Nama Intan Noor Balqis binti Mohd Fauzi tidak semena-mena menjadi bualan ramai apabila kemalangan yang menimpanya ketika mahu pergi ke tempat kerja tersebar di laman web dan media sosial pada 29 Disember 2019.
Taip sahaja carian, Gadis koma setelah ‘melayang’ dari fly over di Bangsar. Sudah pasti kisah ngeri yang berlaku pada pukul 3.30 petang Ahad itu boleh dibaca. Melihatkan gambar-gambar kemalangan yang tersebar di internet itu juga sudah pasti ramai yang akan sangka Intan Noor Balqis sudah tidak ada di dunia ini.
Namun nyawanya panjang. Setelah koma selama 5 hari, gadis berusia 21 tahun telah membuka mata. Kini setelah hampir tiga bulan kejadian berlaku, Intan Noor Balqis sudi berkongsi cerita mengenai tragedi ngeri yang menimpanya.
Ketika ditemuramah, Intan Noor Balqis baru dua minggu keluar dari hospital. Kini dia berada di Kelantan. Dia terpaksa meninggalkan ibukota Kuala Lumpur kerana ibunya berada di Kelantan. Sepanjang proses pemulihannya ini Intan Noor Balqis banyak bergantung kepada ibunya.
Trauma
Mengingat kembali kejadian yang berlaku pada hari tersebut, Intan Noor Balqis atau lebih mesra dengan sapaan Intan ini jadi trauma.
“Sekarang ini saya ada rasa sedikit trauma. Mula-mula dulu tidak ada rasa trauma macam sekarang. Sekarang ini juga jika mak saya hendak naik motor pun saya sudah menggigil takut di rumah. Saya takut apa-apa terjadi pada mak.”
Intan mengatakan kemalangan yang berlaku itu bukan disebabkan salah dirinya. Salah orang lain.
“Masa kejadian saya sedang dalam perjalanan ke tempat kerja. Berhati-hati saya menunggang motor. Sampai sahaja berhampiran fly over, tiba-tiba ada sebuah kereta Myvi masuk lorong jalan yang saya lalu dengan secara mengejut dan hampir melanggar saya. Saya brek motor secara mengejut sebab mahu mengelak kereta tersebut.
“Akibatnya motor saya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan. Keadaan tersebut membuatkan saya terpelanting dan terus terjatuh ke bawah. Semasa terpelanting itu saya hanya fikir mati. Tidak sangka Allah beri peluang kedua untuk saya teruskan kehidupan.”
Terpelanting dan kemudiannya terjatuh ke bawah. Betapa ngerinya apabila mengingatkan kejadian tersebut. Kesakitan yang dialami sudah pasti tidak terkata. Akui Intan, semasa dia terbaring di atas jalan itu dia boleh katakan rasa sakit yang dialami seperti dirinya ditindih oleh 10 orang.
Ads
“Saya tidak boleh bernafas. Hanya ingat mati sahaja. Sakit sangat.”
Dari atas jambatan Intan tercampak jatuh ke jalan di bahagian bawah jambatan di hadapan lampu trafik menghala ke Kg Abdullah Hukum. Anggaran ketinggian jambatan itu adalah antara 40 hingga 45 kaki.
Koma Selama 5 Hari
Ternyata Allah memelihara Intan sewaktu kemalangan tersebut. Siapa sangka ketika kejadian berlaku, kebetulan ada kawannya yang berada di jalan yang sama. Apabila kawannya melihat Intan terus dia meluru untuk membantu.
Intan bersyukur kerana ada kawannya kerana sebelum tidak sedarkan diri, Intan sempat berbisik pada kawannya itu.
“Saya beritahu kawan saya untuk tolong telefon kakak saya. Tolong beritahu kakak saya yang saya mengalami kemalangan. Saya rasa 2 atau 3 minit selepas saya minta kawan sampaikan pesanan saya itu saya terus pengsan. Saya hanya sedar sekejap apabila ada orang kejutkan saya.
“Ketika itu saya berada di zon merah di hospital PPUM. Sedar sekejap. Kakak kata saya agak trauma, lemah tapi masih lagi sedar dan mampu berbicara. Jantung saya bengkak dan ini membuatkan saya semakin lemah.
Ads
“Tekanan darah yang semakin rendah juga mengakibatkan saya tidak dapat menjalani pembedahan kaki dan tangan pada hari kejadian. Sebaliknya saya terus dimasukkan ke wad ICU.”
Selama 5 hari Intan berada dalam keadaan koma. Dia betul-betul koma selama 3 hari dan 2 hari doktor telah mengambil keputusan membiarkan dirinya dalam keadaan koma kerana ketika itu jantungnya masih bengkak.
