Bergelar seorang pendidik bukanlah satu perkara mudah. Apatah lagi kini dalam zaman serba moden. Perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi turut memberikan guru cabaran besar. Reaksi positif guru untuk sentiasa komited dalam mendidik anak bangsa biarpun pelbagai cabaran melanda adalah bukti kemuliaan profesion ini sekali gus memartabatkan lagi keprofesionalan kerjaya keguruan.
Dek kerana semangat yang kental dalam mendidik anak-anak bangsa, Zailila Razali yang sudah 18 tahun bergelumang dalam bidang ini tidak pernah jemu mencurahkan ilmu yang dimiliki.
Wanita yang berasal dari Pasoh 2, Negeri Sembilan ini akui beban tugas guru kini sangat berbeza berbanding ketika permulaan dirinya memulakan kerjaya mulia ini.
“Beban tugas guru sekarang sangat berbeza dengan mula-mula saya menjadi guru. Sekarang guru-guru perlu memikirkan bagaimana untuk menarik minat murid untuk belajar. Pendapat saya murid sekarang lebih suka kepada visual (lihat) daripada mendengar guru mengajar. Jadi saya mengajar menggunakan alat bantu mengajar elektronik seperti LCD & Visualiser
. Murid lebih faham,” ungkap guru yang juga bekas graduan Universiti Utara Malaysia dalam bidang Perakaunan.Anak ketiga daripada empat beradik ini bertuah kerana berjaya terpilih untuk menyambung pelajaran dalam KPLI (kursus perguruan lepasan ijazah) di Maktab Raja Melewar, Negeri Sembilan dan kemudian bergelar pendidik.
Guru Displin
Ibu kepada tiga cahaya mata, kini bergelar Guru Disiplin di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara 2.
“Selepas tamat kursus KPLI saya ditempatkan di Sekolah Sains Tuanku Jaafar (2002 hingga 2004) dan kemudiannya dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara 2 pada tahun 2005 hingga sekarang. Kiranya saya sudah 18 tahun bergelar pendidik. Saya mengajar Matematik Moden Tingkatan 3,4,5 dan Prinsip Perakaunan tingkatan 4 dan 5.
“Sepanjang mengajar sememangnya banyak pengalaman pahit dan manis. Paling manis apabila anak-anak murid yang dididik daripada mereka lemah subjek tersebut hingga mereka berjaya dalam SPM. Saya tumpang gembira apabila mereka berjaya. Sebab ini adalah untuk masa depan mereka.
“Selain itu saya juga turut terharu apabila, bekas anak murid masih mengingati saya walaupun mereka sudah menyambung pelajaran atau yang sudah bekerja tapi masih datang ke sekolah atau ke rumah menziarahi saya. Pernah bekas anak murid dari Sekolah Sains Tuanku Jaafar yang bekerja di Arab Saudi balik ke Malaysia datang mencari saya semula,” ungkap guru yang pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak dua kali oleh pentadbir.
Tugas Guru Banyak Cabaran
Akur Zailila dia sangat bahagia kerana dikelilingi rakan sekerja yang baik walaupun kadang kala kerja sebagai guru ini banyak cabarannya. Bercerita tentang kenangan pahit yang pernah dilalui sepanjang lapangan kerjayanya apabila menerima surat daripada ibu bapa pelajar.
“Ada ibu bapa yang hantar surat kepada pengetua apabila saya menegur anak mereka. Tapi alhamdulillah pengetua memahami,” kata Zailila yang pernah mendapat surat ucapan terima kasih daripada pelajar kerana rotan mereka hingga berjaya dlm SPM.
Menyambung perbualan mengenai hubungan dirinya dengan pelajar-pelajarnya, guru yang tegas ini punya gaya tersendiri dalam menambat hati pelajar.
“Anak-anak murid sangat ramai membantu. Walaupun saya sangat garang di dalam kelas, tetapi di luar saya anggap mereka seperti kawan. Ramai anak murid yang sudi kongsi atau bercerita masalah mereka pada saya. Saya boleh bantu memberikan nasihat dan kata-kata motivasi kepada mereka untuk berjaya. Anak murid ini datang daripada pelbagai latar belakang keluarga.
“Paling istimewa apabila saya menerima ucapan “terima kasih cikgu” dari anak murid dan bekas anak murid. Itu dah cukup berharga dan istimewa buat saya. Ada hadiah yang diberi oleh murid dan ibu bapa murid juga,” sambungnya.
Dari Kecil Dipanggil Guru
Zailila yang cukup peramah akui kerjaya ini amat disayangi.
“Saya amat suka dengan kerjaya ini sebab kerjaya sebagai guru ini adalah “ladang pahala” yang boleh guru-guru perolehi. Mengajar perlu kan ketekunan dan keikhlasan.
“Sebenarnya kerjaya guru ini sudah saya lihat semenjak kecil. Sebenarnya ibu saya merupakan tukang kebun sekolah. Waktu kecil suka ikut ibu pergi bekerja. Bila cikgu-cikgu kat sekolah ibu tanya nak jadi apa? Saya cakap nak jadi cikgu. Jadi dari kecil orang panggil saya cikgu. Berkat akhir nya saya jadi cikgu juga,” akhiri anak kepada peneroka Felda ini lagi.