Pejam celik, kempen raya 2024 kini muncul kembali. Jika dilihat tahun lalu, jenama Bulan Bintang menggunakan khidmat dron atau gimik gempak menghiasi kempen raya yang menelan belanja mencecah RM8 juta, namun kini semuanya ‘dihabiskan’ kembali kepada pembeli.
Memperuntukkan RM11 juta untuk kempen The Terrrrpaling Raya Bulan Bintang 2024, Azzim Zahid Azmi, meletakkan tahun 2024 sebagai tahun untuk membalas jasa pelanggan setia yang tidak jemu memberikan sokongan kepada jenamanya sejak sembilan tahun lalu.
“Dan setiap pembeli berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai RM3.2 juta di mana terdapat banyak hadiah menarik antaranya dua buah kereta, motosikal, Iphone, pakej umrah dan percutian,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media Bulan Bintang The Terrrrpaling Raya Fashion Show 2024 yang diadakan di Sentul Depot, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu.
Berkongsi perkembangan mengenai Bulan Bintang, Azzim mengakui terdapat kelemahan dari segi produksi tahun lalu dan mengambil tindakan proaktif dengan menukar kilang dan melakukan secara ‘overhaul’ keseluruhan bagi memberikan kualiti terbaik pada tahun ini.
“Saya akui tahun lalu kami terima pelbagai respon negatif daripada pembeli dan secara jujurnya ia memberi kesan yang sangat mendalam kepada jenama dan diri saya sendiri. Saya jadi anxiety dan takut nak membaca mesej yang masuk, sehingga hari ini saya masih trauma.
“Namun saya memandangnya pada sudut yang positif dan hikmahnya Bulan Bintang lebih perketatkan isu kualiti pada baju dan ia terbukti.
“Saya tak mahu menjadi jenama syok sendiri dan baju Bulan Bintang dihantar ke makmal untuk menjalani Fabric Lab Test Report dan hasilnya kami mendapat pengiktirafan A. Fabrik berangin, tidak panas dan tiada lagi masalah benang tetas atau berbulu. Kami mahu menjadi pelopor kepada jenama muslim kontemporari dengan memperkenalkan pesak flexi.
“Malah untuk menjadi yang terbaik, ia bukan sekadar produk yang berkualiti, malah kami pertingkatkan lagi mutu khidmat pelanggan di mana kami bersedia 24 jam setiap hari. Call sahaja jika ada sebarang masalah dengan baju,” tambahnya yang memastikan kualiti produk yang lebih baik bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Selain itu, enam selebriti popular telah dilantik sebagai duta Bulan Bintang 2024 di mana, Remy Ishak terpilih sebagai duta utama Bulan Bintang diikuti Shukri Yahaya, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Hannah Delisha dan Daiyan Trisha.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.