Cerita Intan lagi, sewaktu koma juga jururawat yang menjaganya memberitahu yang tangannya terpaksa diikat. Ini kerana kadang-kadang tanpa diduga, Intan akan bergerak-gerak tanpa kawalan di atas katil. Dia seperti mengamuk. Bagi memastikan dirinya tidak mencederakan diri dengan lebih teruk, tangannya itu terpaksa diikat.
Intan memberitahu dia sebenarnya tidak tahu dirinya koma. Dia rasa dirinya seperti sedang tidur. Dan kemudian dia terjaga sebab dia rasa haus dan mahu minum air.
“Sebaik sedar dari koma saya rasa bersyukur sebab Allah dah makbulkan doa saya dan bagi saya peluang kedua untuk hidup.”
Ads
Selama 15 hari Intan ditahan di hospital. Dia ditahan di ICU selama 9 hari dan ditahan di wad biasa selama 6 hari.
Kecederaan yang dialaminya agak teruk sebab itu dia berada lama di hospital. Intan mengalami kecederaan tulang belakang T12, 2 jari kiri tangan patah, pergelangan tangan patah dan lengannya juga patah. Kaki kanannya turut patah. Manakala kecederaan di bahagian punggung pula memerlukan 10 jahitan.
Tarikh 13 Januari 2020 barulah Intan dibenarkan keluar dari hospital.
“Terima Kasih Kepada Semua Yang Mendoakan Saya.”
Perkembangan terkini Intan agak memberangsangkan. Dia sudah boleh duduk sendiri. Dia sudah mampu mengangkat tangan yang patah. Jari juga boleh digerakkan. Begitu juga dengan kakinya sudah boleh digerakkan sahaja tetapi tidak boleh berpijak.
Namun begitu dia masih tidak mampu menguruskan diri sendiri. Dia hanya boleh terbaring di atas katil. Jika dia bergerak pun hanya menggunakan kerusi roda. Malah untuk membuang air besar dan air kecil juga turut menggunakan lampin pakai buang.
Perancangan Intan adalah untuk meneruskan rawatan fisio sehingga sekurang-kurangnya menguruskan diri sendiri tanpa bantuan orang lain. Intan turut mengikut semua jadual rawatan yang diarahkan oleh doktor di HUSM, Kubang Kerian, Kelantan.
“Keluarga banyak memberi semangat kepada saya supaya tidak berputus asa dalam tempoh pemulihan. Alhamdulillah saya rasa sangat bersyukur sebab Allah dah bagi peluang untuk saya berubah dan bagi saya peluang untuk saya berjasa kepada mak saya serta adik beradik saya.
“Terima kasih kepada keluarga. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan agar saya sembuh. Sebab doa mereka itu juga saya kuat dan saya sihat. Saya juga terima kasih kepada mereka yang telah menderma kepada saya untuk meringankan beban dan kos rawatan.”
Intan sangat berharap diberi kesihatan baik dan kembali pulih seperti sediakala. Dia berharap sangat dirinya boleh kembali bekerja seperti biasa di San Francisco Coffee.
Ringankan Beban
Jika ada yang ingin membantu Intan Noor Balqis bolehlah menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 514123682947 Nor Fairiyuslina bt Mohd Fauzi (Kakak kepada Intan Noor Balqis)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ibu anak 5 hero, Siti Maisarah Saifuddin bertungkus lumus belajar menjahit tahun ini demi menghasilkan sendiri baju baru untuk anak-anak dan suami. Tahun ini biasa saja buat ibu ini. Tiada pun baju baru untuknya. Tapi dia telah menyediakan sendiri baju baru untuk suami dan 5 anak lelaki yang dijahit sendiri dengan kos keseluruhan tak sampai RM100.
Bila anak-anak ramai tentulah ibu akan memikirkan cara mana yang boleh dilakukan untuk berjimat. Mak-mak akan berasa kagum dengan kegigihan ibu ini mahu membahagiakan hati anak-anaknya. Ini adalah hadiah istimewa lagi luar biasa dari ibu untuk keluarganya.
6 Jejak Perlu Disegakkan Serapi Mungkin
Subuh Subuh adik bongsu whatssapp kakak comel dia.
Almaklumlah, kakakmu masih di sini.
Tahun ni paling hectic buat saya..
Paling mencabar emosi dan jiwa.
Paling terasa bila anak sudah memasuki 5 orang.
Bereti 6 orang jejaka perlu disegakkan serapi mungkin.
Betullah bila jadi ibu.
Anak-anak didahulukan.
Tiada satu yang saya beli untuk saya kali ni.
