Sisi baru Sherry Alhadad dalam mingguan wanita Talkshow

Foto: Ig sherry_alhadad

Wow! Penampilannya yang semakin langsing menuai pujian ramai. Ketika ditemui di majlis pengumuman barisan selebriti sebagai hos Mingguan Wanita Talkshow musim kedua, dia sempat diajukan soalan tentang penampilannya yang semakin cantik dan langsing.

Kata Sherry Alhadad, apa yang dilakukan adalah untuk kesihatan dirinya sendiri dan bukan semata-mata untuk cantik.

“Saya mula terdetik dalam hati untuk pergi ke gim pada tahun lepas. Sejujurnya perkara paling sukar dalam hidup saya adalah proses menguruskan badan. Semua orang sedia maklum saya memang berbadan besar sejak kecil lagi. Dulu saya ok bila tengok diri sendiri dalam cermin. Saya tak pernah pun rasa rendah diri, nak mengata diri sendiri dan tak pernah saya persoalkan kenapa saya gemuk dan sebagainya.

“Tapi bila dah meningkat usia ni, saya rasa nak buat sesuatu dalam hidup saya. Kalau pergi buat pemeriksaan Alhamdulillah saya bebas daripada penyakit, tapi doktor selalu nasihatkan saya untuk kurangkan makanan yang bergula, berlemak, lebihkan protein kerana orang yang berbadan besar seperti saya berpotensi dan mudah untuk mendapat penyakit. Jadi saya cuba untuk menurunkan berat badan untuk kesihatan. Saya pula memang jenis yang suka mencuba, jadi tahun lepas saya cakap pada diri saya apa kata saya cuba turunkan berat badan untuk kehidupan yang lebih sihat.

“Ada yang beranggapan saya kurus untuk cantik, saya cukup pantang bila orang melabelkan saya sedemikian rupa. Bagi saya cantik tu sangat subjektif, tak boleh nak cakap orang kurus tu cantik dan orang gemuk tu sebaliknya. Memang betul kurus itu nampak lebih sihat, tapi bagi saya kesihatan itu yang paling penting. Untuk saya sendiri kalau ia boleh bawa kebaikan dan kehidupan yang lebih sihat dan baik, saya akan buat. Jadi jangan lagi guna kenyataan kurus itu untuk cantik kerana bagi saya secara peribadi ia salah sama sekali,” ujar Sherry yang mempunyai jurulatih peribadi dan pergi ke gim tiga kali seminggu untuk bersenam.

IKLAN

Dalam Mingguan Wanita Talkshow, Sherry bakal mengendalikan segmen berkaitan topik kisah masyarakat dan gaya hidup serta akan digandingkan bersama pelakon berbakat besar, Siti Elizad.

“Saya Kuruskan Badan Sebab Nak Sihat” – Sherry Alhadad

Cabaran Berbeza

Bila ditanya, apakah yang mendorongnya menerima tawaran mengendalikan program bual bicara Mingguan Wanita yang lebih berinformatif ini, dia ada jawapan tersendiri.

Menurut selebriti berbakat besar ini, peluang mengelolakan Mingguan Wanita Talkshow merupakan satu cabaran baru buat dirinya.

IKLAN

” Selama ini saya banyak mengacarakan program-program berbentuk hiburan, jadi sudah pasti lain cabarannya apabila mengelolakan bual bicara yang penuh informasi ini. Saya juga ingin ‘mencari’ sisi lain dalam diri saya.

“ Sebelum ini, seperti yang diketahui umum, saya banyak mengendalikan program berbentuk komedi dan hiburan, manakala Mingguan Wanita Talkshow pula berbeza konsepnya dan saya sahut cabaran ini untuk mencuba sesuatu yang baru.

” Tapi dalam masa yang sama, saya masih mengekalkan gaya dan identiti diri saya sendiri,” ujar Sherry yang ditemui di majlis pengumuman pengacara Mingguan Wanita Talkshow baru-baru ini.

IKLAN

Gandingan

Tambah Sherry yang sentiasa tampil ceria ini lagi, di dalam Mingguan Wanita Talkshow, dia bakal mengendalikan segmen berkaitan topik kisah masyarakat dan gaya hidup dan akan digandingkan bersama pelakon berbakat besar, Siti Elizad.

Selain itu, selebriti popular tanah air lain yang dipertanggungjawab mengendalikan Mingguan Wanita selaku hos bersama ialah Erra Fazira, Norman Hakim dan Radin Amir. Manakala tiga pakar lain turut mengendalikan segmen masing-masing iaitu Datuk Fadzilah Kamsah, Prof. Dr. Muhaya dan Imam Muda Asyraf.

“Saya Kuruskan Badan Sebab Nak Sihat” – Sherry Alhadad

Segmen

Kesemua mereka bakal membincangkan topik-topik berkaitan segmen-segmen yang telah diaturkan mengikut hari iaitu Kesihatan dan Kecantikan(Isnin), Makanan dan Travelog (Selasa), Kisah Masyarakat dan Gaya Hidup (Rabu), Cerita dalam Kain (Khamis), Motivasi, Inspirasi dan Kerohanian (Jumaat).

Mingguan Wanita Talkshow ini yang berdurasi 60 minit bakal bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 11 pagi hingga 12 tengah hari, bermula 8 Julai depan di saluran Astro Prima 105 dan Prima HD 121.

Bagi peminat Sherry Alhadad khasnya, pastinya tak sabar untuk melihat kemunculan Sherry di dalam program Mingguan Wanita Talkshow nanti, menerusi segmen Kisah Masyarakat dan Gaya Hidup, yang sarat emosi.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI