“Saya Lagi Suka Bekas Suami Terus Jadi Jutawan”, Watie Jawab Tuduhan Lesen DDNK Digantung SC

Share

Saya lagi suka bekas suami terus jadi jutawan, Watie jawab tuduhan lesen DDNK digantung SC. Pasti ramai yang ingin tahu adakah benar tuduhan mengatakan Hasmawatie adalah individu yang melaporkan kepada Suruhanhaya Sekuriti Malaysia hingga lesen bekas suaminya, Datuk Dr Nazri Khan digantung selama enam bulan bermula 6 Oktober lalu.

Ini kerana dalam satu kenyataan rasmi dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), pihak SC telah menggantung Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal milik Pengarah Eksekutif dan Pengurus Dana Inter-Pacific Asset Management Sdn. Bhd. (IPAM) berkuat kuasa sejak 6 Oktober lalu.

Pihak pengurusan IPAM berkata, mereka sedang membuat rayuan susulan penggantungan itu selain menegaskan penggantungan adalah disebabkan pelanggaran pentadbiran dan bukannya bukan mengenai pengurusan dana.

“Saya Lagi Suka Bekas Suami Terus Jadi Jutawan”

Tiada angin tiada ribut, nama bekas isterinya dikaitkan dengan pelaporan tersebut kerana mahu membalas dendam. Namun itu semua adalah andaian netizen yang jelas sama sekali salah.

Dalam satu temubual eksklusif, Hasmawatie dalam program SEMBANG WANITA di platform digital Mingguan Wanita, Hasmatie menjawab semua pertuduhan tersebut dengan hati yang cukup lapang dan tenang. Jelas ternyata dirinya amat bijak kerana kematangannya bahkan semasa temubual ini, tiada satu pun kesilapan bekas suami disebut.

Menurutnya, secara jujurnya dia lebih senang kalau bekas suaminya terus bergelar jutawan kerana ada banyak lagi tuntutan boleh dibuat selepas perceraian mereka.

“Kalau bekas suami susah, keperluan anak tunggal kami, Haykal juga akan turut berubah. Dari kecil dirinya sudah biasa memiliki segala-galanya. Malah bersekolah di sekolah antarabangsa.

“Jadi saya memang terus mendoakan bekas suami bergelar jutawan dan tiada sebab untuk saya melaporkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sampai lesennya digantung. Untuk apa menyusahkannya kerana kalau dia senang, kehidupan anak kami akan kekal dengan apa dikecapinya sebelum ini. Dan banyak yang boleh saya buat tuntutan tanpa mengurangi keperluan Haykal sebelum ini.

“Saya tak pernah makan hati dengan tuduhan netizen mengatakan saya yang buat laporan kerana saya tahu saya tak buat. Jadi kenapa saya nak terasa dengannya kerana saya tak buat.

Tambah Watie yang memiliki ijazah sarjana dari UKM, bila perceraian terjadi antara dirinya dan bekas suami, dirinya terpaksa tinggalkan segala-galanya termasuk rumah baru yang tak sempat diduduki pun.

“Kami berpindah ke Jitra kerana mahu dekat dengan keluarga agar anak tak rasa keseorangan. Kena sewa rumah lain buat masa ini kerana saya nak Haykal rasa selesa dan tiada apa yang kurang dirasainya. Pernah anak tanya, adakah dia akan dapat meja komputernya masa berpindah ke utara dan saya katakan ya. Masa yang sama saya perlu menghantarnya bersekolah di Sungai Petani kerana pilihan sekolah antarabangsa juga tidak banyak.

“Saya perlu berulang alik dari Jitra ke Sungai Petani setiap hari. Lepas hantar Haykal, saya perlu balik ke Jitra dan petang ambil dirinya semula. Jarak memang jauh, dalam sejam lamanya tapi asal anak selesa dan bahagia, saya kuat deminya.

Masa yang sama, Watie mengakui dirinya masih bergelar pengarah dan pemegang saham yang besar dalam syarikat diusahakan bersama bekas suami yang mengadakan kelas Menang Saham yang terkenal di kalangan mereka yang ingin belajar tentang saham.

Sudah lama move on dari hidup DDNK dan juga seorang yang manja tapi versi dirinya

Mengakui dirinya sudah move on dalam kehidupan bekas suami yang sudah pun berkahwin lain, jelas Watie apa yang dilakukan pada hari ini dan masa depan adalah menuntut HAK diwajar diperolehnya pada hari ini selepas lebih 20 tahun mendirikan rumahtangga.

BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Hanya Mampu Beri RM5000 Untuk 2 Bulan Sedangkan Jutawan, Bekas Isteri DDNK Bertanya Wajarkah?


“Doakan Rezeki Haykal”, Bekas Isteri DDNK Pohon Doa Semua Untuk Sebutan Tuntutan Nafkah Anak

Menjelaskan isu nafkah RM2500 yang sebelum ini pernah menjadi perdebatan di kalangan netizen, kata Watie, kelas tuisyen anaknya saja mencecah RM4000 sebulan.

“Jadi boleh fahamlah sama ada cukup atau tak dengan jumlah itu. Sekolah saja satu semester mencecah belas ribu, belum lagi keperluan lain. Ada yang kata kenapa saya tak boleh downgrade kehidupan saya selepas berpisah. RM2500 tu cukup kata mereka. Ingin saya katakan di sini, kalau yang berpisah itu saya dan bekas suami dan anak tak patut menjadi “mangsa” dalam isu ini kerana mereka ada hak. Sebab dalam islam semua hak-hak ini boleh dibuat melalui tuntutan di mahkamah.

“Islam menjaga sebaik-baiknya dari berumahtangga sampailah ke perceraian. Ramai juga kata tuntut saja nanti di akhirat tapi kehidupan dunia tak sama akhirat. Kita ada undang-undang dan ibu berhak melakukan untuk anak-anak yang mungkin belum mengerti keadaan terjadi antara ibu dan ayahnya. Kalau apa pun saya buat, saya akan berbincang dengan peguam kerana saya tak mahu ada salah faham di sini. Lepas pertanyaan itu ditanya oleh saya di fb tentang nafkah RM2500 itu, bekas suami ada masukkan RM5000 lagi. Buat masa ini apa-apa nafkah termasuk eddah belum saya terima (ketika artikel ditulis), jelasnya.

Ditebak tentang kenangan lama, jelas Watie, dia mengenali bekas suami ketika di tahun dua pengajian dan sudah tertulis jodohnya berkahwin di usia muda. Hal ini menurutnya adalah biasa dalam keluarganya kerana abang dan ayahnya yang juga bekas pendaftar universiti juga berkahwin di usia muda.

“Datuk Nazri ketika itu merupakan tutor saya dan kami bertemu jodoh ketika saya di tahun dua pengajian.

Ditanya tentang karektor dirinya, jelas Watie dia sudah terbiasa berdikari termasuk boleh membayar bil sendiri. Jika ke mana-mana dirinya lebih suka memandu tanpa mengharapkan pemandu walau mampu membayarnya.

“Saya senang dengan cara ini. Saya juga manja orangnya tapi manja dengan versi saya. Sebabnya saya sudah terbiasa berdikari dalam hidup. Buat masa ini saya tidak ke pejabat kerana saya bercadang untuk melepaskan pegangan saham saya di syarikat kami tubuhkan dulu kerana ada perancangan sendiri di masa depan.

Jelasnya, buat masa ini dia akan kekal di utara sebelum mungkin akan berpindah semula ke Kuala Lumpur namun ia akan mengambil masa kerana dirinya sedang merancang untuk membantu lebih ramai wanita di masa akan datang.

Mengakui perpisahan itu perit kerana dirinya sama sekali tidak menyangka begini pengakhiran kehidupan rumahtangganya dan dia hanya menyerahkan segalanya pada yang Maha Esa.

“Saya kena kuat di hadapan anak saya. Saya banyak mengadu pada Allah dan saya bersungguh-sungguh mengadu padaNya. Anak pun selalu tanya saya okay tak dan saya cakap saya okay. Sebab itu, saya sudah move on dan kekal bertenang sekarang. Tak saya nafikan ada dah lelaki yang datang dekat tapi buat masa ini semua itu tidak dalam kamus hidup saya. Saya sangat berhati-hati kerana bukan mudah melalui semuanya,” katanya mengakhiri perbualan.

Apa yang boleh kami putuskan semasa temubual ini, Watie seorang yang sangat bijak. Jawapannya sangat teratur, kekal tenang, dirinya tahu apa yang dikatakannya bahkan paling penting dirinya nampak muda dari usia iaitu 43 tahun. Masih kekal cantik. Tiada apa kekurangan namun jodohnya sudah tertulis tentang rumahtangganya.

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Saksikan pengakuan Watie isu panas ini. Video part 1

Published by
almaswa Haji Che Ros