Hanya untuk anak-anak yang excited beraya.
Sebab tahun ni tahun paling semangat berpuasa bagi mereka.
2 bulan lepas, kedai lelong kain.
Harga kain belasan ringgit semeter, jadi rm7 sahaja sebab nak habiskan stok.
BFF kesayangan pula hadiahkan Abaya Sifu warna mustard.
Masha Allah, rezeki!
Mujurlah haritu tergerak gatal tangan beli kain,
Tanpa tak sengaja terjadi tema kuning tahun ni.
Namun, bukan tema yg saya nak cerita.
Tapi hecticnya tahun ini.
Kali Ini Nekad Jahit Sendiri
Tahun lepas berhabis ratusan ringgit untuk pakaian.
Raya kali ni, nekad nak jahit sendiri.
Drive seorang diri, menuntut ilmu last minit dengan sifu BFF kesayangan Nor Ashikin Hashim.
Mujurlah BFF saya comel dan penyabar, dia layan kita sehabis comel.
Saya zero bab kurta ni.
Maka sifu ajarkan saya, siap potong ikut pola.
Then merempitlah kita menjahit dengan basic ilmu.
Dah banyak malam tak cukup tidur, demi raya untuk anak-anak.
Kain 7 meter, bajet sekitar rm60-70.
Dapatlah baju en suami, dan 5 hero kesayangan ummi.
Beli kain buat seluar slack dengan bajet rm24, dapatlah 7 helai seluar anak-anak.
Mungkin raya kali ni hanya biasa bagi umi.
Tapi sekurangnya luar biasa bagi anak-anak.
Dan kali ini umi faham..
Kenapa 20 tahun yang lalu,
Kami 9 beradik sedondon baju raya.
Dan mak yang jahitkan baju kami.
Pagi Ini Airmata Tumpah
Belajar menjadi seorang ibu dari kenangan yang lalu…
Ketahuilah.
Hakikatnya nampak sedondon bukan kerana banyak wang yang dilabur.
Masih ada yang berusaha berjimat.
Kerana umum hanya nampak baju.
Umum tidak tahu, bagaimana pula seorang ibu berusaha melengkapkan..
kasut raya,
kopiah raya,
Perjalanan di hari raya…
Moga lebaran kali ini lebih indah buat semua!
Amin.
Dikurniakan anak-anak yang ramai memang satu rezeki dalam rumah tangga. Memang bertuah kahwin awal, dikurniakan rezeki anak-anak yang ramai apatah lagi pada usia yang masih tak sampai 40 tahun. Untung usia masih muda, anak-anak pun dah besar.
Shamsuri, 38, antara insan bertuah kerana dikurniakan 11 cahaya mata iaitu enam lelaki dan lima perempuan dengan anak sulung berusia 17 tahun, manakala anak bongsu berusia setahun selepas berkahwin dengan isteri, Rosnaida Ismail, 36, sejak 2005.
“Ramai juga salah sangka ingat saya ada lebih seorang isteri kerana ada ramai anak, tetapi hakikatnya saya tidak berkahwin lebih daripada satu,” kata pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie.
Bersyukur Dikurniakan Anak Ramai
Menurut Shamsuri, dia bersyukur kerana dikurniakan anak yang ramai dan menganggapnya sebagai rezeki daripada Allah SWT.
“Saya dan isteri berkahwin kira-kira 18 tahun lalu ketika sedang menuntut di universiti. Nawaitu (niat) kami kahwin kerana Allah, jadi syukur sangat dengan rezeki Allah bagi iaitu ada anak ramai yang jaraknya selang setahun serta dua tahun.
“Saya memang suka anak ramai. Ia kerana adik-beradik saya pun ramai, 13 orang semuanya dan saya anak ke-11.
“Isteri pula okey dan kiranya kami satu kepala suka anak ramai. Lagipun, isteri ada tiga beradik saja,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Pastikan Keperluan & Kebajikan Anak Terbela
Bercerita lanjut, Shamsuri berkata, memiliki anak ramai membuatkannya bekerja lebih keras bagi memastikan keperluan dan kebajikan anak terbela.
Sebagai bapa, Shamsuri seboleh mungkin memikul amanah dan menjalankan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.
“Bukan senang ada anak ramai kerana 11 orang ada 11 perangai berbeza. Banyak juga perkara perlu difikirkan termasuk yuran persekolahan kerana ada lapan masih bersekolah dan semuanya perlukan kos.
“Anak ramai perlukan tahap kesabaran dan kekuatan tinggi, tetapi alhamdulillah dengan izin Allah, semuanya dipermudahkan untuk dijaga dari kecil sampai sekarang.
