalam turut berpendapat doa daripada ahli keluarga terutama suaminya, sebagai ‘perisai’ untuk dirinya kekal istikamah untuk menutup aurat.
“Selain tuntutan agama, salah satu sebab saya masih kuat (istikamah) adalah kerana suami, Mohd. Afiq Hazman. Insya-Allah dengan berkat doa daripada keluarga, bapa dan juga suamu, itu yang membuatkan saya kuat. Bagaimanapun, saya tidak tahu ke depannya nanti bagaimana. Kalau satu hari nanti nampak saya tidak lagi berhijab, maka saya tidak lagi bertudung.
Kata Aprena lagi, dia tidak menganggap berhijab menjadi punca rezekinya dalam bidang lakonan berkurangan, cuma dia berpendapat wataknya mungkin agak terbatas selepas menutup aurat.
“Dalam dunia lakonan, sebelum saya berhijab, watak yang ditawarkan kepada saya lebih banyak dan luas. Tapi bila dan mula menutup aurat, produksi mungkin hormat dengan penampilan kita.
“Jadi tawaran berlakon itu menjadi kurang. Tapi itu bukanlah masalahnya. Rezeki saya tetap ada. Lagi pun saya tidak terfikir pun memakai hijab menjadi punca rezeki saya disekat,” katanya.
Terdahulu, Aprena yang juga adik kepada pelakon Oktovia Manrose itu mula berjinak-jinak untuk berhijab sejak Ramadan 2021, sebelum mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya tidak lama kemudian.