“Ia hasil bantuan isteri yang jadi suri rumah sepenuh masa dan anak yang besar bantu uruskan adik mereka,” katanya.
Seronok Keluar Bersama Anak
Shamsuri berkata, waktu paling menyeronokkan adalah ketika membuat persiapan Aidilfitri buat 11 anaknya dan setiap kali keluar bersama mereka.
“Memang meriah apabila nak raya walaupun kos perbelanjaan saya berbeza dengan orang yang ada anak dua atau tiga.
“Sebelum puasa lagi, saya dan isteri sudah buat persiapan beli pakaian untuk anak kerana bimbang tidak sempat jika dilakukan pada saat akhir.
“Setiap tahun, saya belikan mereka pakaian baharu kerana tak sampai hati beri pakai baju yang sama dan bila kami keluar contohnya turun dari kereta untuk ke kedai makan, memang banyak mata memandang.
“Apa-apa pun, bukan itu saja dititikberatkan semata-mata kerana saya cuba didik mereka dengan hantar kesemuanya ke sekolah agama supaya yang penting adalah asas agama,” katanya.
Shamsuri berkata, dia tidak menyangka perkongsian video di TikTok mendapat perhatian ramai warganet.
“Ikutkan, saya tidak aktif di TikTok jadi tak sangka ramai menonton video dimuat naik. Niat saya sebenarnya nak bagi semangat kepada orang lain supaya jangan malu ada anak ramai kerana segelintirnya begitu.
“Bukan niat saya untuk menyinggung, melukakan hati atau menunjuk-nunjuk kepada mereka yang tiada anak kerana zuriat itu milik Allah, bukan kita.
“Kita rancang macam mana sekalipun, kalau Allah nak bagi, Dia bagi dan saya bersama isteri cuma berusaha untuk ramaikan lagi umat Nabi Muhammad,” katanya.
Teruja Setiap Kali Lahirkan Anak
Sementara itu, Rosnaida menganggap pengalaman melahirkan 11 cahaya mata adalah perkara normal bagi setiap wanita yang bergelar ibu.
“Alhamdulillah, setakat ini kelahiran anak semuanya normal dan dipermudahkan Allah. Bahkan semua kelahiran awal dari tarikh sepatutnya.
“Perasaan setiap kali melahirkan anak masih sama iaitu teruja, sama saja daripada yang sulung sampai bongsu,” katanya.
Mingguan Wanita: Memang seronok ada anak ramai. Meriah rumah. Apa pun kerjasama dalam keluarga, keadaan ekonomoi kukuh dan sokongan daripada pasangan sangat penting jika ingin mememiliki keluarga yang besar.
Kembar panjat atas bahu sampai nak makan pun tak sempat, sabarnya Dr Sheikh Muszaphar didik anak. Pengalaman membesarkan anak adalah memori paling indah dalam hidup ibu bapa.
Hilang segala penat lelah bekerja tatkala menatap keletah anak. Ia satu memori sangat manis dikenang bila meningkat usia. Namun ada juga sebahagian ibu bapa yang tidak dikurniakan kesabaran tinggi dalam mendidik anak selain meletakkan ego dalam diri agar anak menghormati mereka dan tidak melanggar batas ditetapkan oleh ibu bapa sendiri.
Berlainan dengan satu video dikongsikan oleh angkawan negara, Dr Sheikh Muszaphar yang dilihat membina bonding yang sangat baik dengan anak-anaknya seramai enam orang. Bahkan di sebalik kerjaya hebat dimilikinya begitu juga isterinya, dapat dilihat bapa ini sangat penyayang dan mendidik anak-anak dengan sangat sabar.
Dalam satu video dikongsikan di Tik Toknya @Dr Sheikh, dapat dilihat dirinya cuba memberi makan kepada anak kembarnya yang ke lima dan keenam iaitu Eusoff dan Amelia yang berusia dua tahun yang dilahirkan pada 2020.
Dapat dilihat anak kembarnya itu memanjat, mengorek matanya bahkan memanjat dirinya hingga masa untuk makan juga terganggu. Namun masa yang sama, kelihatan Dr Sheikh sangat sabar melawan karenah anak-anak kembarnya itu tanpa ada rasa ingin mencubit atau memarahi dan hanya membiarkan anaknya bereksplorasi dengan dunia mereka.
Ramai ibu-ibu bertanya, mana hendak membeli “ubat sabar” yang dimiliki oleh Dr Sheikh Muszaphar kerana dirinya tidak meletakkan satu batas dengan anak-anak. Bahkan mendoakan agar lebih ramai lelaki sepertinya wujud di dunia ini kerana melayani anak-anak dengan baik dan sempurna.